#kerajaangagal119 — Adakah Perdana Menteri dan Kabinet telah mengabaikan objektif untuk mencapai imuniti kelompok atau ia hanya pendirian Khairy Jamaluddin?

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin semalam mengumumkan bahawa beliau telah meninggalkan objektif untuk mencapai imuniti kelompok menerusi memberikan suntikan vaksin kepada 80 peratus penduduk negara ini.

Adakah ini pendirian Perdana Menteri, Kabinet dan Pasukan Tindakan Imunisasi Covid-19 (CITF) atau hanya pendirian Khairy?

Ini adalah soalan yang paling membingungkan kerana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini bercakap tentang objektif kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok menerusi pemberian suntikan vaksin kepada 80 peratus penduduk negara ini dalam siaran langsung pada hari Selasa, 15 Jun 2021, di mana beliau berkata:

“InsyaAllah, apabila kita sudah mencapai imuniti kelompok pada fasa keempat, perkara-perkara ini dapat kita lakukan secara berperingkat dengan pematuhan kepada SOP yang ketat. Kejayaan kita mencapai imuniti kelompok pula bergantung kepada berapa ramai rakyat di negara ini dapat menerima suntikan vaksin.”

Dalam siaran langsung pada 31 Mei, semasa beliau mengumumkan sekatan pergerakan penuh dan pakej rangsangan ekonomi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) Plus, beliau mengulangi objektif kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok menjelang hujung tahun ini.

Pada 13 Jun, dilaporkan bahawa Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka akan mencapai imuniti kelompok menjelang Ogos – lebih awal dari yang dirancang – kerana kerajaan berkata lebih ramai orang boleh menerima suntikan vaksin dengan pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV).

Pada 4 Jun 2021, Menteri Kesihatan, Adham Baba berkata Malaysia telah menempah bekalan vaksin yang mencukupi untuk 109 peratus penduduk yang layak menerima suntikan tersebut dengan sasaran untuk mencapai imuniti kelompok menjelang Disember.

Begitu juga dua kenyataan daripada Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin, bahawa Parlimen hanya boleh bersidang apabila Malaysia mencapai imuniti kelompok — kedua-dua kenyataan itu dibuat dalam bulan Jun, masing-masing pada 4 Jun dan 11 Jun.

Sekarang tiba-tiba kita dimaklumkan bahawa bukanlah objektif kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok — adakah perkara ini pernah dibincangkan dan keputusannya sudah dibuat dalam mesyuarat Kabinet? Dan jika ya, bilakah keputusan itu dibuat?

Adakah Perdana Menteri akan memberikan penjelasan berhubung isu ini?

Khairy menjangkakan Covid-19 akan menjadi endemik dan kita akan melihat Covid dalam bentuk kurang mengancam kekal dengan kita untuk tempoh yang lama.

Ini bukanlah perkara baharu kerana ia merupakan pandangan pakar kesihatan antarabanga tahun lalu.

Saya bagaimanapun mempersoalkan sama ada mustahil untuk Malaysia mencapai imuniti kelompok menerusi sasaran pemberian suntikan vaksin kepada 80 peratus penduduk negara ini, yang bermaksud memberikan suntikan vaksin kepada 26 juta orang.

Namun, ini adalah sasaran yang mustahil, kerana jumlah penduduk dewasa berusia 18 tahun ke atas di Malaysia (dan sehingga sekarang, kita hanya memberikan vaksin kepada individu berusia 18 tahun ke atas) hanya 63.8 peratus daripada populasi yang berjumlah 20.6 juta orang. Hanya baru-baru ini kerajaan bercakap tentang pemberian vaksin kepada kumpulan remaja yang berusia 12 hingga 18 tahun

Khairy perlu memberikan penjelasan — adakah benar beliau sudah meninggalkan objektif imuniti kelompok kerana ia mustahil untuk dicapai atau kerana Covid-19 akan menjadi endemik.

Perdana Menteri juga perlu memberikan penjelasan – mengapa beliau tidak menyedari yang objektif imuniti kelompok telah ditinggalkan?

Adakah kerajaan mempunyai dasar baharu tentang vaksinasi? Jika ya, sila maklumkan.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri