#kerajaangagal97 -- Belajar daripada China dan Amerika Syarikat tentang bagaimana untuk membawa vaksin kepada rakyat dan bukannya membawa rakyat kepada vaksin, untuk mempercepatkan pelaksanaan program imunisasi kebangsaaan menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2021

Malaysia perlu belajar daripada China dan Amerika Syarikat tentang bagaimana untuk membawa vaksin kepada rakyat dan bukannya membawa rakyat kepada vaksin, untuk mempercepatkan pelaksanaan program imunisasi kebangsaaan menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2021.

Menteri Koordinasi Vaksin Khairy Jamaluddin telah mengatakan yang Malaysia telah melepasi sasaran mengedarkan 150,000 dos vaksin semalam, dengan 105,722 dos pertama dan 45,587 dos kedua diberikan semalam.

Perkara ini patut dipuji, tetapi kadar vaksinasi kita masih terlalu perlahan memandangkan hanya 3.5% populasi kita telah menerima vaksinasi penuh manakala hanya 7.7% populasi telah menerima sekurang-kurangnya satu dos, selepas tiga bulan setengah program vaksinasi kita bermula.

Kita perlu belajar daripada Amerika Syarikat dan China tentang bagaimana kita dapat mempercepatkan program vaksinasi ini supaya ia dapat dilengkapkan menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2021.

Di China, hampir 800 juta dos vaksin Covid-19 telah diedarkan kepada populasi negara tersebut yang berjumlah 1.4 bilion orang, pada kadar 19 juta dos sehari.

Di seluruh dunia, kira-kira 2.2 bilion dos telah diedarkan, ini bermakna, 800 juta dos di China ini merangkumi kira-kira sepertiga jumlah dos yang telah diedarkan di seluruh dunia.

Program vaksinasi di China bermula perlahan tetapi kini telah memecut pantas dan China kini sedang mengedarkan vaksin pada kadar enam kali ganda lebih laju berbanding dengan Amerika Syarikat pada pertengahan bulan April.

Di Beijing, hampir 80% mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19, membawa ibu negara China tersebut semakin dekat dengan imuniti kelompok -- tetapi perkara ini bukanlah jaminan keselamatan kepada semua orang kerana dengan wabak ini, tidak ada sesiapa pun yang selamat melainkan semua orang selamat daripadanya.

Di Amerika Syarikat, Presiden Biden telah mengisytiharkan bulan Jun sebagai “bulan tindakan kebangsaan” ke atas wabak koronavirus ini, menggesa rakyat Amerika untuk pergi mendapatkan suntikan vaksin dan menekankan keselamatan suntikan ini.

Biden telah menetapkan sasaran untuk memastikan sekurang-kurangnya 70 peratus populasi dewasa di AS telah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan menjelang 4 Julai.

Sebagai sebahagian daripada usaha ini, Rumah Putih telah mengumumkan pelbagai bentuk insentif, termasuklah penghantaran makanan secara percuma, tiket sukan bola keranjang, peranti permainan Xbox, dan peluang untuk memenangi tiket pelayaran, bekalan barang runcit selama setahun, dan tiket penerbangan percuma.

Di China, pelbagai bandar dan institusi juga telah menggunakan pelbagai cara, termasuklah memberikan saguhati untuk menggalakkan vaksinasi.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) patut bersifat berani dan kreatif untuk menggalakkan penerimaan vaksinasi seluas mungkin. Kita dapat lihat United Kingdom, yang mempunyai kadar vaksinasi tertinggi di dunia, sebagai satu contoh baik di mana kadar kematian akibat wabak Covid-19 telah turun kepada sifar pada satu hari di minggu lepas, dan negara tersebut hanya mencatatkan satu kematian semalam.

PICK patut mencipta cara baharu yang selari dengan prinsip membawa vaksin kepada rakyat, dan bukannya menyuruh rakyat mencari vaksin, untuk memastikan kita dapat menyaksikan kadar vaksinasi yang tinggi terhadap koronavirus ini.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri