#kerajaangagal113 -- Rancangan Pemulihan Negara yang diumumkan Muhyiddin sangat mengecewakan kerana ia tidak memberikan sebarang harapan -- hanya kesamaran
Rancangan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin secara langsung semalam sangat mengecewakan kerana ia tidak memberikan sebarang harapan - hanya kesamaran.
Izinkan saya memberikan lima sebab mengapa Rancangan Pemulihan Negara yang diumumkan Muhyiddin bukanlah rancangan pemulihan yang sebenar.
Pertama, namanya yang tidak sesuai. Ia bukan tentang pemulihan negara untuk meletakkan kembali negara ini ke era pra-pandemik tetapi tentang cara untuk melandaikan lekuk wabak Covid-19.
Rancangan Keluar Wabak Covid-19 untuk mengakhiri wabak ini berbeza dengan Rancangan Pemulihan Negara untuk memulihkan semula ekonomi, pendidikan, sosial dan politik Malaysia daripada kesan kehancuran yang dibawa wabak itu terhadap kehidupan, ekonomi dan rakyat Malaysia.
Rancangan Pemulihan Negara hanya boleh dimulakan setelah penularan wabak itu berakhir.
Ia seperti berbicara mengenai Rancangan Pemulihan Negara ketika perang masih terus meletus. Rancangan pemulihan nasional hanya dapat dimulakan apabila perang telah berakhir.
Pertama, mustahil untuk menghidupkan kembali 4,069 yang telah terkorban - tetapi berapa ramai lagi yang akan terkorban sebelum rakyat Malaysia dapat melihat pengakhiran kepada penularan wabak Covid-19?
Kedua, terlewat selama 16 bulan, kerana Rancangan Keluar Wabak Covid-19 seharusnya disusun pada awal penularan wabak berkenaan dan bukan setelah 16 bulan wabak itu mengganas di negara kita!
Hanya pada 23 Mei 2021 barulah Muhyiddin secara terbuka menyatakan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan sekatan pergerakan penuh kerana pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (MCO) 1.0 yang dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu hampir menyebabkan seluruh ekonomi runtuh.
Beliau berkata ekonomi hampir runtuh kerana negara terpaksa menanggung rugi sebanyak RM2.4 bilion sehari sepanjang PKP 1.0
Beliau berkata, jika berlaku sekatan pergerakan berskala penuh, pakej rangsangan bernilai RM340 juta seperti yang diumum sebelumnya pastinya tidak akan mencukupi untuk merangsang semula ekonomi negara. Kerajaan mungkin memerlukan setengah trilion ringgit, dia merenung tetapi dia bertanya adakah Malaysia mempunyai wang itu.
Beliau berkata: “Betul, kita memang boleh tutup (ekonomi), tetapi untuk buka semula nanti, sistem itu boleh runtuh.
“Jadi, kita sudah belajar yang mana kita kena imbangkan ‘live’ dan ‘livelihood’. Jadi sebab itulah kita buat keputusan berdasarkan situasi keadaan. Inilah yang rakyat perlu faham.”
Tetapi lima hari kemudian, Muhyiddin melakukan sebaliknya - beliau mengumumkan sekatan pergerakan penuh selama dua minggu dari 1 Jun, yang telah dilanjutkan selama dua minggu lagi.
Adakah sekatan pergerakan penuh akan dilanjutkan lagi selepas 28 Jun?
Apakah jenis pelan "pemulihan negara" ini?
Ketiga, Muhyiddin mengabaikan masalah yang terang-terangan di depan mata dan gagal menjelaskan mengapa Malaysia tiba-tiba menjadi salah satu negara dengan prestasi terburuk di dunia dalam menguruskan wabak Covid-19.
Pada 18 November 2020, kita menduduki tempat ke-85 antara negara-negara dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi.
Sekarang, kira-kira tujuh bulan kemudian, selepas negara merekodkan 667,876 kes Covid-19, kita telah mengatasi Austria dan kini berada di kedudukan ke-38 antara negara-negara dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi. Kita akan mengatasi Switzerland untuk berada di tangga ke-37 dunia sebelum 28 Jun.
China, yang mendahului dunia pada awal penularan wabak ini, kini berada di tangga ke-99 dengan 91,471 kes Covid-19.
Menurut laman sesawang Our World in Data, kes per sejuta penduduk untuk 14 Jun 2021, kita seperti biasa menewaskan 37 negara teratas di dunia dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi kecuali empat negara di Amerika Selatan - Brazil, Argentina, Colombia dan Chile.
Kegagalan besar darurat Malaysia untuk melandaikan lekuk wabak Covid-19 dapat diukur menerusi kewujudan jurang besar antara Malaysia dan negara-negara yang pernah dianggap sebagai negara dengan prestasi terburuk dalam menguruskan wabak Covid-19.
Negara-negara dengan prestasi terburuk ini telah menunjukan tanda akan pulih, tetapi Malaysia masih bergelut untuk keluar dari krisis kesihatan ini.
"Kes per sejuta penduduk Malaysia" pada 14 Jun 2021 adalah 178.19 berbanding Amerika Syarikat (41.69), India (59.46), Perancis (58.10), Turki (71.90), Rusia (83.70), UK (107.32), Itali (28.54), Sepanyol (104.63), Jerman (23.57), Iran (115.93), Indonesia (29.52) dan Filipina (60.03).
Setakat ini, 4,069 kematian akibat Covid-19 direkodkan di Malaysia - 3,518 kematian dalam tempoh lima bulan sejak darurat diisytiharkan pada 11 Januari 2021 atau hampir tujuh kali ganda daripada 551 kematian yang dicatatkan dalam tempoh 12 bulan pertama kita berhadapan dengan wabak ini.
Kita juga telah menjadi negara teratas di dunia dari segi jumlah kematian harian per sejuta penduduk.
Adakah Muhyiddin telah menjelaskan mengapa Malaysia menjadi "negara yang gagal" di dunia dalam menguruskan wabak Covid-19, seperti yang dilihat daripada penurunan sebanyak 19 anak tangga dari tangga ke-16 pada Januari ke tangga ke-35 pada Mei 2021dalam Bloomberg Covid Resilience Ranking daripada 53 buah negara dengan ekonomi yang bernilai lebih daripada AS$200 bilion?
Mari kita tinjau laporan global terkini mengenai wabak Covid-19.
Amerika Syarikat, negara terburuk dalam menguruskan wabak Covid-19 dalam 18 bulan terakhir dengan jumlah kes terkumpul lebih dari 34 juta, telah mengurangkan peningkatan kes baharu harian Covid-19 sepanjang empat hari lalu sebanyak sekitar 96-97% dari puncak peningkatan kes harian baharu Covid-19 sebanyak 305,073 yang direkodkan pada 8 Januari 2021.
Bahkan India, yang pada bulan April dan Mei telah mengambil alih kedudkan Amerika Syarikat sebagai negara terburuk dari segi jumlah kes dan kematian akibat Covid-19, telah mengurangkan peningkatan kes baharu harian Covid-19, menurun dari puncak peningkatan kes baharu harian sebanyak 414,433 kes pada 6 Mei 2021 kepada 62,597 kes semalam - penurunan besar sebanyak 85%!
Bagaimana dengan Malaysia?
Puncak peningkatan kes baharu harian yang direkodkan di negara adalah pada 30 Januari 2021, ketika itu kita merekodkan 5,728 kes baharu Covid-19.
Dalam peningkatan kes Covid-19 sepanjang bulan lalu, kita telah melepasi puncak yang direkodkan pada Januari selama 21 hari dan mencapai puncak baru pada 29 Mei dengan peningkatan kes baharu harian sebanyak 9,020 kes di tengah-tengah amaran bahawa kita mungkin akan mencapai kenaikan peningkatan harian sebanyak 13,000 kes.
Keempat, keengganan untuk segera memanggil sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sehingga negara mencapai Fasa Keempat pelan keluar Covid-19 iaitu yang dijangka pada bulan September atau Oktober.
Ini adalah sebab utama mengapa siaran langsung pengumuman Muhyiddin semalam tidak dapat mengembalikan kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap kerajaan dalam menangani wabak Covid-19.
Pengisytiharan darurat, penggantungan Parlimen dan DUN yang tidak selaras dengan perlembagaan serta keputusan flip-flop, pusingan-U dan amalan dwi-standard dalam pelaksanaan SOP adalah sebab utama berlakunya defisit kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap cara kerajaan mengetuai perang melawan wabak Covid-19.
Sama seperti lima bulan selepas pengisytiharan darurat pada 11 Januari 2021, peningkatan kes baharu harian Covid-19 meningkat dua kali ganda semalam - dari 2,232 kes baru pada 11 Januari kepada 5,419 kes baru pada 14 Jun 2021 - apa yang perlu dilakukan untuk memastikan bahawa menjelang September atau Oktober, tiga syarat iaitu purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dan 40 peratus populasi negara sudah menerima dua dos suntikan vaksin dapat dipeuhi?
Adakah Parlimen akan digantung selama-lamanya sekiranya ketiga-tiga syarat ini tidak dipenuhi?
Mengapa negara-negara lain, yang dianggap sebagai negara dengan prestasi terburuk pada tahun pertama penularan wabak Covid-19, mampu menunjukkan tanda-tanpa pulih tanpa perlu menggantung sidang Parlimen atau mengisytiharkan darurat?
Kelima, seorang mantan Menteri menghantar pesanan kepada saya bahawa apa yang diumumkan Muhyiddin semalam adalah "pelan kosong”.
Ketika Muhyiddin mengumumkan sekatan pergerakan penuh kurang tiga minggu yang lalu, Beliau bercakap mengenai sekatan pergerakan penuh "tiga fasa". Sekarang Muhyiddin bercakap mengenai sekatan pergerakan penuh "empat fasa".
Adakah akan ada lagi fasa-fasa baru menjelang September atau Oktober nanti?
Sekiranya Amerika Syarikat dapat berubah dari negara terburuk dalam menguruskan wabak Covid-19, yang mana merekodkan lebih 6.5 juta kes Covid-19 pada bulan Disember 2020, dan mengurangkan jumlah kes Covid-19 kepada 214,000 kes pada setengah bulan pertama bulan Jun, 2021, mengapa Malaysia mesti menunggu hingga akhir tahun untuk perancangan pembukaan semula ekonomi?
Jelasnya, siaran langsung Muhyiddin semalam tidak lebih sekadar tindak balas terhadap Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang akan berlangsung hari ini bagi membincangkan mengenai kegagalan kerajaan membendung penularan wabak Covid-19.
Oleh kerana darurat dan penggantungan Parlimen adalah dua sebab utama mengapa Malaysia masih terus mencari cara untuk pulih - ketika negara-negara lain yang menunjukkan prestasi buruk dalam menguruskan pandemik sebelum ini telah berubah dan kini mula menguruskan wabak itu dengan lebih baik terutama dengan pelancaran vaksinasi mereka - darurat dan penggantungan Parlimen dan DUN mesti diakhiri dengan kadar segera agar negara mempunyai harapan untuk pulih daripada wabak Covid-19.
Setakat ini, hanya seorang Menteri secara terbuka menyatakan tentang keperluan untuk memanggil sidang Parlimen dengan kadar segera. Adakah mesyuarat Kabinet pagi ini akan membuat kejutan bersejarah dan mengumumkan penamatan darurat dan memanggil sidang Parlimen dengan kadar segera?