#kerajaangagal131 — Seruan kepada Kabinet untuk menjadi pengubah keadaan (game changer) dalam perang melawan Covid-19 dan mengadakan sidang tergempar Dewan Rakyat dalam minggu pertama bulan Julai memandangkan Peraturan Mesyuarat 9(2)(b) Dewan Rakyat boleh membatalkan notis 28 hari untuk “kes-kes mendesak” sebagaimana yang ditentukan oleh Speaker Parlimen

Setakat ini, terdapat tiga pandangan berhubung pembukaan semula Parlimen.

Pertama, pandangan yang mengatakan bahawa di bawah Perkara 40 Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri — justeru jika Kabinet memutuskan bahawa Parlimen harus bersidang dalam bulan September atau Oktober mengikut Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara atau ia harus ditangguh selama-lamanya, Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai pilihan selain bertindak atas nasihat Kabinet atau menteri yang dilantik.

Kedua, pandangan yang mengatakan bahawa Perdana Menteri telah memberikan janji tersirat untuk tidak menggunakan Artikel 40 Perlembagaan selepas menguatkuasakan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 pada 11 Januari 2021 dan menubuhkan jawatankuasa khas bebas “untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai darurat berlanjutan yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam persekutuan yang timbul akibat wabak. iaitu Coronavirus 2019 (COVID-19) ”. Oleh itu, Yang di-Pertuan Agong tidak perlu bertindak atas nasihat Kabinet atau Menteri yang dilantik.

Ketiga, pandangan yang mengatakan bahawa di bawah Seksyen 14 (1) (b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, yang memperuntukkan bahawa “Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong”, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa darurat untuk tidak bertindak atas nasihat Kabinet atau Menteri yang dilantik, terutama kerana kuasa pembubaran Parlimen adalah kuasa yang boleh dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong tanpa bertindak atas nasihat Kabinet atau Menteri di bawah Perkara 40(2)(c) Perlembagaan. Presiden Dewan Negara, Rais Yatim, menyokong tafsiran ini dan pandangan ini mempunyai kelebihan ekoran penggubalan Ordinan yang buruk.

Tetapi saya percaya semua pertimbangan ini harus diletakkan di bawah urusan yang paling utama – bagaimana untuk mengubah gelombang kekalahan untuk memenangkan perang melawan Covid-19, yang telah meragut 4,554 nyawa (kurang 77 kematian berbanding China yang mempunyai 1.4 bilion penduduk atau bersamaan 44 kali ganda penduduk Malaysia) dan menyebabkan kehancuran yang tidak terkata kepada ekonomi dan masyarakat Malaysia.

Saya sudah berada di Parlimen — kecuali untuk satu penggal — lebih dari lima dekad sejak 1969.

Saya tidak berminat untuk turut serta dalam sandiwara parlimen, sebaliknya ingin benar-benar mencari jalan untuk menjadikan Parlimen wadah untuk menyatupadukan rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, wilayah atau politik bagi mempelopori gerakan “keseluruhan masyarakat” supaya kekalahan dalam perang melawan pandemik Covid-19 ini akhirnya dapat diubah menjadi kemenangan.

Kita telah gagal dalam 18 bulan yang lalu untuk menyakinkan semua rakyat Malaysia bahawa kita semua sedang berdepan peperangan dengan musuh yang tidak kelihatan tetapi amat berbahaya, kerana tiada sebab untuk Malaysia secara tiba-tiba tercampak dalam kategori negara dengan prestasi terburuk di dunia dalam mengendalikan wabak Covid-19 sedangkan negara yang menghiasi tajuk-tajuk utama berita antarabangsa untuk berbulan-bulan lamanya sebagai negara terburuk dalam menangani wabak itu kini telah menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding Malaysia.

Kerajaan Malaysia bersikap “tidak apa” tentang 4,554 nyawa yang telah melayang akibat pandemik Covid-19.

Dalam minggu lalu sahaja, terdapat 485 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan di negara ini berbanding 91 kes di United Kingdom. Dalam tempoh pertama darurat dari 11 hingga 17 Januari 2021, terdapat 50 kes kematian Covid-19 di Malaysia berbanding 7,841 kes di UK.

Mengapa ini terjadi?

Berapa ramai lagi akan terkorban jika kita terus-menerus menunda persidangan Parlimen sehingga September atau Oktober ketika kadar kes kematian terkini sudah mencecah 70 orang sehari atau kita-kira 2,000 kematian sebulan?

Angka kes kematian ini tidak termasuk kadar kematian akibat bunuh diri yang begitu tinggi direkodkan semasa pandemik Covid-19 mengganas. Mengikut statistik polis, 266 orang telah membunuh diri antara 18 Mac dan 30 Oktober 2020.

Dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 sebanyak 705,762, kita kini berada di kedudukan ke-37 antara negara-negara dengan kes terkumpul tertinggi di dunia berbanding tujuh bulan lalu, di mana kita berada di kedudukan ke-85 pada 18 November 2020. China, dari kedudukan nombor satu, kini berada di kedudukan ke-100 antara negara-negara dengan kes terkumpul tertinggi.

Adakah kita mahu tersenarai dalam “kelab jutawan” Covid-19 bersama 29 negara-negara yang telah merekodkan kes terkumpul Covid-19 melebihi paras sejuta?

Jika Parlimen hanya akan bersidang pada September atau Oktober, tidak mustahil kita akan masuk ke dalam “kelab jutawan” Covid-19!

Amerika Syarikat, India, dan United Kingdom menunjukkan penurunan ketara dari puncak peningkatan kes Covid-19 – Amerika Syarikat mencatakan penurunan sebanyak 98%, India (93%) dan United Kingdom (83%), sementara kita masih bergelut untuk tidak merekodkan lagi puncak peningkatan kes Covid-19 yang baharu.

Saya berkongsi pandangan Ahli Parlimen UMNO Tanjong Karang, Noh Omar berhubung sokongan terhadap titah Yang di-Pertuan Agong untuk Parlimen bersidang segera, tetapi tidak akan menyokong undi tidak percaya.

Inilah sebabnya mengapa saya mencadangkan supaya moratorium politik dilaksanakan selama satu tahun — yang boleh dilanjutkan kepada dua tahun — bagi membolehkan negara fokus kepada usaha untuk memenangi peperangan melawan wabak Covid-19 dan memastikan jumlah kes kematian akibat Covid-19 tidak melebihi paras 5,000 kes

Marilah sama-sama kita mengetepikan isu lain bagi memberi tumpuan kepada isu pandemik Covid-19 yang sedang mengancam negara kita.

Mesyuarat Kabinet hari ini harus menjadi pengubah keadaan (game changer) dalam perang melawan pandemik Covid-19. Kabinet harus menyokong dua kesimpulan kenyataan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu hasil perbincangan khas pada 16 Jun bahawa Parlimen patut bersidang sebelum 1 Ogos dan tidak ada keperluan untuk darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos.

Marilah kita mengetepikan perbezaan kita, sama ada dalam hal politik atau lain-lain, dan memberi tumpuan sepenuhnya untuk memenangi peperangan melawan pandemik Covid-19.

Inilah tanggungjawab kita kepada negara.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri