#kerajaangagal125 - tetapkan tarikh untuk mereka yang masing-masing berumur 65 dan 60 tahun ke atas boleh pergi (walk-in) ke mana-mana PPV dan mendapatkan suntikan vaksin tanpa perlu mendaftar bagi menggalakkan vaksinasi kepada seramai mungkin
Kita sedang berperang dengan Covid-19 yang merupakan musuh yang tidak dapat dilihat tetapi amat berbahaya dan setakat ini sudah lebih 4,300 orang terkorban akibat wabak ini.
Peperangan berlaku di seluruh dunia -- ia telah meragut lebih daripada 3.8 juta nyawa di seluruh dunia dalam tempoh 18 bulan yang lepas.
Malaysia merekodkan kes kematian akibat Covid-19 yang lebih tinggi berbanding Korea Selatan, Myanmar, dan Thailand. Lebih mengejutkan, bermula minggu hadapan, Malaysia akan mencatatkan kes kematian yang lebih tinggi berbanding China -- negara di mana Covid-19 mula-mula dikesan.
China mempunyai jumlah penduduk seramai lebih daripada 1.4 bilion atau 44 kali ganda jumlah penduduk di Malaysia yang berjumlah seramai 32 juta orang, tetapi jumlah kes kematian akibat Covid-19 yang direkodkan di China adalah sebanyak 4,636 kes berbanding Malaysia sebanyak 4,348 kes.
Ini adalah ukuran kegagalan peperangan terhadap wabak Covid-19 di Malaysia dalam tempoh 18 bulan yang lalu. Kita mesti mengubah strategi dalam peperangan melawan wabak ini, supaya kehidupan kita dapat kembali normal dan kita boleh memperbaiki keadaan sosio-ekonomi negara yang teruk terjejas akibat wabak ini.
Banyak perkara yang mesti kita lakukan bagi mengubah pendekatan dalam peperangan melawan pandemik Covid-19, dua antaranya adalah:
- Langkah Carian-Ujian-Jejak-Asingkan-Sokongan (FTTIS) yang berkesan dan efisien untuk memastikan kita berada di hadapan lengkuk penularan wabak ini; dan
- Pemecutan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), terutamanya memandangkan terdapat pelbagai variasi baharu yang berbahaya.
Baru-baru ini, Malaysia mencatatkan penurunan dalam jumlah kes Covid-19, namun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penurunan dalam jumlah kes harian Covid-19 dalam beberapa hari lalu tidak bermakna situasi semakin pulih kerana data yang tersedia kepada umum menunjukkan kadar kes positif dan kematian yang masih tinggi.
Perkara ini hanya menunjukkan terdapat penurunan kadar ujian saringan dalam tempoh ini.
Pada 29 Mei, kes harian yang dilaporkan adalah sebanyak 9,020, namun ia menurun kepada 4,949 kes pada 14 Jun. Tetapi pada 29 Mei, jumlah ujian yang dilaksanakan adalah sebanyak 126,480. Dalam 15 hari sebelum itu, kadar ujian meningkat sebanyak 166 peratus.
Sejak daripada hari tersebut, kedua-dua angka kadar kes harian dan kadar ujian saringan masing-masing menurun sebanyak 45 dan 44 peratus.
Saya gembira hati selepas membaca kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham yang menggesa agar makmal swasta untuk menggiatkan ujian Covid-19 kerana buat masa ini mereka hanya beroperasi kurang separuh daripada kapasiti maksimum.
Dalam masa sama, perkara ini amat menyedihkan kerana selepas 18 bulan pandemik Covid-19 mengganas di negara ini, kita akhirnya nampak kegagalan strategi komunikasi dalam peperangan melawan pandemik Covid-19.
Terdapat keperluan mendesak untuk menyusun semula strategi peperangan terutama berhubung penerapan langkah Carian-Ujian-Jejak-Asingkan-Sokongan (FTTIS) yang berkesan dan efisien untuk memastikan kita berada di hadapan lengkuk penularan wabak ini jika kita mahu menang dalam peperangan ini dan menamatkan jumlah korban yang meningkat, dari segi jumlah kes dan kematian.
Hari ini, kita telah diberikan contoh tangan kanan kerajaan Muhyiddin yang tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kiri.
Menteri penyelaras vaksin, Khairy Jamaluddin berkata beliau telah berhenti menggunakan istilah "imuniti kelompok" dan telah menasihati Perdana Menteri untuk berhati-hati menggunakan istilah tersebut kerana melihat kepada data dan sains, Covid-19 berkemungkinan akan menjadi endemik dan “kita akan melihat Covid dalam bentuk kurang mengancam kekal dengan kita untuk tempoh yang lama”.
Sama ada nasihat Khairy tidak sampai kepada Perdana Menteri, atau Perdana Menteri telah menolak nasihat Khairy, kerana Muhyiddin telah mengulangi bahawa sasaran Malaysia untuk mencapai imuniti kelompok seperti diunjurkan Pelan Pemulihan Negara dapat diselesaikan seperti yang dijadualkan berikutan peningkatan bekalan Covid -19 vaksin oleh pembekal utama negara.
Perdana Menteri dan Khairy harus menjelaskan sama ada negara ini mahu mencapai sasaran imuniti kelompok dengan memberikan suntikan vaksin kepada 80 peratus penduduk atau tidak, dan bagaimana serta bilakah ini akan dicapai kerana 80% penduduk dewasa berusia 18 tahun ke atas meliputi hanya 63.8% penduduk Malaysia. Bilakah mereka yang berumur 12 tahun ke atas akan mula diberi vaksin?
Kadar pelaksanaan vaksinasi negara masih terlalu rendah.
Sebagai permulaan, kempen imunisasi kebangsaan harus menetapkan tarikh untuk mereka yang masing-masing berumur 65 tahun dan 60 tahun ke atas datang (walk-in) ke mana-mana PPV dan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 tanpa perlu mendaftar bagi menggalakkan vaksinasi untuk seramai yang mungkin.