#kerajaangagal133 – Sokongan kepada dua Ahli Parlimen yang mahu dakwaan membabitkan kebebasan badan kehakiman negara, profesion undang-undang dan polis disiasat dan tidak dilupakan
Saya menyokong gesaan dua ahli Parlimen, Ahli Parlimen DAP Segambut, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Warisan Penampang, Darell Leiking, supaya dakwaan membabitkan kebebasan badan kehakiman negara, profesion undang-undang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) disiasat dan tidak dilupakan.
Hannah dan Darell merujuk kepada laporan berita berkenaan dakwaan campur tangan ke atas badan kehakiman negara membabitkan dua peguam kanan dan laporan polis yang telah dibuat oleh mereka yang terlibat.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan bagaimana awalnya isu keperluan ekuiti bumiputera untuk mendapatkan lesen Petronas membabitkan unit Aker Solutions ASA di Malaysia, iaitu firma perkhidmatan minyak terbesar di Norway, berkembang menjadi dakwaan pengaturan kehakiman yang membimbangkan golongan peguam (legal fraternity).
Kedua-dua Ahli Parlimen itu turut merujuk dakwaan bekas ketua polis negara (IGP) Abdul Hamid Bador berkenaan campur tangan politik dalam polis, apabila mengakui hubungan tidak baik antara dia dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.
Hamid mendakwa seorang menteri hanya patut terlibat dalam pembuatan dasar, dan tidak harus terlibat dalam soal pelantikan pegawai polis kanan.
Malaysia mempunyai kepentingan khusus dalam memastikan kebebasan Badan Kehakiman serta profesionalisme PDRM yang tidak dipengaruhi politik. Kedua-dua institusi ini telah dirosakkan oleh pentadbiran terdahulu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 yang bersejarah yang mengejutkan dunia dengan peralihan kuasa yang aman dan demokratik.
Pengembalian kebebasan Badan Kehakiman dan profesionalisme Polis Diraja Malaysia yang tidak dipengaruhi politik adalah dua reformasi utama kerajaan Pakatan Harapan yang tidak dapat diselesaikan ekoran digulingkan setelah hanya 22 bulan mentadbir oleh konspirasi Langkah Sheraton yang membawa masuk sebuah kerajaan yang bukan sahaja kakistokrasi, malah telah menjadikan Malaysia sebuah distopia dengan kekalahan dalam perang melawan wabak Covid-19 sejak 18 bulan lalu.
Sultan Johor, seperti mana Sultan di negeri lain, menzahirkan keprihatinan terhadap rakyat yang kesusahan, ketakutan dan kegelisahan ekoran masalah penularan virus Covid-19 yang berlarut sejak 18 bulan yang lalu.
Rakyat Malaysia terkejut bahawa seminggu selepas perbincangan khas Majlis Raja-Raja Melayu berhubung situasi pandemik Covid-19, kerajaan masih mempersoalkan tentang tafsiran ungkapan “secepat mungkin” yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu berkenaan pembukaan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
Sekiranya Perdana Menteri mempunyai keraguan tentang erti “secepat mungkin”, mengapa beliau tidak memohon penjelasan dalam pertemuan mingguannya dengan Yang di-Pertuan Agong?
Ini adalah masa yang sangat penting bagi rakyat Malaysia untuk bersatu di belakang kebebasan institusi kebangsaan di negara ini, sama ada Raja Berperlembagaan, demokrasi berparlimen, kebebasan kehakiman atau profesionalisme Polis Diraja Malaysia yang tidak dipengaruhi politik.
Marilah kita bersatu untuk memenangkan perang melawan Covid-19 yang merupakan musuh yang tidak dapat dilihat tetapi amat berbahaya dengan menegakkan lima prinsip Rukun Negara walaupun ada Menteri yang tidak dilihat mendukung semangat Rukun Negara.