#kerajaangagal137 — Yang di Pertuan Agong boleh menolak untuk memberi perkenan kepada pelanjutan darurat selepas 1 Ogos secara sah di bawah peruntukan Perlembagaan Malaysia

Kita hanya ada tujuh minggu lagi sebelum berhadapan dengan krisis berperlembagaan pada skala yang belum pernah dilihat sebelum ini dalam sejarah negara.

Tidak ada sebarang petanda yang Kabinet bersedia untuk menerima dua kesimpulan mesyuarat khas Majlis Raja-raja pada 16 Jun 2021 — pertamanya bahawa sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri hendaklah dipanggil semula “secepat mungkin”, untuk Parlimen, sebelum 1 Ogos 2021 dan keduanya tidak ada keperluan untuk darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos 2021.

Tidak ada sebarang mesyuarat tergempar Kabinet selepas mesyuarat khas Majlir Raja-raja atau apa-apa petanda selepas mesyuarat mingguan Kabinet pada 23 Jun yang Parlimen akan dipanggil bersidang sebelum 1 Ogos dan darurat tidak akan dilanjutkan selepas 1 Ogos 2021.

Dua orang Menteri PAS yang mengatakan “secepat mungkin” seperti yang dititahkan oleh Majlis Raja-raja selari dengan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri yang memperuntukkan persidangan Parlimen pada bulan September atau Oktober selari dengan Fasa Ketiga Pelan ini kelihatan seperti berbuat demikian atas arah daripada Seri Perdana.

Apakah yang akan terjadi sekiranya Parlimen tidak dipanggil bersidang sebelum 1 Ogos dan Perdana Menteri menasihatkan Yang di Pertuan Agong untuk melanjutkan darurat selepas 1 Ogos 2021?

Boleh baginda menolak untuk melanjutkan perintah darurat ini seperti pada bulan Oktober lepas?

Saya bersetuju dengan salah seorang pakar perlembagaan negara, penyandang kerusi Tunku Abdul Rahman dan professor undang-undang perlembagaan Shad Saleem Faruqi, yang mengatakan bahawa Yang di Pertuan Agong bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selagi mana Perdana Menteri mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Dalam satu syarahan atas talian yang bertajuk “Memahami Perlembagaan Malaysia”, beliau berkata perkara ini disebabkan oleh Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan:

“Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.”

Beliau mengatakan, walaupun Yang di Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat perdana menteri, takrifan “perdana menteri” ini perlu diteliti.

Beliau mengatakan: “Adakah ia bermakna sesiapa sahaja yang menjawat jawatan tersebut, atau adakah ia merujuk kepada orang yang menjawat jawatan tersebut dan mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat?

“Walaupun Agong perlu mengikut nasihat ‘perdana menteri’, perkataan tersebut merujuk kepada perdana menteri yang mempunyai asas yang jelas, keabsahan, dan sokongan di Dewan Rakyat di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan”.

Tokoh penubuhan negara kita terdiri daripada kalangan mereka yang bermaruah yang tidak pernah terfikir yang kita akan mempunyai seorang Perdana Menteri yang akan mencuba untuk menggunakan tipu helah untuk mengelakkan “undi tidak percaya” di Parlimen dan cuba untuk mengelakkan peruntukan Perkara 43(4) Perlembagaan.

Saya bersetuju dengan Professor Shad Saleem bahawa dalam keadaan seperti ini, terdapat keperluan untuk menafsir Perkara 40(1) dan 43(4) dari sudut yang berbeza.

Tambahan lagi, Perdana Menteri sendiri telah memberikan janji tersirat untuk tidak menggunakan Perkara 40(1) Perlembagaan dalam menguatkuasakan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 pada 11 Januari 2021 dan telah pun menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas khas untuk “menasihati Yang di Pertuan Agong mengenai suatu darurat besar sedang berlaku yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan berikutan wabak penyakit berjangkit, iaitu Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)”.

Oleh itu, Yang di Pertuan Agong tidak perlu untuk bertindak atas nasihat Kabinet atau mana-mana Menteri yang dilantik di bawah Perkara 40(1).

Untuk mengelakkan krisis perlembagaan, Kabinet perlu memanggil sidang Parlimen sebelum 1 Ogos 2021.

Sebelum ini, telah dibangkitkan perkara bahawa notis 28 hari untuk persidangan parlimen boleh diketepikan mengikut peruntukan Peraturan Mesyuarat 9(2)(a) dan 11(2).

Saya masih lagi ingat persidangan tergempar Parlimen pada bulan Januari 1979 apabila Ahli-ahli Parlimen diberikan notis dua hari untuk bersidang susulan daripada keputusan Majlis Privy di London mengenai kes Teh Cheng Poh.

Pada bulan Julai 2014, Ahli-ahli Parlimen diberikan notis selama tiga hari untuk sidang tergempar Dewan Rakyat selama sehari selepas kejadian tragis kapal terbang Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh.

Kedua-dua kes Majlis Privy Teh Cheng Poh dan kes tragis MH17 tidak dibandingkan dengan bencana Covid-19 yang sedang melanda negara kita sekarang. Wabak ini telah meragut lebih ramai nyawa di negara kita berbanding dengan China, yang mempunyai 44 kali ganda lebih penduduk, dan juga membawa kerosakan kepada ekonomi dan struktur sosial dalam 18 bulan yang lepas dalam negara kita.

Pada kadar semasa jangkitan dan kematian akibat Covid-19 ini, pada 1 Ogos, kita akan menyertai “kelab jutawan” yang buat masa ini ada 28 buah negara dengan jumlah kes terkumpul lebih daripada sejuta dan dengan lebih daripada 6,000 kematian.

Marilah kita ketepikan perbezaan politik buat sementara waktu untuk melawan ancaman eksistensial yang dibawa oleh wabak Covid-19 ini dan kerana inilah dua minggu yang lalu, saya telah cadangkan moratorium politik selama dua tahun untuk memenangi perang melawan Covid-19.

Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional telah mengeluarkan kenyataan yang mereka tidak akan menyokong sebarang usul undi tidak percaya apabila Parlimen bersidang.

Tidak ada sebarang rancangan daripada Pakatan Harapan untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Sultan Johor bercakap bagi pihak semua rakyat Malaysia apabila baginda menzahirkan kesedihan baginda melihat rakyat hidup dalam kesusahan, kebimbangan, dan kerisauan semasa berhadapan dengan wabak Covid-19 dan juga kekecewaan baginda apabila sehingga hari ini, wabak Covid-19 ini masih lagi belum dapat diselesaikan.

Malaysia memerlukan kerajaan gabungan “Menang Perang Melawan Covid-19” untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada kehancuran dan kerugian ekonomi.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu mengatasi masalah “Parlimentitis” — ketakutan dan kerisauan untuk memanggil sidang Parlimen — beliau dan memanggil semula sidang Parlimen secepat mungkin sebelum 1 Ogos, yang merupakan hasrat jelas Yang di Pertuan Agong dan mesyuarat khas Majlis Raja-raja Melayu pada 16 Jun supaya darurat tidak perlu dilanjutkan selepas 1 Ogos.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri