#kerajaangagal144 – Amat memalukan – ketika Muhyiddin mengumumkan pakej PEMULIH berjumlah RM150 bilion secara langsung semalam, Bloomberg melaporkan kepada dunia bahawa Malaysia telah jatuh ke tangga ke-51 dalam Bloomberg Covid Resilience Ranking untuk bulan Jun 2021
Amat memalukan – ketika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej PEMULIH berjumlah RM150 billion secara langsung semalam, Bloomberg melaporkan kepada dunia bahawa Malaysia telah jatuh ke tangga ke-51 daripada 53 negara dengan nilai ekonomi berjumlah lebih AS$200 bilion dalam Bloomberg Covid Resilience Ranking untuk bulan Jun 2021.
Januari tahun ini, semasa darurat diisytiharkan pada 11 Januari dengan alasan untuk melawan Covid-19, kita berada di kedudukan ke-16 dalam Bloomberg Covid Resilience Ranking untuk bulan Januari 2021.
Selepas lima bulan darurat dan 28 hari sekatan pergerakan penuh, kita telah jatuh 35 anak tangga ke tangga ke-51 dalam carta terkini untuk bulan Jun 2021
Tidak ada keputusan yang lebih memalukan atas kegagalan teruk kerajaan Muhyiddin dalam perang melawan Covid-19 sejak enam bulan lalu.
Kini, kita lebih teruk daripada Brazil, Peru, Bangladesh, Pakistan, Colombia, Indonesia serta India dan sedikit lebih baik berbanding Filipina dan Argentina.
Lebih mengejutkan, sepuluh negara teratas yang didahului oleh Amerika Syarikat, yang selama lebih dari satu tahun dianggap sebagai negara terburuk dalam menguruskan pandemik Covid-19 dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 sebanyak 34.5 juta dan 619,582 kematian akibat wabak itu, diikuti oleh New Zealand (2), Switzerland (3), Israel (4), Perancis (5), Sepanyol (6), Australia (7), China (8), United Kingdom (9) dan Korea Selatan (10).
Negara-negara Asia lain yang tersenarai adalah Singapura (13), Jepun (23), Hong Kong (30), Thailand (39), Vietnam (40), dan Taiwan (44).
Bloomberg melaporkan: “Hampir satu setengah tahun wabak ini berlarutan, kedudukan terbaik dan terburuk dalam era Covid-19 semakin jelas ditentukan oleh satu perkara: normalisasi.
“Program vaksinasi terbesar dalam sejarah membolehkan sebahagian negara menarik balik peraturan memakai pelitup muka, melonggarkan sekatan dan membuka sempadan… Mengawal kenaikan kes dan kematian yang pernah satu ketika dulu mencanak naik, sekaligus memastikan sistem penjagaan kesihatan yang utuh. Kini, kemampuan untuk memutarkan balik masa dan kembali ke zaman pra-pandemik menjadi suatu perkara yang semakin penting.
“Menjadi teras utama kepada perkara ini adalah keterbukaan ekonomi kepada dunia, dan itulah sebabnya kami memperkenalkan elemen baru – Kemajuan Pembukaan Semula – untuk Covid Resilience Ranking Bloomberg. Dua ukuran baru yang mencerap tahap kemudahan pergerakan keluar masuk dari satu tempat ke satu tempat dan berapa banyak perjalanan melalui udara yang telah pulih, disamping 10 langkah lain yang mengesan kadar kematian hingga ke jumlah jangkitan, kebebasan bergerak hingga ke pertumbuhan ekonomi.”
Kita sebaris dengan negara-negara teratas di dunia dalam dua kategori: jumlah kes Covid-19 per sejuta penduduk dan jumlah Menteri per sejuta penduduk – dan hubung kait antara kedua-dua ukuran ini telah menyebabkan Malaysia terhimpit dalam situasi buruk seperti sekarang.
Semalam, kita melepasi angka 5,000 untuk kes kematian berkaitan Covid-19 berbanding 471 kes sepanjang tahun lalu.
Di manakah Muhyiddin hendak sorokkan mukanya di persada antarabangsa?
Adakah pakej Pemulih bernilai RM150 bilion Muhyiddin akan menjadi penawar ajaib untuk menamatkan era Covid-19 di Malaysia, sekaligus meletakkan negara ini ke landasan pemulihan?
Muhyiddin sendiri tidak yakin, kerana jumlah kes Covid-19 baharu setiap hari tidak menurun di bawah paras 4,464 kes sejak 17 Mei, walaupun kadar pelaksanaan ujian saringan turun dengan mendadak.
Dua ahli ekonomi, Dr. Paolo Casadio dan Dr. Geoffrey Williams menyifatkan jumlah RM150 bilion Pemulihan yang diumumkan Muhyiddin semalam hanya sekadar gimik untuk menjadi penyedap tajuk berita. Menurut mereka, suntikan langsung daripada kerajaan hanyalah sebanyak 6.7% daripada jumlah yang diumumkan kerana lebih separuh daripada bantuan yang diumumkan kerajaan sebenarnya dibiayai daripada wang simpanan rakyat.
Strategi lama yang digunakan dalam perang melawan Covid-19 tidak berkesan dan sudah tiba masanya untuk pihak Eksekutif serta Parlimen merangka strategi yang baru dan berkesan untuk memenangi perang melawan wabak ini.
Inilah sebabnya mengapa Kabinet yang bermesyuarat esok harus memutuskan untuk mengadakan sidang Parlimen sebelum 1 Ogos untuk menerajui gabungan “Menang Perang Melawan Pandemik Covid-19”.