#kerajaangagal147 – Takiyuddin silap dari segi perundangan dan fakta dalam kenyataannya bahawa Parlimen hanya boleh bersidang selepas tamat tempoh darurat kerana Parlimen pernah bersidang di bawah beberapa perintah darurat selama lebih empat dekad sebelum ini
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Takiyuddin Hassan silap dari segi perundangan dan fakta dalam kenyataannya bahawa Parlimen hanya boleh bersidang selepas tamat tempoh darurat kerana Parlimen pernah bersidang di bawah beberapa perintah darurat selama lebih empat dekad sebelum ini.
Pada 24 November 2011, Parlimen membuat keputusan untuk memansuhkan beberapa Proklamasi Darurat.
Ini susulan pembentangan usul oleh Najib Razak di Dewan Rakyat pada 24 November 2011 untuk memansuhkan Proklamasi Darurat 1966, 1969 dan 1977.
Sejak 1977, saya telah menggesa Parlimen memansuhkan empat Proklamasi Darurat iaitu Proklamasi Darurat 1964 (berkaitan Konfrontasi Indonesia), 1966 (Krisis politik Sarawak), 1969 (rusuhan 13 Mei) dan 1977 (krisis politik Kelantan).
Pada 28 dan 29 Jun 1979, usul saya untuk memansuhkan empat Proklamasi Darurat tersebut telah dibahaskan di Parlimen selama dua hari. Bagaimanapun, semua Ahli Parlimen Barisan Nasional telah mengundi untuk menolak usul tersebut.
Semasa perbahasan Parlimen pada 24 November 2011, saya mempersoalkan mengapa Proklamasi Darurat pada 3 September 1964 berikutan isu Konfrontasi Indonesia telah dikeluarkan daripada senarai pemansuhan tersebut.
Semasa saya berucap di Parlimen pada 1979 tentang keperluan untuk menamat keadaan darurat kekal dan memansuhkan empat Proklamasi Darurat kerana isu yang menyebabkan proklamasi itu berkuatkuasa, tidak lagi wujud pada masa ini, tiada seorang Menteri pun membangkitkan tentang penghakiman 1971 bahawa Proklamasi Darurat 1963 telah terhenti selepas ia digantikan dengan Proklamasi Darurat 1969.
Saya berkata: “Ini adalah pendirian baharu yang diambil oleh kerajaan. Jika pendirian ini mewakili pendirian peguam negara, apa akan terjadi jika peguam negara lain tidak bersetuju dengan perkara ini? Adakah suatu hari nanti kita akan mendapati bahawa Proklamasi Darurat 1963 masih wujud?”
Dalam perbahasan di Parlimen pada 2011, saya memohon penjelasan berhubung kelewatan pemansuhan beberapa Proklamasi Darurat — 45 tahun; Proklamasi 1966 yang menyaksikan penggulingan Ketua Menteri Sarawak Stephen Kalong Ningkan, 42 tahun; Proklamasi 1969 berikutan rusuhan 13 Mei dan 34 tahun; Proklamasi 1977 yang menyaksikan PAS hilang kuasa dalam kerajaan Kelantan ketika situasi yang menyebabkan proklamasi itu berkuatkuasa sudah tidak lagi wujud.
Seperti yang diperkatakan saya dalam usul yang dibawa saya di Parlimen pada 1979 berhubung pemansuhan Proklamasi Darurat: “Tindakan mengekalkan Proklamasi Darurat, sedangkan situasi yang menyebabkan proklamasi itu berkuatkuasa sudah tidak lagi wujud, adalah suatu tindakan penyalahgunaan kuasa malah melanggar perlembagaan.”
Ia juga gejala keangkuhan kuasa yang telah lama dikesan dalam Umno dan Barisan Nasional pada masa itu.
Ucapan saya di Parlimen pada hari tersebut terbukti benar.
Saya menegaskan bahawa pemansuhan beberapa Proklamasi Darurat hanyalah suatu langkah kecil ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara biasa dan bukan faktor yang menjadikan negara ini sebuah negara demokrasi terbaik di dunia.
Ini terbukti benar kerana kita kini sedang menuju ke arah pemerintahan “demokrasi tanpa Parlimen”
Saya telah mencadangkan pengembalian semula peruntukan asal Perkara 150 Proklamasi Darurat dalam Perlembagaan Merdeka untuk menyediakan ruang semak dan imbang yang berkesan terhadap kerajaan yang tidak demokratik dan bersifat autokratik, kerana Perlembagaan Merdeka telah dipinda sepenuhnya daripada semangat asalnya bagi membolehkan wujudnya sebuah tadbir urus yang bersifat kuku besi.
Saya bertanya, antaranya, sama ada kerajaan bersedia untuk kembali kepada Peruntukan Perlembagaan Merdeka yang asal bukan sahaja untuk memulihkan kuasa semakan kehakiman bagi memastikan bahawa tidak akan berlaku penyalahgunaan kuasa dalam melaksanakan peruntukan Perkara 150 mengenai Proklamasi Darurat, tetapi juga untuk meletakkan Proklamasi Darurat di bawah penelitian dan bidang kuasa Parlimen.
Sebagai contoh, Perkara 150 dalam Perlembagaan Merdeka menetapkan:
“Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika –
a. sesuatu Proklamasi, apabila habis tempoh dua bulan mulai tarikh Proklamasi itu dikeluarkan; dan
b. sesuatu ordinan, apabila habis tempoh lima belas hari mulai tarikh kedua-dua Majlis bersidang pertama kali,
melainkan jika, sebelum habis tempoh itu, Proklamasi atau ordinan itu telah diluluskan melalui suatu ketetapan setiap Majlis Parlimen.”.
Namun, perkara ini tidak dilakukan. Jika tidak, kita sudah tentu tidak akan berhadapan dengan teka-teki perlembagaan yang wujud hari ini – di mana Proklamasi Darurat diisytiharkan kononnya untuk melawan pandemik Covid-19 sedangkan ia digunakan untuk menggantung Parlimen kerana kerajaan hari ini tidak mempunyai sokongan majoriti di Parlimen. Menambah lagi garam ke luka, pengisytiharan darurat telah mencapai titik kegagalan yang menyedihkan dalam perang melawan pandemik Covid-19.
Persoalannya kini, adakah Kabinet hari ini akan menghentikan penjarahan terhadap Perlembagaan atau bersedia untuk berhadapan dengan krisis perlembagaan pada skala besar yang bakal menimbulkan kemurkaan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu serta kemarahan Parlimen dan rakyat Malaysia!