#kerajaangagal135 -- Adakah “Parlimentitis” Muhyiddin -- ketakutan dan kerisauan beliau kepada Parlimen -- sebegitu kuat sehingga beliau bersedia untuk semua orang marah dengan tidak memanggil sidang Parlimen sebelum 1 Ogos 2021?

Timbalan Yang di Pertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon, telah mengatakan yang Parlimen mempunyai kemudahan yang mencukupi untuk mengadakan sidang Parlimen secara hibrid pada bila-bila masa yang diperlukan.

Jadi mengapakah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji pembukaan semula Parlimen dan sama ada patut dijalankan secara hibrid yang melibatkan Ahli-ahli Parlimen Pembangkang?

Adakah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang dan Parlimen), Takiyuddin Hassan, telah lalai dan gagal dalam menjalankan tanggungjawab beliau apabila beliau tidak memaklumkan kepada Perdana Menteri yang Parlimen mempunyai kemudahan yang mencukupi untuk mengadakan sidang Parlimen secara hibrid?

Hakikat di mana masih tidak ada apa-apa tindakan susulan daripada Takiyuddin sejak daripada tawaran Perdana Menteri pada Ahad lepas mengenai pembentukan jawatankuasa ini bukan sahaja menimbulkan persoalan mengenai prestasi Takiyuddin, tetapi juga menimbulkan persoalan terhadap keikhlasan tawaran Perdana Menteri itu sendiri.

Namun, biar apa pun yang terjadi, Majlis Presiden Pakatan Harapan telah mengatakan yang mereka bersedia untuk menyertai jawatankuasa untuk mempertimbangkan pembukaan semula Parlimen ini, dengan syarat perkara ini tidak melengahkan pembukaan semula Parlimen sebelum 1 Ogos.

Apakah tindak balas Muhyiddin? Atau adakah “Parlimentitis” beliau -- ketakutan dan kerisauan beliau terhadap Parlimen -- telah menjadi terlalu kuat sehinggakan beliau sanggup mengundangkan kemurkaan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu, dan juga kemarahan rakyat Malaysia dengan tidak memanggil sidang Parlimen sebelum 1 Ogos 2021?

Sebelum ini, telah dibangkitkan perkara bahawa notis 28 hari untuk persidangan parlimen boleh diketepikan mengikut peruntukan Peraturan Mesyuarat 9(2)(a) dan 11(2).

Saya masih lagi ingat persidangan tergempar Parlimen pada bulan Januari 1979 apabila Ahli-ahli Parlimen diberikan notis dua hari untuk bersidang susulan daripada keputusan Majlis Privy di London mengenai kes Teh Cheng Poh.

Pada bulan Julai 2014, Ahli-ahli Parlimen diberikan notis selama tiga hari untuk sidang tergempar Dewan Rakyat selama sehari selepas kejadian tragis kapal terbang Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh.

Kedua-dua kes Majlis Privy Teh Cheng Poh dan kes tragis MH17 tidak dibandingkan dengan bencana Covid-19 yang sedang melanda negara kita sekarang. Wabak ini telah meragut lebih ramai nyawa di negara kita berbanding dengan China, yang mempunyai 44 kali ganda lebih penduduk, dan juga membawa kerosakan kepada ekonomi dan struktur sosial dalam 18 bulan yang lepas dalam negara kita.

Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional telah mengeluarkan kenyataan yang mereka tidak akan menyokong sebarang usul undi tidak percaya apabila Parlimen bersidang.

Dalam kenyataan bersama, Ahli-ahli Parlimen BN berikrar untuk berpegang kepada titah Yang di Pertuan Agong selepas mesyuarat khas Majlis Raja-raja pada 16 Jun, di mana baginda bertitah mengenai keperluan untuk Parlimen bersidang semula secepat mungkin untuk menguatkan lagi langkah-langkah melawan wabak Covid-19.

Tidak ada sebarang rancangan daripada Pakatan Harapan untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Jadi apa lagi yang Muhyiddin takut untuk memanggil sidang Parlimen sebelum 1 Ogos?

Sultan Johor bercakap bagi pihak semua rakyat Malaysia apabila baginda menzahirkan kesedihan baginda melihat rakyat hidup dalam kesusahan, kebimbangan, dan kerisauan semasa berhadapan dengan wabak Covid-19 dan juga kekecewaan baginda apabila sehingga hari ini, wabak Covid-19 ini masih lagi belum dapat diselesaikan.

Saya seru kepada Muhyiddin untuk mengatasi “Parlimentitis” beliau ini panggil semula sidang Parlimen secepat mungkin sebelum 1 Ogos, yang merupakan hasrat jelas Yang di Pertuan Agong dan mesyuarat khas Majlis Raja-raja Melayu pada 16 Jun supaya darurat tidak perlu dilanjutkan selepas 1 Ogos.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri