#kerajaangagal99 -- Dua kenyataan daripada Marzuki dan Hadi semalam hanya merancakkan lagi situasi politik semasa yang sedang berkembang pesat

Dua kenyataan daripada Marzuki Mohamad dan Hadi Awang semalam hanya merancakkan lagi situasi politik semasa yang sedang berkembang pesat dalam negara kita.

Dalam kenyataan pertama, Marzuki, Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, telah mengatakan yang Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), yang dicadangkan oleh sesetengah pihak adalah tidak sesuai untuk usaha melawan wabak Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi.

Beliau berkata yang cadangan itu akan menjadi satu langkah ke belakang dan membantutkan segala usaha yang telah diletakkan untuk mengendalikan krisis kesihatan awam dan krisis ekonomi yang kita sedang hadapi.

Beliau berkata, ada yang telah mencadangkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong untuk membentukan MAGERAN, yang sebelum ini dibentuk untuk mentadbir negara selepas perisytiharan darurat pada tahun 1969.

Dua perkara perlu ditekankan. Pertamanya, ini bukanlah satu kenyataan daripada ketua setiausaha sulit Perdana Menteri, tetapi daripada Perdana Menteri sendiri.

Tidak masuk akal untuk seorang ketua setiausaha sulit kepada Perdana Menteri untuk muncul di khalayak awam dan mengeluarkan satu kenyataan sebegitu melainkan beliau telah diarahkan untuk berbuat demikian oleh Perdana Menteri.

Kedua, adakah Perdana Menteri sedang menggunakan ketua setiausaha sulit beliau untuk menyampaikan bantahan beliau mengenai perjumpaan baginda dengan para pemimpin pelbagai parti-parti politik dan Persidangan Khas Majlis Raja-raja Melayu pada 16 Jun mengenai wabak Covid-19 ini?

Mengapakah Perdana Menteri tidak menzahirkan perkara ini sendiri, sebaliknya menggunakan ketua setiausaha sulit beliau?

Tetapi Marzuki, semasa bercakap bagi pihak Muhyiddin, telah meninggalkan tiga perkara penting:

Pertamanya, darurat yang diisytiharkan pada 11 Januari 2021 untuk melawan wabak Covid-19 telah menjadi satu kegagalan besar.

Dalam tempoh lima bulan sejak darurat diisytiharkan pada 11 Januari 2021, jumlah kes Covid-19 terkumpul di negara kita meningkat 3.7 kali ganda, daripada 135,992 kes pada 10 Januari kepada 633,891 kes setakat ini -- sedangkan sebelum itu kita mengambil masa 12 bulan untuk mengumpulkan 135,992 kes.

Jumlah korban terkumpul dalam tempoh yang sama ini juga telah meningkat 5.5 kali ganda, daripada 551 kematian pada 10 Januari 2021 kepada 3,611 kematian setakat hari ini, sedangkan kita dalam tahun pertama berhadapan dengan wabak ini, kita hanya mencatatkan 551 kematian.

Sekiranya perkara ini semua bukan satu kegagalan, maka perkara “gagal” itu tidak mempunyai apa-apa makna lagi.

Dari apa-apa ukuran sekalipun, negara kita telah gagal teruk dalam tempoh lima bulan yang lepas dalam mengawal penularan wabak Covid-19 dan kini menjadi “orang tua sakit Asia”.

Malaysia berada di tempat ke-85 dari segi jumlah kes terkumpul tertinggi di seluruh dunia pada 18 November 2020, hampir tujuh bulan kemudian, negara kita berada di tempat ke-39 -- melonjak 46 anak tangga. Kita bakal berada di tempat ke-38 dalam masa seminggu lagi, mengambil kedudukan Austria.

Malaysia juga merupakan negara di tempat kelapan di seluruh dunia dengan jumlah purata bergerak kes per sejuta penduduk untuk tempoh dua minggu daripada 24 Mei sehingga 6 Jun.

Menurut penjejak vaksinasi Bloomberg, lebih daripada 2.23 bilion dos vaksin telah diedarkan di sekitar 178 buah negara di seluruh dunia, dengan kadar pengedaran terkini berada pada kadar 35.1 juta dos sehari.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kita masih lagi bergerak pada kadar yang terlalu perlahan, memandangkan selepas empat bulan setengah bermulanya program ini, hanya 3.6% populasi kita telah menerima vaksinasi penuh manakala 8% telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Keduanya, penggantungan sidang Parlimen secara tidak sah dari segi Perlembagaan akibat darurat inilah yang menyebabkan kegagalan negara kita dalam perang melawan wabak Covid-19, kerana perkara ini telah membuang peranan berperlembagaan Parlimen untuk menyemak imbang tindak tanduk pihak Eksekutif untuk memastikan adanya tadbir urus yang baik, efisyen, dan berkesan.

Perkara ini kemudiannya menyebabkan defisit kepercayaan dan keyakinan rakyat dalam kebolehan kerajaan untuk mengendalikan wabak Covid-19 ini, langsung menjadi sebab mengapa kerajaan gagal untuk melancarkan perang melawan wabak Covid-19 dengan cara yang melibatkan “keseluruhan masyarakat” selepas 18 bulan kita mula berhadapan dengan wabak ini.

Ketiga, seperti yang dipersoalkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Mohd Puad Zarkashi, siapa yang menggesa penubuhan MAGERAN?

Guan Eng telah mengatakan bahawa tidak ada mana-mana parti Pakatan Harapan, atau mana-mana parti politik pun yang telah mencadangkan penubuhan kerajaan yang berasaskan MAGERAN.

Perkara ini menimbulkan lebih banyak persoalan dengan kenyataan Presiden PAS, Hadi Awang, yang menyeru supaya tindakan diambil terhadap mereka yang “berkomplot” melawan kerajaan Perikatan Nasional:

  1. Mengapa Hadi tidak menyeru supaya tindakan diambil terhadap mereka yang “berkomplot” dan bertanggungjawab terhadap konspirasi Langkah Sheraton yang telah menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan yang diundi secara demokratik dan sah selepas 22 bulan dan kemudiannya membawa masuk kerajaan pintu belakang PN yang tidak sah dan tidak demokratik; dan
  2. Adakah Hadi mencari mereka yang “berkomplot” dalam kalangan kerabat?

Mungkin rakyat Malaysia boleh berharap untuk mendapatkan lebih banyak penjelasan mengenai situasi politik dalam negara kita dalam beberapa hari yang akan datang?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri