#kerajaangagal100 - mengapa Kabinet Gergasi Muhyiddin adalah Kabinet yang paling tidak relevan dan tidak penting dalam sejarah Malaysia?
Dalam satu kenyataan yang mempertahankan kerajaan kleptokratik Muhyiddin, Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Marzuki Mohamad, cuba menjelaskan mengapa penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) seperti yang dicadangkan oleh beberapa pihak, tidak sesuai untuk dilaksanakan ketika Malaysia sedang berjuang menentang Covid-19 dan berusaha memulihkan ekonomi.
Beliau mendakwa bahawa ketika ini, Kabinet yang bersidang setiap hari Rabu “sedang berfungsi” dan membuat banyak keputusan bukan sahaja mengenai wabak Covid-19, tetapi juga mengenai pentadbiran negara, pengurusan ekonomi, kebajikan rakyat, kewangan, keselamatan, pertahanan, pendidikan, hubungan antarabangsa dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran negara secara keseluruhannya.
Semalam, saya bertanya apa gunanya ada mesyuarat Kabinet setiap minggu jika ia tidak membawa kepada kemahuan politik atau keberanian untuk mengambil keputusan penting untuk memastikan terdapat tadbir urus yang baik dan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang, selain menyenaraikan sepuluh masalah penting yang memerlukan tindakan segera Kabinet.
Adakah Kabinet telah bertindak menyelesaikan masalah-masalah tersebut?
10 perkara tersebut adalah seperti berikut:
- Membentangkan laporan mengenai insiden pelanggaran transit aliran ringan (LRT) pada 24 Mei 2021 kepada pihak awam;
- Jelaskan mengapa Malaysia menjadi salah satu negara dengan prestasi terburuk dalam menangani wabak Covid-19 sehinggakan kerajaan Jepun meminta Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik mempertimbangkan untuk menghalang penyertaan Malaysia dalam kejohanan dunia tersebut ekoran lonjakan kes Covid-19 di negara ini.
- Mengulangi komitmen terhadap usaha menangani wabak Covid-19 dan mempercepat program imunisasi Covid-19 kebangsaan untuk mencapai imuniti kelompok di Malaysia serta menolak pendirian Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin yang ingin melancarkan operasi serbuan dan penangkapan ke atas migran tanpa dokumen yang akan mendorong mereka untuk bersembunyi dan enggan bekerjasama dalam program imunisasi Covid-19 kebangsaan.
- Mengumumkan pengampunan bagi semua pendatang tanpa dokumen bagi mendapatkan kepercayaan dan keyakinan mereka untuk bekerjasama dalam program imunisasi Covid-19 kebangsaan supaya imuniti kelompok dapat dicapai secepat mungkin.
- Mengakhiri pengumuman SOP Covid-19 yang bersifat kucar-kacir dan mengelirukan, serta amalan layanan berbeza kerajaan, selain menghentikan pertelingkahan antara menteri sama ada antara Ismail dan Azmin atau Hamzah dan Khairy yang akan terus melunturkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap usaha kerajaan menangani wabak Covid-19.
- Mengumumkan jangka masa bagi setiap negeri untuk mencapai imuniti kelompok terhadap Covid-19 dan mempercepat serta menyelesaikan program imunisasi Covid-19 kebangsaan menjelang Hari Malaysia pada 16 September 2021.
- Mengarahkan Menteri Dalam Negeri untuk mengadakan siasatan awam mengenai setiap kematian dalam tahanan sama ada dalam tahanan polis atau penjara, terutamanya kes pemandu lori Umar Faruq Abdullah @ Hermananthan, pengawal keselamatan S. Sivabalan, A. Ganapathy dan Surendran Shanker yang meninggal dunia setelah ditahan di penjara Simpang Renggam.
- Menerima baik gesaan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Kesatuan Wartawan Nasional (NUJM) yang bimbang dengan penggunaan taktik gangguan yang sering dilakukan oleh kerajaan terhadap media.
- Akhiri darurat yang diisytiharkan pada 11 Januari 2021 untuk memerangi wabak Covid-19, kerana darurat bukanlah penyelesaian untuk wabak Covid-19 tetapi faktor yang memburukkan lagi defisit kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap cara kerajaan menangani wabak Covid-19.
- Memanggil sidang Parlimen dengan kadar segera untuk memulihkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap cara kerajaan menangani perang melawan wabak Covid-19 dan kedua, untuk menggerakkan usaha mobilisasi kebangsaan dengan pendekatan dan strategi yang melibatkan “keseluruhan masyarakat” dalam memerangi Covid-19 selain mempercepat program imunisasi Covid-19 kebangsaan.
Adakah Kabinet atau Kementerian berkaitan akan memberikan maklum balas kepada masalah-masalah ini atau adakah ini akan menjadi satu lagi bukti bahawa Kabinet Muhyiddin sememangnya adalah Kabinet yang paling tidak relevan dan tidak penting dalam sejarah Malaysia?