#kerajaangagal110 -- Menteri “kereta terbang” yang membuatkan semua orang menggelupur apabila beliau membuka mulutnya semasa beliau merupakan sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan mengatakan perkara yang tepat kali ini, tidak ada keperluan untuk MAGERAN tetapi penting untuk Parlimen dibuka

Menteri “kereta terbang” yang membuatkan semua orang menggelupur apabila beliau membuka mulutnya semasa beliau merupakan sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan mengatakan perkara yang tepat kali ini, tidak ada keperluan untuk Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) tetapi penting untuk Parlimen bersidang semula secepat mungkin.

Mungkin inilah sebabnya mengapa beliau diketepikan dan dikeluarkan daripada mesyuarat-mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan dengan bencana Covid-19, walaupun beliau adalah menteri yang bertanggungjawab ke atas Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA).

Mohd Redzuan Mohd Yusof, Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, baru-baru ini mendedahkan yang beliau tidak lagi dijemput ke mesyuarat MKN mengenai Covid-19.

Beliau berkata: “Setakat ini, saya bukan lagi ahli MKN. Saya pernah menganggotainya. Saya tidak tahu apa yang berlaku. Kali terakhir saya menyertai mesyuarat MKN adalah sebelum Hari Raya (Aidilfitri).”

Redzuan sedang menjelaskan bagaimana kakistokrasi bergerak.

Mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Redzuan merasakan banyak lagi perkara yang boleh dilakukan.

Beliau mempersoalkan keputusan untuk menerima sesetengah vaksin tetapi pada masa yang sama tidak yang lain sedangkan vaksin-vaksin ini telah menerima kelulusan daripada negara pengeluaran mereka dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seperti vaksin Sputnik V dan Sinopharm.

Redzuan juga bersifat kritikal terhadap cara kerajaan mengendalikan proses vaksinasi, termasuklah terhadap fokus kerajaan dalam membuka pusat vaksinasi berskala mega.

Beliau berkata, mungkin kemudahan seperti ini sesuai untuk bandar-bandar besar untuk mengelakkan kesesakan, kerajaan sepatutnya menggunakan kemudahan sedia ada untuk memudahkan rakyat untuk menerima vaksin.

Redzuan juga mengadu mengenai kerajaan tidak menggunakan sumber manusia yang sedia ada yang boleh digembeleng untuk mempercepatkan pelaksanaan PICK, seperti Pasukan Pertahanan Awam, sebuah agensi di bawah NADMA yang mempunyai lebih daripada 2.2 juta sukarelawan.

Saya mendapati diri saya bersetuju mengenai lebih banyak perkara dengan Redzuan berbanding dengan Perdana Menteri atau mana-mana ahli lain Kabinet gergasi sedia ada, semestinya saya lebih bersetuju dengan beliau sekarang berbanding dengan beliau semasa menjadi menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan -- terutamanya mengenai pendirian beliau mengenai cara kerajaan mengendalikan program vaksinasi kebangsaan.

Tetapi, sumbangan terbesar beliau adalah kenyataan beliau yang mengatakan tidak ada perlunya untuk Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) di Malaysia pada tahun 2021, sebaliknya, penting untuk kita buka semula sidang Parlimen secepat mungkin.

Adakah Menteri Luar Negeri, Hishamuddin Hussein, yang kini dikatakan sebagai calon pengganti Perdana Menteri, dan juga menteri kedua yang telah mengkritik tindakan Putrajaya dalam menguruskan wabak ini, akan menyokong Redzuan dalam mesyuarat Kabinet untuk menamatkan darurat dan membuka semula sidang Parlimen secepat yang mungkin?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri