#kerajaangagal121 -- Masa semakin suntuk untuk kerajaan Muhyiddin mengadakan mesyuarat khas Kabinet untuk memanggil sidang Parlimen pada 19 Julai untuk mengelakkan sebarang krisis perlembagaan
Masa semakin suntuk untuk kerajaan Muhyiddin mengadakan mesyuarat khas Kabinet untuk memanggil sidang Parlimen pada 19 Julai untuk mengelakkan sebarang krisis perlembagaan memandangkan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat memerlukan notis sekurang-kurangnya 28 hari sebelum persidangan bermula.
Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat memperuntukkan bahawa Perdana Menteri perlu memutuskan 28 hari lebih awal, bila Dewan Rakyat perlu bersidang. Perkara ini bermakna esok 20 Jun 2021 adalah tarikh akhir untuk Perdana Menteri memanggil sidang Dewan Rakyat pada 19 Julai dengan menghormati peruntukan Peraturan Mesyuarat ini.
Sekiranya Kabinet hanya bermesyuarat pada hari Rabu, 23 Jun 2021, ia tidak akan dapat memanggil sidang Parlimen pada 19 Julai dan pada masa yang sama menghormati peruntukan Peraturan Mesyuarat, walaupun masih terdapat ruang untuk mengadakan sidang Parlimen dalam 10 hari terakhir bulan Julai di antara 22 sehingga 30 Julai 2021.
Ada pihak yang memberikan hujah mengatakan yang dengan Ordinan Darurat, keperluan notis 28 hari ini dapat diketepikan.
Pastinya menjadi kejutan kepada seluruh dunia, seperti mana ia mengejutkan rakyat Malaysia, yang Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong menitahkan supaya Parlimen bersidang semula secepat mungkin untuk membolehkan Ahli-ahli Parlimen membahaskan undang-undang darurat dan Pelan Pemulihan Negara yang sedang hangat diperbincangkan.
Daripada kenyataan Menteri-menteri PAS, kelihatan seperti mereka mengambil kedudukan bahawa titah Yang di Pertuan Agong adalah selari dengan pendirian kerajaan Muhyiddin bahawa Parlimen akan dipanggil bersidang pada bulan September atau Oktober di bawah Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara.
Setakat ini, Perdana Menteri dan Menteri-menteri lain Perikatan Nasional masih belum menyatakan tafsiran “secepat mungkin” mereka dalam konteks ini.
Selain daripada pimpinan PAS, tidak ada sesiapa yang lain yang kelihatan seperti mempunyai masalah untuk memahami apa yang dimaksudkan oleh Yang di Pertuan Agong sebagai “secepat mungkin”. Mengapakah begini?
Ini bukanlah kali pertama Yang di Pertuan Agong menzahirkan bahawa Parlimen patut bersidang walaupun negara sedang berada dalam darurat -- Baginda juga menzahirkan perkara yang sama semasa berjumpa dengan Yang di Pertua Dewan Negara, Rais Yatim dan Yang di Pertuan Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun pada bulan Februari.
Amat mengejutkan apabila Menteri-menteri PAS cuba mengubah maksud “secepat mungkin” menjadi tiga bulan sehingga bulan September atau Oktober di bawah Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara.
Tetapi, terdapat empat perkara yang menghalang pengubahan makna “secepat mungkin” ini, iaitu:
- Parlimen yang bersidang selepas 1 Ogos bertentangan dengan Perkara 150(3) Perlembagaan yang memerlukan Ordinan Darurat dibentangkan di Parlimen
- Yang di Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu tidak mengatakan yang persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri hanya boleh berlaku selepas tamatnya darurat atau penambah baikan keadaan Covid-19
- Perdana Menteri belum memanggil sidang Parlimen pada bulan September atau Oktober, sebaliknya hanya mengumumkan dalam perutusan langsung beliau yang Parlimen akan bersidang dalam Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara sekiranya tiga syarat dipenuhi: purata kes harian di bawah 2,000 kes sehari, jumlah katil unit rawatan rapi yang mencukupi, dan sehingga 40% populasi telah diberikan vaksin. Sekiranya syarat ini tidak dipenuhi, mungkin Parlimen tidak akan dipanggil bersidang pada bulan September atau Oktober.
- Keadaan Covid-19 dalam negara semakin meneruk, dengan peningkatan harian 6,440 kes dan 74 kematian semalam -- kira-kira tiga kali ganda berbanding dengan 2,232 kes pada 11 Januari semasa darurat diisytiharkan, dan 19 kali ganda lebih ramai kematian berbanding dengan empat kematian pada hari pertama darurat.
Perdana Menteri tidak boleh terus berlengah lagi, tetapi perlu memanggil mesyuarat Kabinet segera untuk memanggil sidang Parlimen pada 19 Julai untuk membolehkan kita membuat permulaan baharu dan menyatukan rakyat Malaysia untuk melawan wabak Covid-19. Sebarang tafsiran berbeza terhadap “secepat mungkin” yang dititahkan oleh Yang di Pertuan Agong hanya akan memecah belahkan rakyat Malaysia.