#kerajaangagal148 -- Malaysia akan mencatatkan lebih daripada 10,000 kematian akibat Covid-19 kelak jika kadar korban nyawa semasa tidak dihentikan
Kabinet perlu mencari formula baharu untuk mengawal kadar kematian akibat Covid-19 dan bunuh diri, jika tidak kita akan melihat kadar kematian akibat wabak ini melepasi paras 10,000 korban dan rekod baharu untuk jumlah kes bunuh diri dalam tahun ini.
Malaysia akan mencatatkan lebih daripada 10,000 kematian akibat Covid-19 kelak jika kadar korban nyawa semasa -- di mana 2,302 orang telah terkorban dalam 29 hari bulan Jun ini -- tidak dihentikan.
Semasa darurat diisytiharkan pada 11 Januari 2021, kita menyaksikan 555 kematian akibat Covid-19 yang terkumpul. Setakat semalam (29 Jun 2021), kita telah mencatatkan 4,553 kematian dalam tempoh darurat ini, membawa jumlah korban terkumpul akibat Covid-19 di negara kita ke 5,108 kematian -- melonjakkan kedudukan negara kita di tempat ke-60 teratas dengan angka kematian tertinggi.
Kita tidak berada di dalam liga yang sama seperti lima negara teratas di dunia dengan jumlah kematian terkumpul tertinggi, yang didahului oleh Amerika Syarikat dengan 34.5 juta kes dan hampir 620,000 kematian; Brazil dengan 18.5 juta kes dan lebih daripada 516,000 kematian; India dengan lebih 30 juta kes dan hampir 400,000 kematian; Mexico dengan 2.5 juta kes dan lebih dari 230,000 kematian dan Peru dengan dua juta kes dan lebih dari 192,000 kematian.
Tetapi, menurut laman web Our World in Data, setakat 28 Jun 2021, selain daripada Rusia dan negara-negara Amerika Selatan, kita telah mengalahkan 10 negara dengan kes jumlah kes terbanyak dari segi “kematian per sejuta penduduk” seperti yang dapat dilihat daripada angka berikut:
- Amerika Syarikat - 0.82
- India - 0.86
- Brazil - 7.73
- Perancis - 0.49
- Rusia - 3.94
- Turki - 0.67
- United Kingdom - 0.26
- Argentina - 11.54
- Itali - 0.49
- Colombia - 13.32
- Malaysia - 2.31
Berapa jauhkah kita telah mundur ke belakang dalam mengejar pencapaian dan kecemerlangan dalam pelbagai bidang yang diceburi manusia berbanding dengan negara-negara lain yang lebih baik di seluruh dunia?
Baru-baru ini, seorang pakar epidemiologi yang tersohor dari Brazil, Pedro Hallal, seorang profesor di Universiti Persekutuan Pelotas, mengatakan yang Brazil mungkin akan dapat menyelamatkan 400,000 nyawa sekiranya negara tersebut telah mengamalkan penjarakan fizikal dengan lebih tegas dan melancarkan program vaksinasi lebih awal.
Hallal, yang baru sahaja memberikan keterangan kepada siasatan Senat Brazil minggu lepas mengenai pengendalian krisis Covid-19 di Brazil menganggarkan 95,000 ke 145,000 kematian yang berlaku di negara tersebut adalah akibat kelambatan mendapatkan bekalan vaksin.
Mungkinkah Malaysia dapat menyelamatkan 4,000 nyawa sekiranya kerajaan Muhyiddin berjaya mengendalikan wabak Covid-19 di negara kita dengan lebih baik?
Bagaimana pula dengan kadar bunuh diri yang meningkat semasa krisis Covid-19 ini?
Adakah terdapat program khas daripada kementerian yang bertanggungjawab kepada pembangunan komuniti untuk menangani peningkatan dalam masalah kemurungan dan bunuh diri, terutamanya selepas pendedahan bahawa terdapat secara purata empat kes bunuh diri setiap hari dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini?
Angka kematian 5,108 orang akibat Covid-19 ini perlu diingati oleh setiap Menteri Kabinet, kerana kebanyakan kematian ini dapat dielakkan sekiranya tidak berlaku kesilapan dalam mengendalikan peperangan dalam melawan wabak Covid-19 di negara kita.
Sebab ini sahaja sudah cukup kuat untuk semua Menteri memutuskan secara bersama untuk menamatkan darurat dan memanggil semula Parlimen untuk membentuk gagasan untuk memenangi perang melawan wabak Covid-19 di semua peringkat masyarakat dalam negara kita.