#kerajaangagal103 -- Adakah Hamzah boleh membuatkan Kabinet bersetuju bahawa Parlimen hanya boleh bersidang apabila kita semua telah mencapai imuniti kelompok?

Amatlah pelik apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berdiam diri terhadap kenyataan tidak masuk akal daripada Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin yang mengatakan Parlimen hanya boleh bersidang apabila kita sudah berjaya mencapai imuniti kelompok menjelang penghujung tahun ini.

Hamzah mula membangkitkan idea ini pada hari Jumaat lepas, 4 Jun, dan idea ini dianggap sebagai tidak masuk akal. Saya memerhatikan yang kita bernasib baik kerana idea ini tidak “menjangkiti” keseluruhan dunia, kerana tidak, perkara ini pastinya akan membunuh demokrasi.

Tetapi apabila beliau menyebut sekali lagi mengenai idea ini semalam, semasa beliau cuba mengetapikan cadangan untuk mengadakan sidang parlimen hibrid semasa darurat sambil memalukan bukan sahaja Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang dan Parlimen), Takiyuddin Hassan, tetapi juga Speaker Dewan Rakyat, Speaker Dewan Negara, dan Timbalan-timbalan Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan Ketua Pentadbir Parlimen yang sedang meneliti cadangan ini, idea Hamzah ini perlu dipandang serius.

Adakah Hamzah boleh membuatkan Kabinet bersetuju bahawa Parlimen hanya boleh bersidang apabila kita semua telah mencapai imuniti kelompok?

Saya telah jangkakan yang Kabinet gergasi Muhyiddin akan menolak cadangan Hamzah ini pada hari Rabu dan menamatkan idea tidak masuk akal ini. Tetapi apabila beliau mengulangi idea ini, kita perlu memandang perkara ini dengan serius.

Sekiranya Hamzah berjaya, Malaysia akan menjadi negara pertama di dunia yang mana Parlimennya hanya boleh bersidang selepas negara mencapai imuniti kelompok.

Perkara ini berlawanan dengan semua amalan antarabangsa, baik di Amerika Syarikat, United Kingdom, atau India, tidak ada mana-mana Parlimen di dunia yang menetapkan persidangannya mengikut sama ada negara telah mencapai imuniti kelompok atau tidak.

Perkara ini lagi tidak masuk akal apabila kita sendiri tidak pasti sama ada kita akan mencapai imuniti kelompok atau tidak.

Kerajaan Muhyiddin telah menunjukkan keyakinan yang kita akan mencapai imuniti kelompok ini menjelang akhir tahun, tetapi mereka tidak berani mendedahkan garis masa untuk mencapai sasaran ini.

Kerajaan Muhyiddin perlu sedar yang terdapat pendapat pakar perubatan yang mengatakan mungkin mustahil untuk mencapai imuniti kelompok terhadap Covid-19 akibat keengganan menerima vaksin, kemunculan variasi baharu, dan kelewatan vaksinasi untuk kanak-kanak.

Adakah Hamzah cuba mengatakan yang sekiranya mustahil untuk kita capai imuniti kelompok, makan Parlimen Malaysia patut digantung selamanya?

Apabila Muhyiddin atau Khairy bercakap mengenai mencapai imuniti kelompok, mereka bercakap mengenai memberikan vaksin kepada 80% orang dewasa, satu perkara yang sangat berbeza dengan memberikan vaksin kepada 80% populasi.

Setakat ini, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) hanya menyasarkan untuk memberikan vaksin kepada mereka yang berusia 18 tahun ke atas. Tetapi sekiranya kategori ini hanya membentuk 65% populasi dalam negara, kita hanya akan berjaya memberikan vaksin kepada 52% populasi sekiranya kita memberikan vaksin kepada 80% orang dewasa dalam negara -- jauh daripada 80% populasi yang diperlukan untuk mencapai imuniti kelompok terhadap Covid-19.

Saya syak, inilah sebabnya mengapa Muhyiddin atau Khairy keberatan untuk mendedahkan jangka masa kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok.

Untuk mencapai imunisasi kepada 80% orang dewasa di Malaysia pun kelihatan seperti satu cabaran yang besar sekiranya kita melihat kepada kadar pendaftaran vaksinasi.

Jadi, jika hendak mencapai 80% populasi divaksinasi (bukannya 80% orang dewasa sahaja) adalah satu perkara yang tidak pasti, adakah Parlimen Malaysia akan digantung selamanya?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri