#kerajaangagal109 -- Adakah rancangan keluar Covid-19 yang diumumkan Muhyiddin sebenarnya hanya satu helah untuk mengalihkan perhatian orang ramai dari isu berkaitan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat?
Mengapa baru sekarang Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap mengenai Pelan Pemulihan Negara sebagai persiapan untuk negara keluar daripada wabak Covid-19?
Adakah ia sebenarnya satu helah untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada isu berkaitan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang dicetuskan Takiyuddin Hassan selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) itu membangkitkan isu sama ada Jawatankuasa Khas Bebas Darurat adalah satu-satunya badan yang berhak menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai sama ada darurat yang akan tamat pada 1 Ogos depan akan diteruskan atau tidak.
Muhyiddin semalam berkata bahawa pelan keluar Covid-19 dirangka berdasarkan data, sains dan segala persiapan, termasuk dari segi pengurusan Covid-19, ekonomi dan program vaksinasi itu akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh seminggu.
Beliau berkata sudah tiba masa untuk menetapkan strategi keluar atau pelan pemulihan negara untuk kita keluar daripada wabak Covid-19.
Saya merasa pelik dan aneh apabila Perdana Menteri bercakap mengenai pelan keluar wabak Covid-19 ketika Malaysia adalah salah satu daripada beberapa negara di dunia yang bergelut untuk menguruskan wabak Covid-19 yang berpanjangan selama 18 bulan.
Sekiranya Malaysia benar-benar mengikuti strategi dan pendekatan berasaskan sains dan bukannya politik, kita tidak akan berada dalam keadaan begitu teruk seperti sekarang ini.
Pertamanya, darurat yang diisytiharkan pada 11 Januari 2021 - keputusan yang jelas dibuat bukan berasaskan sains - akan dihentikan dan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri akan dibenarkan untuk bersidang bagi mengembalikan semula keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap cara kerajaan menangani wabak Covid-19 dan untuk melancarkan mobilisasi nasional dengan strategi dan pendekatan melibatkan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan Covid-19.
Adakah Muhyiddin masih ingin mendakwa bahawa darurat yang diisytiharkan pada 11 Januari 2021 kononnya telah membawa kejayaan besar terhadap usaha melawan wabak Covid-19?
Keputusan melaksanakan darurat berkenaan jelas dibuat bukan bukan berdasarkan sains tetapi berdasarkan politik, kerana tidak ada negara lain yang berjaya memerangi wabak Covid-19 menerusi jalan itu.
Tidak seperti negara-negara yang tidak mengisytiharkan darurat, kes baharu Covid-19 dan kematian akibat wabak itu terus mencanak naik sehingga sekatan pergerakan penuh dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi.
Pada 18 November 2020, kita menduduki tempat ke-85 antara negara-negara dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi.
Semalam, kira-kira tujuh bulan kemudian, dengan 657,509 kes terkumpul, kita telah mengatasi Austria dan kini berada di kedudukan ke-38 antara negara-negara dengan jumlah kes Covid-19 yang tertinggi.
Kita mungkin akan mengatasi Switzerland untuk berada di tangga ke-37 sebelum PKP 3.0 yang dilanjutkan lagi selama dua minggu akan berakhir pada 28 Jun.
China, yang paling teruk dilanda Covid-19 pada awal penularan wabak tersebut, kini berada di tangga ke-99 dengan 91,428 kes Covid-19.
Menurut Our World in Data, kes per sejuta penduduk pada 12 Jun 2021, seperti hari sebelumnya pada 11 Jun 2021, kita telah menewaskan 37 negara teratas di dunia dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi kecuali empat negara di Amerika Selatan - Brazil, Argentina, Colombia dan Chile.
Kegagalan besar darurat Malaysia untuk melandaikan lekuk wabak Covid-19 dapat diukur oleh jurang besar antara Malaysia dan negara-negara yang pernah dianggap sebagai negara dengan prestasi terburuk dalam menguruskan wabak Covid-19.
“Kes per sejuta penduduk Malaysia” pada 12 Jun 2021 adalah 183.74 orang berbanding Amerika Syarikat (43.25), India (65.20), Perancis (63.79), Turki (72.57), Rusia (74.12), UK (98.63), Itali (31.49), Sepanyol (108.83), Jerman (26.19), Iran (101.66), Indonesia (26.78) dan Filipina (60.07).
Setakat ini, 3,098 orang telah terkorban akibat Covid-19 di Malaysia - 3,293 kematian dalam tempoh lima bulan sejak darurat diisytiharkan pada 11 Januari 2021 atau lebih enam kali ganda daripada 551 kematian yang dicatatkan dalam tempoh 12 bulan pertama kita berhadapan dengan wabak ini.
Kita juga telah menjadi negara teratas di dunia dari segi jumlah kematian harian per sejuta penduduk.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan, tempoh dua minggu pelaksanaan sekatan penuh akan datang adalah tempoh yang kritikal untuk negara mengurangkan bilangan kes kepada 4,000.
Beliau berkata dalam tempoh berkenaan, kerjasama semua pihak amat diperlukan untuk membantu melandaikan lekuk COVID-19, yang masih mencatatkan bilangan kes harian yang tinggi, serta menyatakan rasa kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang masih melakukan pergerakan yang tidak perlu, termasuk perhimpunan seperti parti keramaian dan majlis yang disifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab.
Tumpuan jitu perlu diberikan kepada usaha untuk mencari cara bagi mengurangkan peningkatan kes baharu harian Covid-19 kepada julat dua angka dan peningkatan kes kematian harian baharu Covid-19 kepada julat satu angka.
Saya menyifatkan sebarang perbincangan mengenai pelan keluar daripada wabak Covid-19 tanpa terlebih dahulu memberikan tumpuan kepada perkara di atas sebagai suatu keputusan yang paling tidak bertanggungjawab.