#kerajaangagal114 -- Adakah Ahli-ahli Parlimen diberikan keutamaan untuk mendapatkan vaksin bukan untuk membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab berpelembagaan mereka untuk menyemak imbang bidang Eksekutif, sebaliknya hanya sebagai alasan untuk Menteri dan Timbalan Menteri menerima vaksin
Di bawah Rancangan Pemulihan Negara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Parlimen dijadualkan untuk bersidang pada bukan September atau Oktober semasa negara berada dalam Fasa Ketiga Rancangan Pemulihan Negara ini, di mana negara mencatatkan secara purata kurang daripada 2,000 kes baharu setiap hari, terdapat kapasiti unit rawatan rapi yang mencukupi, dan sehingga 40% peratus populasi telah menerima vaksin.
Dua persoalan timbul: Pertamanya, adakah Ahli-ahli Parlimen diberikan keutamaan untuk mendapatkan vaksin bukan untuk membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab berpelembagaan mereka untuk menyemak imbang bidang Eksekutif supaya terdapatnya tadbir urus yang baik, kerajaan yang berkesan dan efisyen, dan kedaulatan undang-undang, sebaliknya hanya sebagai alasan untuk Menteri dan Timbalan Menteri menerima vaksin?
Sekiranya Ahli-ahli Parlimen ini diberikan vaksin hanya sebagai alasan supaya para Menteri dan Timbalan Menteri dapat menerima vaksin secepat mungkin, maka ia adalah satu penghinaan kepada rakyat dan kita mempunyai sekelompok Menteri yang hanya akan meletakkan kepentingan peribadi di atas kepentingan kepentingan negara, dan kita tidak akan mendapati apa-apa manfaat daripada Kabinet gergasi ini untuk negara kita.
Rakyat Malaysia perlu menyelamatkan negara daripada Menteri-menteri yang sanggup memberikan Ahli-ahli Parlimen keutamaan dalam mendapatkan vaksin supaya mereka tidak dipersoalkan apabila menerima vaksin dengan lebih awal.
Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, Redzuan Md Yusof, telah mengatakan secara terbuka yang penting untuk Parlimen bersidang semula secepat mungkin.
Menteri Luar Negeri yang juga bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri, Hishamuddin Hussein, juga telah mengatakan yang Parlimen patut bersidang tetapi ia tidak patut dijadikan alat untuk mendapatkan kuasa politik.
Tetapi apakah gunanya mereka berdua ini bercakap secara terbuka sebegini sekiranya mereka tidak bersedia untuk meyakinkan Kabinet untuk memutuskan untuk memanggil sidang Parlimen secara segera?
Persoalan kedua pula adalah, apakah status kenyataan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin, yang mengatakan Parlimen hanya akan dibuka selepas imuniti kelompok dicapai sedangkan Rancangan Pemulihan Kebangsaan ini mengatakan yang Parlimen akan bersidang pada bulan September atau Oktober semasa Fasa Ketiga rancangan ini -- dan negara kita tidak dijangkakan akan mencapai imuniti kelompok dalam tempoh tersebut?