#kerajaangagal129: Semua mata tertumpu kepada mesyuarat Kabinet esok — adakah ia akan menyelamatkan Malaysia daripada krisis perlembagaan dan menyediakan asas untuk Malaysia memenangi peperangan terhadap pandemik Covid-19 yang merupakan musuh yang tidak kelihatan tetapi amat berbahaya
Semua mata tertumpu kepada mesyuarat Kabinet esok.
Adakah Kabinet akan menyelamatkan Malaysia daripada krisis perlembagaan dan menyediakan asas untuk Malaysia memenangi peperangan terhadap pandemik Covid-19 yang merupakan musuh yang tidak kelihatan tetapi amat berbahaya
Adakah Kabinet akan mengakhiri permainan dakwa-mendakwa seperti yang dimulakan dua Menteri PAS yang mendakwa kononnya pandangan yang dizahirkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu selepas mengadakan perbincangan khas pada 16 Jun lalu selaras dengan usaha Putrajaya seperti yang digariskan Perdana Menteri dalam Pelan Pemulihan Negara serta menerima hakikat dan realiti bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mahu dua perkara: pertama, Parlimen harus bersidang “secepat mungkin” sebelum 1 Ogos 2021 dan kedua, tiada keperluan untuk melanjutkan tempoh darurat selepas 1 Ogos 2021.
Data Covid-19 semalam menunjukkan Malaysia telah mencipta satu lagi rekod baharu pandemik Covid-19 — kita telah memecahkan rekod dengan mencatatkan jumlah kumulatif kes Covid-19 melebihi paras 700,000. Jumlah kumulatif kes Covid-19 setakat ini adalah sebanyak 701,019.
Hari ini, kita juga bakal mencipta rekod baharu apabila kedudukan kita diramal bertambah buruk, malah dijangka melompat ke tempat ke-37 — sekaligus menewaskan Switzerland — antara negara-negara dengan jumlah kes kumulatif Covid-19 tertinggi di dunia.
Tujuh bulan lepas, pada 18 November 2020, kita berada di kedudukan ke-85 antara negara-negara dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 tertinggi.
Sebelum hujung minggu ini, kita dijangka akan menewaskan China dalam jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19. Angka kes kematian akibat Covid-19 di China setakat ini adalah sebanyak 4,636 kes – kurang 159 kes berbanding Malaysia yang mencatatkan 4,477 kes kematian setakat ini.
Menjelang hari terakhir sekatan pergerakan penuh pada 28 Jun, kedudukan kita diramal bertambah buruk dan bakal mengalahkan Serbia untuk berada di kedudukan ke-36 antara negara-negara di dunia dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 tertinggi.
Pun begitu, masih ada pihak yang mendakwa kita telah memenangi peperangan melawan pandemik Covid-19, sedangkan mengikut mana-mana skala ukuran, sama ada kecil mahupun besar, tidak dapat disangkal lagi bahawa kita sebenarnya telah tewas dalam peperangan menentang Covid-19 dan terpaksa membayar harga yang mahal bukan sahaja melibatkan nyawa, malah berdepan ancaman kehancuran ekonomi dan kehidupan masyarakat Malaysia.
Mengapa situasi Covid-19 di Malaysia kian memburuk tanpa menunjukkan tanda-tanda akan pulih seperti yang berlaku di Amerika Syarikat, yang dulunya dianggap sebagai antara negara dengan prestasi terburuk dalam menguruskan wabak ini, tetapi kini bangkit dengan merekodkan kes harian baharu lebih rendah berbanding Malaysia pada dua hari lalu?
Pandangan yang dizahirkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sudah dijangka, seperti mana rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, wilayah atau politik bimbang terhadap prestasi buruk kerajaan dalam mengendalikan peperangan terhadap wabak Covid-19 saban hari.
Persoalannya sekarang, mengapa Perdana Menteri dan para Menteri seolah-olah terpisah dari realiti dan berdegil enggan untuk menerima hakikat bahawa darurat bukanlah jalan penyelesaian untuk mengekang pandemik Covid-19. Sebaliknya, yang diperlukan adalah untuk kerajaan membenarkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bersidang semula “secepat mungkin” bagi menggerakkan usaha menyatupadukan rakyat dalam peperangan melawan pandemik Covid-19, sekaligus mengembalikan keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap pengendalian perang terhadap musuh tidak kelihatan ini.
Adakah mesyuarat Kabinet esok akan membuat keputusan untuk menamatkan permainan dakwa-mendakwa ini dan menyediakan asas untuk Malaysia memenangi peperangan terhadap pandemik Covid-19?