#kerajaangagal127 — Menteri-menteri PAS menentang kesimpulan kenyataan Yang di Pertuan Agong dan Mesyuarat Majlis Raja-raja selari dengan kesangsian PAS terhadap kelima-lima prinsip pembinaan negara bangsa dalam Rukun Negara

Setakat ini, hanya dua orang Menteri PAS yang telah menyatakan pendirian secara terbuka yang bertentangan dengan kesimpulan daripada kenyataan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan mesyuarat Majlis Raja-raja mengenai Covid-19 iaitu bahawa: pertamanya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri hendaklah bersidang semula secepat mungkin dan kedua, tidak ada keperluan untuk darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos 2021.

Hakikat di mana dua orang Menteri PAS yang menentang kesimpulan ini tidak mengejutkan memandangkan PAS memang kelihatan sangsi terhadap kelima-lima prinsip pembinaan negara bangsa dalam Rukun Negara.

Tetapi, PAS cuba menunjukkan ketidaksetujuan mereka secara bersorok-sorok dengan mendakwa bahawa Yang di Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu menyokong Pelan Pemulihan Negara, dan seperti yang dikatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan, katakan, juga menyokong rancangan Perdana Menteri untuk memanggil semula sidang Parlimen pada bulan September.

Ahli PAS yang lain dalam Kabinet, Menteri Air dan Alam Sekitar, Tuan Ibrahim Tuan Man, mendakwa bahawa pendapat baginda yang mengatakan Parlimen perlu bersidang semula secepat mungkin adalah selari dengan usaha Putrajaya.

Masalahnya, tidak ada sesiapa pun selain PAS yang berfikiran begini.

Dua kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat khas Majlis Raja-raja pada 16 Jun 2021 sangatlah jelas memandangkan kenyataan ini tidak pun menyatakan sebarang bentuk sokongan kepada Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada saat akhir sebelum Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja. Pelan tersebut hanya disebut supaya ia dibahaskan dalam Parlimen.

Sekiranya ini adalah satu tafsiran yang salah terhadap pendirian PAS mengenai mesyuarat khas Majlis Raja-raja, pimpinan PAS patut menjelaskan secara terbuka dan dengan jelas mengatakan yang PAS menyokong kenyataan Yang di Pertuan dan Raja-raja Melayu dan mahukan Parlimen untuk bersidang sebelum 1 Ogos dan tidak ada keperluan untuk darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos.

Adakah pimpinan PAS akan mengeluarkan kenyataan sebegitu?

Setakat ini, belum ada tanda-tanda yang mengatakan Perdana Menteri akan memanggil mesyuarat tergempar Kabinet untuk mematuhi kesimpulan mesyuarat khas Majlis Raja-raja pada Rabu lepas.

Perdana Menteri hanya mengatakan yang pihak Pembangkang akan dilibatkan dalam kajian mengenai persidangan semula Parlimen dan sama ada sidang Parlimen ini akan dijalankan dalam bentuk hibrid.

Perkara ini tidak memadai kerana Perdana Menteri perlu memberikan jaminan bahawa Parlimen akan bersidang sebelum 1 Ogos untuk memberikan keyakinan kepada negara bahawa pihak Eksekutif sedang melakukan segalanya yang boleh untuk menghormati kesimpulan mesyuarat khas Majlis Raja-raja Rabu lepas.

Atau adakah Kabinet akan berbeza pendapat dengan Perdana Menteri dalam perkara ini dan menyatakan dengan jelas yang mereka menyokong Yang di Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu dalam perkara ini?

Menteri Koordinasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin baru sahaja mengumumkan kelewatan setengah bulan dalam Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara apabila beliau mendedahkan bahawa 10% populasi hanya akan menerima vaksinasi penuh menjelang pertengahan bulan Julai dan bukannya pada akhir bulan Jun, melengahkan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara ini.

Dengan sebegitu banyak perkara yang boleh berubah, tidak mengejutkan sekiranya Fasa 3 di mana Parlimen dijangka akan dipanggil bersidang juga akan berhadapan dengan kelewatan.

Janji Perdana Menteri tanpa sebarang komitmen yang jelas untuk memanggil sidang Parlimen sebelum 1 Ogos ini tidak mempunyai sebarang makna, dan saya seru Perdana Menteri untuk membuat kenyataan tanpa bersyarat bahawa Parlimen akan bersidang sebelum 1 Ogos 2021.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri