#kerajaangagal118 — Adakah kenyataan tiga perenggan daripada Pejabat Perdana Menteri semalam menunjukkan penolakan Mahiaddin kepada dua kesimpulan daripada mesyuarat Majlis Raja-raja, menuju ke arah satu krisis perlembagaan besar?

Adakah kenyataan tiga perenggan daripada Pejabat Perdana Menteri semalam menunjukkan penolakan Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin kepada dua kesimpulan daripada mesyuarat Majlis Raja-raja, menuju ke arah satu krisis perlembagaan besar?

Dua kesimpulan mesyuarat Majlis Raja-raja pada hari Rabu adalah, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri perlu dipanggil bersidang secepat mungkin dan darurat tidak perlu dilanjutkan selepas 1 Ogos 2021.

Saya menyeru kepada Kabinet untuk tidak memulakan satu krisis berperlembagaan, sebaliknya menggunakan nasihat daripada Majlis Raja-raja ini sebagai satu peluang untuk melancarkan permulaan baharu dalam perang melawan wabak Covid-19.

Rakyat Malaysia tidak mahu melihat satu lagi krisis berperlembagaan dalam apa-apa bentuk sekalipun, sebaliknya kita mahu melihat tumpuan semua rakyat, termasuklah mereka dalam bidang Eksekutif dan Perundangan, untuk memastikan perang melawan Covid-19 dimenangi — dan perkara ini perlu menjadi tumpuan utama negara kita, baik untuk satu atau dua tahun yang akan datang.

Amat mengecewakan apabila Kabinet tidak memanggil mesyuarat tergempar untuk bertindak atas dua kesimpulan mesyuarat khas Majlis Raja-raja ini, misalnya dengan memanggil sidang Parlimen pada hari Isnin, 19 Julai 2021 — yang masih dibenarkan di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Semasa mengumumkan Proklamasi Darurat dalam siaran langsung televisyen pada 12 Januari 2021, Perdana Menteri mengatakan yang jangkitan kes Covid-19 “sedang meningkat dan tidak menunjukkan tanda penurunan dalam masa terdekat”.

Malangnya, selepas lebih daripada lima bulan selepas Proklamasi Darurat ini, wabak Covid-19 masih “sedang meningkat dan tidak menunjukkan tanda penurunan dalam masa terdekat”. Malah, keadaan ini semakin meneruk dengan kadar kes baharu semalam mencatatkan peningkatan 5,738 kes, lebih tinggi daripada 5,728 kes pada kemuncak sebelum ini dengan 5,728 kes pada 30 Januari 2021. Kita juga mencatatkan 60 kematian semalam dengan berbanding dengan 25 kematian pada 18 Februari 2021.

Perdana Menteri perlu sedar bahawa jaminan berterusan beliau yang kerajaan beliau komited kepada tadbir urus yang baik tidak mempunyai sebarang kredibiliti, kerana inilah pelbagai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen patut diberikan ruang untuk memainkan peranan untuk meyakinkan rakyat Malaysia dan seluruh dunia bahawa terdapatnya tadbir urus yang baik dan pentadbiran yang berkesan dan efisien dan kedaulatan undang-undang di negara kita.

Negara kita memerlukan Pelan Pemulihan Negara yang menyeluruh dan sejak April tahun lepas lagi, saya telah menyeru kerajaan untuk mengadakan perundingan dengan pelbagai pihak untuk merangka strategi keluar yang baik daripada wabak ini.

Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada hari Selasa amatlah tidak memuaskan dan tidak mencukupi.

Kabinet perlu bertindak pantas dan menunjukkan yang mereka boleh bertindak balas secara cepat, kreatif, dan lincah terhadap cabaran yang dibawa oleh wabak Covid-19, dan bukannya mengambil masa untuk bertindak balas terhadap dua kesimpulan mesyuarat Majlis Raja-raja.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri