#kerajaangagal108 -- Perubahan pendapat Takiyuddin tidak mencukupi apabila Muhyiddin terus berdiam diri mengenai isu sama ada Jawatankuasa Bebas Khas Darurat adalah satu-satunya badan yang berhak menasihati Yang di Pertuan Agong sama ada darurat akan diperpanjangkan atau ditamatkan pada 1 Ogos
Menteri Hal Ehwal Undang-undang, Takiyuddin Hassan, telah mengubah pendapatnya yang asalnya mengatakan bahawa menjadi tanggungjawab Kabinet untuk menasihati Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong sama ada darurat patut dilanjutkan atau ditamatkan. Tetapi, perkara ini tidak memadai selagi mana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus berdiam diri atas perkara ini, sama ada Jawatankuasa Bebas Khas Darurat adalah satu-satunya badan yang berhak untuk menasihati Yang di Pertuan Agong mengenai perkara ini, dan bukannya Kabinet, atau mana-mana Menteri.
Saya mencadangkan supaya ke semua 19 orang Ahli Jawatankuasa ini yang diketuai oleh Arifin Zakaria untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dan mendapatkan jaminan daripada beliau bahawa Jawatankuasa ini -- bukan Kabinet atau mana-mana Menteri -- yang akan menasihati Baginda mengenai perkara penamatan atau pelanjutan perintah darurat pada 1 Ogos, dan isu ini tidak menjadi kucar-kacir seperti yang sering dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional.
Penarikan semula pendapat oleh Takiyuddin tidak bermakna Kabinet kini komited untuk tidak menggunakan kuasanya di bawah Perkara 40 Perlembagaan untuk menasihati Yang di Pertuan Agong, di mana Baginda perlu bertindak ke atas nasihat ini.
Takiyuddin hanya mengatakan yang kerajaan tidak pernah mengganggu tanggungjawab tunggal Jawatankuasa Bebas Khas Darurat ini -- untuk menasihati Yang di Pertuan Agong bila darurat ini perlu tamat -- tetapi apakah keperluan untuk Kabinet mengganggu tugas Jawatankuasa ini sekiranya daripada pandangan Takiyuddin, Jawatankuasa ini tidak relevan memandangkan Baginda perlu mengikut nasihat Kabinet atau mana-mana Menteri yang dilantik?
Daripada pandangan Takiyuddin, sama ada Jawatankuasa Bebas ini memberikan nasihat atau pun tidak, tidak membawa apa-apa perbezaan dan tidak relevan kerana Kabinet atau mana-mana Menteri yang dilantik yang akan mempunyai kata putus atas perkara ini.
Sekiranya Muhyiddin tidak bersedia untuk memberikan jaminan kepada Jawatankuasa Bebas Khas Darurat ini bahawa hanya nasihat mereka yang akan menjadi kata pemutus ke atas perkara ini, maka lebih baik dibubarkan sahaja Jawatankuasa ini.