#kerajaangagal134 -- Malaysia memerlukan kerajaan gabungan “Menang Perang Melawan Covid-19” untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada kehancuran dan kerugian ekonomi

Malaysia memerlukan kerajaan gabungan “Menang Perang Melawan Covid-19” untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada kehancuran dan kerugian ekonomi.

Hari ini, Malaysia terjerumus lebih dalam ke lembah kehancuran akibat daripada Covid-19.

Dengan kes kematian akibat Covid-19 yang berjumlah 4,637 setakat ini, kita telah menewaskan China (4,636 kes kematian), yang sebelum ini berada di kedudukan pertama dalam kalangan negara dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 tertinggi.

Kita juga telah menewaskan China dalam jumlah kumulatif kes Covid-19. China berada di kedudukan ke-100 dengan 91,653 kes sementara Malaysia berada di kedudukan ke-37 dengan 711,006 kes Covid-19 - berbanding kedudukan ke-85 pada tujuh bulan lalu.

Perlu diingatkan bahawa China mempunyai jumlah penduduk seramai 1.4 bilion iaitu bersamaan 44 kali ganda daripada 32 juta penduduk Malaysia. Pun begitu, Malaysia mempunyai kira-kira lapan kali ganda jumlah kes Covid-19 berbanding China.

Hari ini, situasi wabak Covid-19 di negara kita akan bertambah lebih buruk selepas kita dijangka akan mengatasi Serbia untuk mengambil alih tempat ke-36 antara negara-negara di dunia dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 tertinggi.

Persoalannya sekarang -- Adakah kita akan memintas Jordan untuk berada di kedudukan ke-35 antara negara-negara di dunia dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 tertinggi -- yang dijangka akan berlaku pada 30 Jun atau dalam minggu pertama bulan Julai!

Adakah ini yang dimahukan Perdana Menteri menerusi Pelan Pemulihan Negara yang dibentangkannya?

Menerusi siaran langsung televisyen pada 15 Julai lalu, Muhyiddin membentangkan empat fasa dalam Pelan Pemulihan Negara -- peralihan dari Fasa Satu ke Fasa Dua akan berlaku jika syarat-syarat ini dipenuhi: merekodkan purata kes Covid-19 di bawah 4,000 kes sehari, kapasiti katil di unit rawatan rapi (ICU) juga perlu mencapai paras 75 peratus ke bawah di samping 10 peratus populasi yang telah divaksin.

Ketiga-tiga syarat berkenaan nampaknya tidak akan dicapai menjelang hujung bulan ini, kerana:

  • Pertama, kita tidak merekodkan purata kes Covid-19 di bawah 4,000 kes sehari, memandangkan kes Covid-19 tidak pernah jatuh ke bawah paras 4,000 kes sepanjang bulan Jun. Angka kes yang direkodkan berlegar di antara 4,611 kes pada 21 Jun dan 8,209 kes pada 3 Jun.
  • Malah, jumlah kes Covid-19 dalam tempoh 23 hari dalam bulan Jun (138,649) sudah melebihi 4,000 kes jika jumlah itu dibahagikan dengan 30 hari (4,621 kes).

  • Kedua, kapasiti katil di unit rawatan rapi (ICU) tidak mencapai paras 75 peratus ke bawah.
  • Dua hari lalu, Adun DAP Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah menggesa Menteri Kesihatan menjelaskan situasi di Hospital Serdang selepas ambulans enggan membawa pesakit Covid-19 yang mengalami masalah pernafasan.

    Tambahnya, selepas sukarelawan membawa pesakit Covid-19 ke hospital semalam, beliau mendakwa kakitangan di situ memberitahu mereka untuk tidak lagi menghantar pesakit kerana kekurangan katil di hospital.

    Pada 8 Jun, Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah berkata penggunaan katil ICU oleh pesakit Covid-19 telah meningkat kepada 104 peratus pada 6 Jun. Ini merupakan peningkatan daripada 96 peratus pada 25 Mei.

    Noor Hisham berkata, penggunaan kapasiti ICU yang melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan .

    “Ini bermakna tiada ruang untuk pesakit lain yang datang untuk mendapatkan rawatan rapi,” katanya.

    Beliau juga berkata tiga hingga empat bulan diperlukan untuk melandaikan lekuk penularan Covid-19.

  • Ketiga, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin mengumumkan kelewatan selama setengah bulan dalam Fasa Satu kerana 10 peratus penduduk dijangka hanya akan diberikan vaksin penuh pada pertengahan Julai dan bukannya pada penghujung Jun.

Pun begitu, Perdana Menteri masih berterusan membuat dasar flip-flop, melakukan pusingan-U dalam keputusan yang sudah dibuat dan mengamalkan sikap dwi-standard dalam pelaksanaan SOP.

Apa jenis Pelan Pemulihan Negara Covid-19 yang dirangka kerajaan Muhyiddin jika kredibilitinya diragui hanya selepas beberapa hari ia diumumkan?

Akhirnya, Muhyiddin membuat kenyataan terbuka semalam. Beliau berkata situasi sebenar sentiasa berubah-ubah meskipun kerajaan telah menentukan sasaran seperti tarikh, tempoh, kadar dan jumlah kes serta proses vaksinasi serta kapasiti penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU).

Amat pelik bagi Muhyiddin -- yang telah terlibat selama empat dekad dalam proses demokrasi berparlimen -- mempunyai perasaan takut terhadap Parlimen.

Sultan Johor menyuarakan apa yang terbuku dalam isi hati rakyat Malaysia. Baginda menzahirkan keprihatinan terhadap rakyat yang kesusahan, ketakutan dan kegelisahan ekoran masalah penularan virus Covid-19 dan kekecewaan baginda kerana sehingga hari ini, masalah Covid-19 masih belum selesai.

Saya menggesa agar Muhyiddin mengatasi perasaan takutnya terhadap Parlimen dengan segera memanggil sidang Parlimen sebelum 1 Ogos dan tidak melanjutkan tempoh darurat selepas ia berakhir pada 1 Ogos, yang merupakan hasrat Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu selepas mengadakan perbincangan khas pada 15 Jun.

Adakah kita akan melihat sinar harapan baharu dalam politik negara?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri