#kerajaangagal136 -- Malaysia tidak akan menang perang melawan Covid-19 jika sikap Annuar Musa mewakili mentaliti kerajaan Muhyiddin

Saya terkejut dan tergamam membaca laporan Malaysiakini berkenaan kenyataan Menteri Wilayah, Annuar Musa dalam forum Harakah Daily berhubung situasi wabak Covid-19.

Menurut Annuar antara petunjuk kerajaan berjaya mengawal pandemik ini adalah apabila orang ramai sudah tidak lagi takut terhadap Covid-19.

Beliau berkata: “Kita mempunyai masalah di mana orang ramai tidak takut dengan Covid-19. Jadi bila mereka tidak takut, ia bermakna ada antara mereka yang fikir ini bukan pandemik.

Tambahnya: "Pada saya itu adalah indication bahawasanya kita berjaya mengawal wabak sehingga dia tidak dianggap wabak oleh sesetengah orang...Itu tanda kejayaan."

Annuar juga meminta orang ramai membandingkan keadaan di Malaysia dengan negara lain, khususnya negara yang lebih maju teknologi dan sains perubatannya.

Memetik beberapa contoh, beliau berkata Amerika Syarikat setakat ini telah mencatatkan hampir 35 juta kes positif termasuk 615,232 kematian, manakala United Kingdom mencatat lebih 4.5 juta kes dengan 127,000 kematian.

Menurut Annuar, ia merupakan satu lagi petunjuk prestasi Malaysia yang baik berbanding negara-negara lain.

Beliau juga membangkitkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sebagai petunjuk kejayaan kerajaan dalam mengawal pandemik.

"Bagaimana nak kata kita gagal? Dalam keadaan sekarang tiap-tiap empat hari sejuta rakyat diberi suntikan percuma.

“Adakah ini petanda kita gagal?”

Kita mempunyai Kabinet yang cukup hebat -- Menteri-menterinya boleh melihat kejayaan dalam kegagalan! Dua perkataan bermain di fikiran saya semasa membaca laporan ini: kakistokrasi dan distopia.

Adakah Annuar sebenarnya contoh daripada Kabinet Muhyiddin yang menganggap Proklamasi Darurat pada 12 Januari 2021 untuk melawan Covid-19 adalah suatu kejayaan besar dan bukannya kegagalan!

Berapa ramai Menteri dalam Kabinet gergasi Muhyiddin yang berfikiran seperti Annuar -- berfikiran bahawa kerajaan sedang memenangi peperangan melawan Covid-19 sedangkan kita sebenarnya sedang berhadapan dengan kekalahan?

Malaysia tidak akan menang perang melawan wabak ini jika pemikiran seperti Annuar Musa ini meluas dalam kerajaan Muhyiddin dalam usaha melawan Covid-19.

Amat mengejutkan dan tidak masuk akal bahawa kita mempunyai sebuah kerajaan yang seolah-olah menganggap kegagalan proklamasi darurat sebagai senjata melawan Covid-19 dan mendakwa dasar serta strategi komunikasi untuk mendidik orang ramai tentang bahaya pandemik Covid-19 telah mencapai kejayaan.

Tidak hairanlah negara terjerat dalam masalah yang begitu besar!

Ketua Pengarah Kesihatan menzahirkan kebimbangan tentang kadar kes dan kematian Covid-19 yang begitu tinggi; bahawa sistem kesihatan awam, hospital, dan katil unit rawatan rapi berada di tahap genting ekoran peningkatan kes Covid-19 -- bagaimanapun kerisauan ini tidak dirasai oleh pemimpin politik dalam kerajaan hari ini seperti yang digambarkan oleh kenyataan Annuar dalam forum Harakah Daily semalam.

Mengikut logik dan mentaliti Annuar, Malaysia patut meraikan “kejayaan” kita menewaskan China, yang mempunyai jumlah penduduk 44 kali ganda daripada Malaysia, bukan sahaja dalam kategori jumlah kumulatif kes Covid-19 malah dalam angka kematian akibat wabak itu. Setakat semalam, China mempunyai 91,669 kes Covid-19 dan 4,636 kes kematian berbanding Malaysia dengan 71716,847 kes Covid-19 dan 4,721 kes kematian.

Mengikut logik Annuar juga, kita ada sebab untuk meraikan lagi “kejayaan” ini kerana semalam, kita mencipta rekod baharu apabila kita memintas Serbia untuk berada di kedudukan ke-36 antara negara-negara dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 tertinggi.

Kita mungkin akan memintas Jordan menjelang penghujung Jun atau awal Julai untuk berada di kedudukan ke-35 sedangkan kita pernah menduduki tangga ke-85 antara negara-negara dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 tertinggi pada 11 November 2020.

Statistik kes di Amerika Syarikat dan United Kingdom sepanjang 18 bulan lalu yang dipetik Annuar dalam forum berkenaan tepat. Pun begitu, beliau tidak mengambil kita perkembangan terbaharu di mana Amerika Syarikat dan United Kingdom telah merekodkan penurunan mendadak dalam kes positif Covid-19 dan kes kematian akibat wabak itu, sementara di Malaysia, perkara sebaliknya pula berlaku.

Sebagai contoh, sepanjang minggu lalu dari 16 hingga 23 Jun, Amerika Syarikat merekodkan 82,203 kes baharu Covid-19 dengan 2,113 kes kematian dan UK merekodkan 79,480 kes baharu Covid-19 dengan 101 kes kematian berbanding 37,980 kes baharu Covid-19 dan 495 kes kematian di Malaysia.

Perlukah Malaysia meraikan “kejayaan” apabila kita mendapat markah 2,382.59 dalam kategori “kes per sejuta penduduk setiap dua minggu” seperti yang disiarkan dalam laman web Our World in Data -- jauh lebih tinggi berbanding Amerika Syarikat (507.24) dan United Kingdom (1,948.74)?

Apa yang lebih membimbangkan adalah bagaimana Malaysia boleh menang perang melawan pandemik Covid-19 apabila kita mempunyai Menteri seperti Annuar Musa dalam Kabinet Muhyiddin.

Dalam sesebuah negara dengan Kabinet yang baik, cekap dan bertanggungjawab, Annuar sudah tentu akan dipecat serta merta.

Malaysia memerlukan kerajaan gabungan “Menang Perang Melawan Covid-19” untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada kehancuran dan kerugian ekonomi.

Tiada ada tempat dalam Kabinet “Menang Perang Melawan Covid-19” untuk orang seperti Annuar yang nampak kejayaan sedangkan Malaysia sedang mengalami kekalahan dalam peperangan melawan Covid-19!

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri