#kerajaangagal116 -- Rakyat Malaysia akhirnya mula nampak cahaya di hujung terowong untuk keluar dari kemelut pandemik Covid-19 yang berpanjangan selama 18 bulan selepas Majlis Raja-Raja Melayu mengadakan perbincangan khas semalam

Rakyat Malaysia akhirnya mula nampak cahaya di hujung terowong untuk keluar dari kemelut pandemik Covid-19 yang berlarutan selama 18 bulan selepas Majlis Raja-Raja Melayu mengadakan perbincangan khas semalam

Perkara ini sekaligus menamatkan pelbagai spekulasi dan teori termasuk teori-teori yang tidak mempunyai asas perlembagaan dan kesahihan yang meragukan tentang bagaimana negara akan menyelesaikan kebuntuan dari sudut perlembagaan apabila tidak ada pihak yang dilihat mempunyai majoriti yang jelas di Parlimen sementara negara menghadapi ancaman eksistensial akibat daripada penularan wabak Covid-19 yang berpanjangan - dengan Malaysia secara tiba-tiba menjadi salah satu negara dengan prestasi terburuk di dunia dalam mengawal penularan wabak Covid-19 sementara negara-negara yang menunjukkan prestasi terburuk dalam tempoh 12 bulan pertama wabak itu mengganas, kini telah berubah dan menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam mengendalikan perang menentang pandemik Covid-19, terutamanya dalam program pemberian vaksin yang dijalankan mereka.

Rakyat Malaysia kini berdepan satu-satunya isu iaitu bagaimana untuk memenangi peperangan melawan wabak Covid-19 dan menangani kesan yang ditinggalkan wabak tersebut terhadap kehidupan, ekonomi dan masyarakat di Malaysia, terutama untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa daripada terus terkorban akibat Covid-19, yang kini telah mencecah 4,142 kes kematian semalam, mencapai julat tiga angka dalam tempoh empat hari dalam bulan Jun.

Rakyat Malaysia tidak ingin melihat krisis perlembagaan berlaku dalam apa jua bentuk, tetapi mahu setiap rakyat Malaysia, termasuk yang berjawatan dalam Eksekutif dan Badan Perundangan untuk tetap fokus dalam mencapai matlamat untuk memenangi peperangan melawan pandemik Covid-19 - dan ini harus menjadi fokus utama negara, tidak kira dalam tempoh setahun atau dua tahun.

Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja Melayu semalam telah menunjukkan teladan yang baik yang mesti diikuti oleh semua rakyat Malaysia. Marilah kita mengetepikan sebarang perbezaan yang timbul di antara kita, sama ada dari segi pegangan politik atau sebagainya, untuk sepenuh hati memenangkan perang melawan pandemik Covid-19.

Pendirian Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang menitahkan bahawa sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri perlu diadakan secepat mungkin harus disokong oleh semua rakyat Malaysia.

Saya menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Takiyuddin Hassan untuk tidak bersikap keras kepala atau menjadi batu penghalang dengan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk mengadakan sidang Parlimen dan DUN sebelum 1 Ogos 2021 kerana ini adalah hasrat jelas yang datang daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sendiri.

Benarkan semua rakyat Malaysia untuk menunjukkan kepada dunia bahawa kita mampu memenangi peperangan melawan pandemik Covid-19 dan kita mempunyai mentaliti seolah-olah negara sedang beperang serta bersatu menentang musuh bersama yang membunuh rakyat Malaysia setiap hari dan mengancam untuk memusnahkan bangsa Malaysia.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri