#kerajaangagal115 -- Adakah Mahiaddin perlu mengangkat sumpah sekali lagi di hadapan Yang di Pertuan Agong untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia dan adakah beliau telah mengangkat sumpah dengan tepat sebagai Ahli Parlimen Pagoh dan ADUN Gambir?

Memorandum Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Marzuki Mohamah, kepada semua penjawat awam untuk menggunakan nama sah Perdana Menteri, Mahiaddin Bin Md Yasin untuk semua dokumen kerajaan menimbulkan persoalan sama ada Muhyiddin, yang juga dikenali sebagai Mahiaddin, perlu mengangkat sumpah semula di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Perkara ini juga menimbulkan persoalan sama ada Muhyiddin, yang juga dikenali sebagai Mahiaddin, telah mengangkat sumpah secara betul sebagai Ahli Parlimen Pagoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir.

Mungkin Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun boleh memberikan penjelasan.

Beliau juga perlu menjelaskan, mengapa tindakan pembetulan ini hanya diambil dua bulan setengah selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak perintah tahanan pencegahan yang ditandatangani dengan nama Muhyiddin semasa beliau merupakan Menteri Dalam Negeri.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri