#kerajaangagal145 — Seluruh Kabinet perlu meletakkan jawatan sekiranya mereka terus menunjukkan sikap tidak peduli mengenai keseriusan wabak Covid-19 dan terus mengabaikan masalah yang dihadapi oleh doktor kontrak sehingga terjadinya hartal
Amat menyedihkan membaca penderita doktor-doktor kontrak. Seorang mereka menulis:
“Saya tidak mempunyai jaminan kerjaya dan masa depan saya kelihatan gelap. Kerana saya bukan seorang Pegawai Perubatan Tetap, kontrak saya mungkin tidak akan diperbaharui mengikut budi bicara majikan saya (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan saya tidak dapat peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana untuk mendapatkan pengkhususan.
“Semasa tempoh pandemik ini, kebanyakan doktor barisan hadapan yang berurusan dengan orang awam adalah Pegawai Perubatan Kontrak. Kami merisikokan nyawa kami sambil memakai pakaian perlindungan diri yang melemaskan untuk berkhidmat demi rakyat. Kami tidak mempunyai sebarang masalah berbuat demikian kerana ini adalah seruan kami.
“Melihat pesakit kami pulih adalah perkara yang paling menggembirakan kami. Ramai yang telah melihat senyuman di mata kami (kerana kami semua memakai pelitup muka) apabila kami menghantar pesakit yang telah sembuh pulang. Tetapi tidak ramai yang melihat kami menitiskan air mata untuk pesakit yang kami gagal selamatkan dari ajalnya.
“Orang awam panggil kami hero, tetapi saya tidak bersetuju. Kami hanya manusia biasa.
“Seperti orang lain, kami juga ketawa dan menangis, terdapat masa di mana kami gembira dan masa di mana kami risau. Kami juga ada ibu bapa, pasangan, dan anak-anak.
“Dalam segala kekecohan ini, sebagai doktor kontrak, kami tidak meminta bayaran tambahan atau bonus, kami tidak minta pingat atau penghargaan.
“Kami hanya minta dijadikan Pegawai Perubatan Tetap. Kami minta supaya kami dapat merawat pesakit kami dengan sepenuh jiwa dan raga tanpa perlu bimbang mengenai masa depan kerjaya kami.
“Kami hanya minta dilayan dengan adil, seperti mana rakan sekerja Pegawai Perubatan Tetap kami, supaya kami dapat peluang untuk melanjutkan pelajaran dan mendapatkan lebih banyak pengetahuan untuk membantu pesakit kami.”
Semalam, kita menyaksikan dua berita buruk mengenai wabak Covid-19 — Malaysia jatuh 35 anak tangga dalam Bloomberg Covid Resilience Ranking daripada tempat ke-16 pada bulan Januari tahun ini kepada tempat ke-51 semalam, dan juga kita menyaksikan angka kematian dalam negara akibat Covid-19 memecahkan siling 5,000 nyawa.
Sekiranya berlaku hartal akibat daripada kekecewaan dan masalah yang dihadapi oleh doktor kontrak dalam negara kita, Malaysia sekali lagi akan terkenal di seluruh dunia untuk perkara yang buruk.
Masanya telah tiba untuk kerajaan berhenti untuk hanya menjanjikan untuk menyiasat masalah-masalah yang dihadapi oleh para doktor kontrak ini dan kemudiannya terus melupakannya, dan seluruh Kabinet perlu meletakkan jawatan sekiranya mereka terus menunjukkan sikap tidak peduli mengenai keseriusan wabak Covid-19 dan terus mengabaikan masalah yang dihadapi oleh doktor kontrak sehingga terjadinya hartal.