#kerajaangagal142 — Parlimen perlu menjadi Parlimen Perang dalam melawan wabak Covid-19 untuk membantu pihak Eksekutif yang sedang bertarung dalam perang yang mereka sedang kalah dalam tahun ini

Saya terkejut yang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang dan Parlimen), Takiyuddin Hassan, masih menekankan yang Parlimen tidak boleh bersidang selagi mana darurat berkuat kuasa.

Perkara ini bertentangan dengan Seksyen 14(1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan”

“14(1) Bagi tempoh darurat berkuat kuasa —

(a) …

(b) Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.”

Jelas daripada peruntukan seksyen Ordinan Darurat ini yang Parlimen boleh dipanggil bersidang “selagi mana darurat berkuat kuasa”, dan Takiyuddin hanya boleh menyalahkan dirinya sendiri sekiranya seluruh negara mempersoalkan apa jenis Menteri Hal Ehwal Undang-undang yang kita sedang ada ini.

Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong tepat apabila baginda menitahkan pada 24 Februari selepas bermesyuarat dengan Yang di Pertua Dewan Negara, Rais Yatim, dan Yang di Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun, bahawa persidangan Parlimen boleh dipanggil semasa penguatkuasaan darurat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Fadil Shamsuddin mengatakan yang Yang di Pertuan Agong telah menyatakan pendapat baginda kepada Rais dan Azhar bahawa Parlimen boleh bersidang semula pada tarikh yang difikirkan sesuai oleh baginda selepas dinasihati oleh Perdana Menteri.

Yang di Pertuan Agong telah merujuk kepada subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen patut dipanggil bersidang, diprorog, atau dibubarkan pada suatu tarikh yang difikirkan perlu oleh baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Ini bukanlah kali pertama menteri hal ehwal undang-undang cuba untuk menyalah tafsir apa yang dikatakan oleh Yang di Pertuan Agong. Takiyuddin juga telah memberikan tafsiran yang tidak masuk akal kepada frasa “secepat mungkin” untuk memberi makna kepada bulan September, Oktober, atau bila-bila masa sahaja sedangkan mesyuarat khas Majlis Raja-raja pada 16 Jun secara jelas menitahkan supaya Parlimen bersidang semula “secepat mungkin”.

Adakah Takiyuddin ini sesuai untuk menjadi menteri undang-undang?

Saya terkejut dengan Peguam Negara, Idris Harun yang bersetuju bahawa Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 menggantung sidang Parlimen, dan terkejut dengan Yang di Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun yang bersetuju bahawa Parlimen digantung sidangnya dengan Ordinan ini sedangkan ramai peguam dan pakar perlembagaan berpendapat bahawa penggantungan sidang Parlimen bertentangan dengan asas utama Perlembagaan Malaysia dan sistem pentadbiran kita yang diasaskan kepada sistem raja berperlembagaan yang berteraskan demokrasi berparlimen.

Saya setuju bahawa mana-mana tafsiran Perlembagaan perlulah berlandaskan prinsip raja berperlembagaan yang berteraskan demokrasi berparlimen.

Idris Harun telah mengeluarkan satu kenyataan yang panjang yang memberikan justifikasi kepada pendirian beliau bahawa undang-undang di negara kita memerlukan Kabinet untuk menasihati Yang di Pertuan Agong mengenai bila Parlimen boleh dipanggil bersidang semula.

Adakah beliau bersedia untuk mempertahankan pendirian beliau mengenai sama ada Parlimen boleh digantung semasa darurat?

Seperti mana Idris Harun telah membuat kesilapan serius dari segi prinsip undang-undang apabila menasihati Perdana Menteri dengan mengatakan yang Parlimen boleh digantung semasa darurat, Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun juga telah membuat kesilapan besar dari segi perundangan dan amalan parlimen apabila beliau tidak membantah keputusan Perdana Menteri untuk menggantung sidang Parlimen ini.

Mesyuarat Kabinet pada hari Rabu ini adalah peluang terakhir kerajaan untuk menghormati semangat perlembagaan negara dan merealisasikan hasrat mesyuarat khas Majlis Raja-raja dengan memanggil sidang Parlimen secepat mungkin. Masih terdapat cukup waktu untuk notis selama 28 hari bagi memanggil sidang Parlimen sebelum 1 Ogos 2021 sekiranya kabinet memutuskan untuk memanggil sidang pada 30 Jun.

Kabinet Muhyiddin perlu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas krisis perlembagaan yang berlaku sekiranya mereka memutuskan sebaliknya pada hari Rabu.

Harus ada permulaan baharu dalam perang melawan Covid-19 di mana semua perbezaan politik dan lain-lain diketepikan buat sementara waktu sehingga negara kita dapat menang dalam perang melawan wabak ini untuk menyelamatkan nyawa, punca pendapatan dan masa depan ekonomi negara.

Pelan Pemulihan Negara tergesa-gesa diumumkan oleh Perdana Menteri pada 15 Jun pada hari sebelum mesyuarat khas Majlis Raja-Raja bukanlah satu perkara yang boleh membawa kemenangan dalam perang melawan Covid-19.

Perkara ini dapat dilihat daripada keputusan saat akhir untuk melanjutkan “sekatan pergerakan” dalam negara sehingga kadar kita mencapai kadar ambang di bawah 4,000 kes sehari di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara.

Pada kadar penularan semasa Covid-19 dalam negara, kita akan berada di tempat ke-35 dengan jumlah kes terkumpul dalam masa tiga hari lagi di mana kita akan mencapai rekod buruk melonjak 50 anak tangga daripada tempat ke-85 ke tempat ke-35 dapat tempoh lapan bulan.

Parlimen perlu bersidang semula segera dan diubah menjadi Parlimen Perang untuk melawan wabak Covid-19.

Sejak 1 Januari awal tahun ini, kita telah mencatatkan 618,970 kes dan 4,470 kematian. Berapa ramai lagi yang perlu mati di negara kita sebelum wabak ini dapat dikawal?

Perdana Menteri telah gagal untuk menepati janjinya dalam Mesej Tahun Baru 2021 beliau untuk “mengukuhkan kedudukan Malaysia di pentas dunia”.

Perkara ini amatlah ironi, kerana dengan janji sebegitu, negara kita memecut menjadi negara dengan pengendalian Covid-19 yang terburuk di dunia.

Marilah kita adalah moratorium politik selama setahun atau dua dan membentuk gagasan memerangi Covid-19 di Parlimen untuk menyelamatkan negara daripada kemusnahan.

Kita perlu mencari iltizam politik untuk mengetepikan semua faktor yang menghalang usaha untuk mencari kemenangan dalam melawan wabak ini. Sebagai permulaan, marilah kita cari seorang Menteri Kesihatan yang berkesan, kerana Menteri Kesihatan yang ada sekarang ini tidak dapat dilihat dalam usaha negara untuk memerangi wabak Covid-19.

Adham Baba telah melumpuhkan dirinya daripada menjadi seorang Menteri Kesihatan yang efektif dengan pelbagai kesilapan bodohnya tahun lepas. Beliau sekali lagi mencari masalah apabila beliau menyokong pendekatan perkauman dalam pelantikan pegawai perubatan sehingga Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan terpaksa menyelamatkan keadaan.

Kita perlu mempunyai reformasi menyeluruh Parlimen untuk membolehkan Parlimen memainkan peranannya sebagai Parlimen Perang dalam melawan wabak Covid-19.

Akhirnya, Parlimen juga perlu membentangkan rancangan keluar daripada wabak Covid-19 yang lebih bersesuaian berbanding dengan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 15 Jun.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri