#kerajaangagal128 - Hari yang memalukan buat negara apabila Malaysia mengatasi Amerika Syarikat dalam jumlah kes baharu Covid-19

Hari yang memalukan buat negara apabila Malaysia mengatasi Amerika Syarikat dalam jumlah kes baharu Covid-19.

Semalam, Malaysia merekodkan 5,293 kes baharu Covid-19, sementara Amerika Syarikat -- negara yang menunjukkan prestasi terburuk dengan kes kumulatif sebanyak 34.4 juta dan 617,166 kematian -- merekodkan kes baharu sebanyak 4,422 kes -- kurang hampir 1,500 kes berbanding Malaysia.

Untuk berbulan-bulan lamanya, rakyat Malaysia memandang rendah Amerika Syarikat yang dilihat gagal mengendalikan pandemik Covid-19, terutama semasa Donald Trump menjadi presiden negara tersebut.

Sekarang, kita pula yang dipandang rendah oleh masyarakat dunia, kerana menjadi salah satu negara yang mempunyai prestasi terburuk dalam mengendalikan wabak Covid-19, sementara Amerika Syarikat dan negara-negara lain di benua Eropah menunjukkan prestasi yang semakin baik dalam mengendalikan wabak tersebut.

Amerika Syarikat merekodkan 305,067 kes baharu sewaktu negara itu mencapai puncak jangkitan Covid-19 pada 30 Januari 2021. Malaysia ketika itu mencatatkan 2,643 kes baharu.

Semalam, kes harian baharu Covid-19 di Amerika Syarikat menurun dengan ketara sebanyak 98.5% daripada puncak 205,067 kes kepada 4,422 kes, sementara Malaysia pula menyaksikan peningkatan daripada 2,643 kes baharu pada hari tersebut kepada 5,923 kes baharu semalam -- peningkatan sebanyak 224%!

Pun begitu, masih ada pemimpin yang mendakwa Proklamasi Darurat yang diisytiharkan pada 11 Januari 2021 untuk membendung wabak Covid-19 kononnya telah berjaya.

Pemimpin sewajarnya tidak takut untuk mengakui kebenaran bahawa kita sebenarnya telah tewas dalam peperangan melawan Covid-19 dan kita memerlukan usaha yang luar biasa untuk merubah strategi bagi memenangi peperangan ini.

Apa yang diperlukan sekarang adalah mentaliti seolah-olah negara sedang berperang, mengembalikan keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap pengendalian perang melawan wabak Covid-19 serta menyatukan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, wilayah atau politik, dalam satu tumpuan utama baik untuk satu atau dua tahun yang akan datang bagi memenangi peperangan ini.

Ini sebab mengapa perlunya moratorium politik supaya semua pihak dapat mengetepikan perbezaan politik buat sementara waktu bagi memberi ruang kepada rakyat Malaysia yang cerdas dan pintar untuk menyinar dan menggalas tugas bagi memenangkan peperangan melawan pandemik Covid-19.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri