#kerajaangagal111 -- Adakah Kabinet akan mengembalikan keyakinan di Malaysia dengan memutuskan untuk menamatkan darurat dan memanggil sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dalam mesyuaratnya esok?
Semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Perak Slim River pada Ogos 2020, seorang menteri kanan Bersatu mendakwa bahawa lebih ramai rakyat Malaysia akan terkorban akibat dijangkiti Covid-19 sekiranya Pakatan Harapan masih menjadi kerajaan.
Sejak berlangsungnya PRK DUN Slim River pada 29 Ogos 2020, terdapat 653,140 kes Covid-19 dan 3,843 kematian akibat wabak itu direkodkan di negara ini.
Adakah mana-mana Menteri Kabinet gergasi Perikatan Nasional (PN) yang sanggup mengambil tanggungjawab di atas rekod 653,140 kes Covid-19 dan 3,843 kematian akibat wabak itu selepas PRK Slim River?
Kenyataannya, kerosakan yang dibawa wabak Covid-19 terhadap kehidupan, ekonomi dan masyarakat Malaysia adalah warisan paling tragis dan tercela daripada kerajaan pintu belakang PN yang tidak demokratik, tidak sah dan kakistokratik.
Adakah Muhyiddin akan dikenang sebegini di Malaysia -- bukan sebagai seorang yang "bodoh" tetapi sebagai Perdana Menteri terburuk dalam sejarah Malaysia?
Ketika Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-8 pada 1 Mac 2020, terdapat 29 kes Covid-19 dan kematian sifar direkodkan di negara ini.
16 bulan kemudian, terdapat 662,457 kes Covid-19 dan 3,968 kematian akibat wabak itu!
Adakah Muhyiddin masih ingin mengatakan bahawa darurat yang diumumkan pada 11 Januari 2021 adalah kejayaan besar terhadap usaha membendung wabak Covid-19?
Keputusan melaksanakan darurat itu bukan berdasarkan sains tetapi berdasarkan politik, kerana tidak ada negara lain yang berjaya memerangi wabak Covid-19 menerusi cara tersebut.
Tidak seperti negara yang tidak mengisytiharkan darurat, kes Covid-19 baru dan kematian Covid-19 terus melonjak sehingga Malaysia perlu menempuh PKP 3.0 selama dua minggu lagi sehingga 28 Jun 2021.
Pada 18 November 2020, kita menduduki tempat ke-85 antara negara-negara dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi.
Sekarang, kira-kira tujuh bulan kemudian, dengan 662,457 kes Covid-19 kini direkodkan, kita telah mengatasi Austria dan kini berada di kedudukan ke-38 antara negara-negara dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi. Kita akan mengatasi Switzerland untuk berada di tangga ke-37 dunia sebelum 28 Jun.
China, yang mendahului dunia pada awal penularan wabak, kini berada di tangga ke-99 dengan 91,428 kes Covid-19.
Menurut Our World in Data, kes per sejuta penduduk pada 13 Jun 2021 menunjukkan yang kita telah menewaskan 37 negara teratas di dunia dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi kecuali empat negara di Amerika Selatan - Brazil, Argentina, Colombia dan Chile.
Kegagalan besar darurat Malaysia untuk melandaikan lekuk wabak Covid-19 dapat diukur oleh jurang besar antara Malaysia dan negara-negara yang pernah dianggap sebagai negara dengan prestasi terburuk dalam menguruskan wabak Covid-19.
Negara-negara dengan prestasi terburuk ini telah menunjukan tanda akan pulih, tetapi Malaysia masih bergelut untuk keluar dari krisis kesihatan ini.
“Kes per sejuta penduduk Malaysia” pada 13 Jun 2021 adalah 179.61 berbanding Amerika Syarikat (42.89), India (62.16), Perancis (59.10), Turki (71.93), Rusia (79.54), UK (103.07), Itali (29.40), Sepanyol (108.83), Jerman (24.55), Iran (106.05), Indonesia (28.89) dan Filipina (60.18).
Setakat ini, 3,968 orang telah terkorban akibat Covid-19 di Malaysia - 3,451 kematian dalam tempoh lima bulan sejak darurat diisytiharkan pada 11 Januari 2021 atau hampir tujuh kali ganda daripada 551 kematian yang dicatatkan dalam tempoh 12 bulan pertama kita berhadapan dengan wabak ini.
Kita juga telah menjadi negara teratas di dunia dari segi jumlah kematian harian per sejuta penduduk.
Adakah kita akan terus menjadi "negara yang gagal" di dunia dalam menguruskan wabak Covid-19, seperti yang dilihat daripada penurunan sebanyak 19 anak tangga dari tangga ke-16 pada Januari ke tangga ke-35 pada Mei 2021dalam Bloomberg Covid Resilience Ranking daripada 53 buah negara dengan ekonomi yang bernilai lebih daripada AS$200 bilion?
Langkah pertama adalah mengembalikan kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap cara kerajaan menangani wabak Covid-19.
Kita sekarang ini memiliki Menteri Kesihatan yang merupakan Menteri "tak berguna" ketika beliau sepatutnya menjadi salah satu Menteri terpenting dalam perang melawan wabak Covid-19.
Bayangkan apa yang akan terjadi jika sebuah peperangan diketuai oleh seorang jeneral yang tidak berguna!
Majoriti Menteri Kabinet tidak akan menyatakan sokongan individu mereka untuk menamatkan darurat, apalagi penggantungan tidak berperlembagaan Parlimen dan Dewan Negeri, namun mujurlah sekarang kita mempunyai Menteri yang telah mengumpulkan keberaniannya untuk menyatakan pandangan secara terbuka bahawa Parlimen harus bersidang secepat mungkin.
Adakah majoriti menteri dalam mesyuarat Kabinet esok akan mengambil keputusan penting dengan menyokong penamatan darurat serta membenarkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bersidang semula?
Sekiranya Kabinet memutuskan untuk mengambil keputusan seperti itu esok, ia akan menjadi inisiatif kepimpinan terpenting Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas Khas), Mohd Redzuan Md Yusof, yang sebelum ini pernah membuatkan semua orang menggelupur apabila beliau bercakap mengenai impian “kereta terbang” semasa beliau merupakan seorang menteri kerajaan Pakatan Harapan.
Orang ramai menjangkakan keputusan seumpama itu akan hadir hasil daripada Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja Melayu akan datang dan bukannya daripada mesyuarat mingguan Kabinet yang akan berlangsung esok.
Ini bukan asas Perlembagaan Malaysia, yang mana didasarkan kepada sistem Raja Berperlembagaan yang ditunjangi demokrasi berparlimen.
Tetapi adakah Perdana Menteri akan memimpin Kabinet esok dalam keputusan bersejarah untuk mengembalikan keyakinan terhadap Malaysia dengan mengakhiri darurat dan segera memanggil sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri?