#kerajaangagal130 — Strategi komunikasi Covid-19 kerajaan Muhyiddin merupakan satu kegagalan dan bencana besar akibat SOP yang sering berubah, layanan berbeza, dan ancaman kepada kebebasan terhadap maklumat dan akhbar sehinggakan rakyat kini tidak percaya kepada apa yang dikatakan kerajaan

Strategi komunikasi Covid-19 kerajaan Muhyiddin merupakan satu kegagalan dan bencana besar akibat SOP yang sering berubah, layanan berbeza, dan ancaman kepada kebebasan terhadap maklumat dan akhbar sehinggakan rakyat kini tidak percaya kepada apa yang dikatakan kerajaan.

Perkara ini dapat dilihat daripada rayuan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah semalam kepada rakyat Malaysia, terutamanya yang berada di Lembah Klang, untuk terus berjaga-jaga dan patuh kepada SOP dan cadangan kesihatan awam untuk melindungi diri daripada wabak Covid-19 yang kian merebak, terutamanya apabila kebanyakkan kes sekarang tidak menunjukkan simptom.

Beliau menggesa rakyat untuk duduk di rumah seboleh mungkin dan mematuhi peraturan berkaitan kebersihan dan keselematan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara apabila perlu keluar dari rumah.

Nasihat ini kelihatan seakan-akan tidak lagi diendahkan.

Kerana inilah perutusan siaran langsung Perdana Menteri juga sudah tidak kerap dilakukan seperti mana pada waktu beliau mula-mula menjadi Perdana Menteri selepas Langkah Sheraton berjaya menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan yang diundi secara sah selepas 22 bulan mentadbir. Namun, dalam beberapa siaran langsung Perdana Menteri baru-baru ini juga, ia disambut sinis oleh rakyat.

Muhyiddin cuba untuk merendah diri dengan mengatakan yang beliau sedia dipanggil “bodoh”, tetapi hakikatnya, beliau adalah Perdana Menteri yang paling tidak popular dalam sejarah negara.

Contoh terbaru adalah dalam pengumuman semalam daripada Menteri Koordinasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin mengenai kelewatan setengah bulan dalam Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara, memandangkan kita hanya dijangkakan akan berjaya memberikan vaksin kepada 10 peratus penduduk menjelang pertengahan bulan Julai, dan bukannya pada akhir bulan Jun seperti yang diumumkan Perdana Menteri enam hari sebelumnya.

Kelewatan setengah bulan ini dipersembahkan sebagai satu pencapaian kerajaan Muhyiddin.

Kerana inilah tidak ada sebarang sambutan apabila semalam diumumkan negara kita mencatatkan 4,611 kes baharu, kadar terendah sejak pertengahan bulan Mei, menunjukkan terdapat sesuatu yang disorokkan.

Ahli Parlimen DAP untuk Bandar Kuching dan Beruas, Kelvin Yii dan Ngeh Koo Ham, telah membangkitkan dalam kenyataan media mereka semalam yang pengumuman 4,611 kes semalam memberikan gambaran yang keadaan Covid-19 di Malaysia semakin beransur pulih sedangkan perkara ini terjadi kerana jumlah orang yang menjalani ujian saringan semalam adalah pada kadar terendah dalam bulan Jun — 58,384 orang, berbanding dengan 105,293 orang pada 4 Jun.

Kelvin Yii memberikan amaran kepada kerajaan yang kadar ujian saringan yang rendah buat masa sekarang ini boleh membawa kepada peningkatan kes baharu dan menggagalkan usaha Pelan Pemulihan Negara.

Ngeh di laman Facebook beliau pula menunjukkan satu carta yang menunjukkan jumlah orang yang menjalani ujian saringan dan kadar peratusan positif untuk setiap hari dalam bulan Jun tahun ini.

Ngeh menekankan yang Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mencadangkan supaya kadar positif dikekalkan di bawah paras 5% untuk dua minggu sekurang-kurangnya sebelum mempertimbangkan langkah-langkah untuk meringankan sekatan pergerakan. Malangnya, Malaysia mencatatkan kadar positif yang tidak memuaskan dalam tempoh tiga minggu yang lepas apabila kadar positif ini secara konsisten berada di atas paras 5%.

Sekiranya Kabinet pada hari esok terus memilih untuk tidak bertindak atas dua kesimpulan kenyataan Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja — bahawa Parlimen patut bersidang sebelum 1 Ogos dan tidak ada keperluan untuk darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos — ia akan terus hilang segala bentuk kredibiliti dan keabsahan dan terus menjunamkan negara kita ke dalam kancah krisis berperlembagaan.

Inilah agenda yang perlu dibincangkan dan diselesaikan oleh Kabinet esok.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri