#kerajaangagal95 -- Kemungkinan negara kita dihalang daripada menyertai Sukan olimpik Tokyo patut menjadi bukti terakhir bahawa darurat yang diisytiharkan pada 11 Januari yang menggantung sidang Parlimen dan DUN adalah satu kegagalan besar dalam melawan wabak Covid-19 dan kita memerlukan satu permulaan baharu

Bahagian sukan akhbar New Straits Times hari ini membawa laporan yang bertajuk: “Malaysia mungkin akan disekat dari menyertai Olimpik” oleh Fabian peter, yang mengatakan yang Kerajaan Jepun telah meminta Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik untuk mempertimbangkan menghalang kemasukan 10 negara, termasuklah Malaysia, yang telah mengalami peningkatan mendadak kes Covid-19 baru-baru ini.

Negara-negara lain dalam senarai yang mungkin dihalang menyertai Sukan Olimpik ini adalah India, Pakistan, Nepal, Bangladesh, Maldives, Sri Lanka, Afghanistan, Vietnam, dan United Kingdom.

Namun Kabinet Jepun mengatakan sekiranya menghalang kemasukan para atlet daripada negara-negara ini mustahil kerana sebab-sebab “pengurusan dan persediaan temasya Sukan” tersebut, langkah yang lebih ketat akan dikenakan ke atas mereka ini, termasuklah kuarantin wajib selama 14 hari untuk kontinjen Olimpik daripada 10 negara ini.

Kemungkinan negara kita dihalang daripada menyertai Sukan olimpik Tokyo patut menjadi bukti terakhir bahawa darurat yang diisytiharkan pada 11 Januari yang menggantung sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri adalah satu kegagalan besar dalam melawan wabak Covid-19 dan kita memerlukan satu permulaan baharu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan juga Kabinet gergasi beliau perlu berhenti menipu diri sendiri dengan mengatakan yang darurat dan penggantungan sidang Parlimen telah menyumbang secara positif kepada usaha memerangi wabak Covid-19, tidak juga dilupakan segala kekeliruan dan ketidaktentuan yang berlaku akibat daripada SOP yang sering berubah dan layanan berbeza yang diamalkan oleh kerajaan yang masih berterusan sehingga sekarang.

Saya jangkakan yang semakan keadaan wabak Covid-19 yang membawa kepada surat daripada Kerajaan Jepun kepada Jawatankuasa Pengajur Sukan Olimpik ini telah pun ditetapkan, memandangkan daripada sepuluh negara tersebut, hanya empat negara, termasuk Malaysia, yang masih menyaksikan peningkatan kes Covid-19.

Sebagai contoh, United Kingdom kini sedang meratakan lekuk penularan Covid-19 dan melaporkan 5,685 kes baharu Covid-19 pada 7 Jun, yang merupakan penurunan 91.6% berbanding dengan kemuncak peningkatan kadar jangkitan harian negara tersebut pada 8 Januari 2021 dengan 67,839 kes.

Malah India juga, walaupun mencatatkan jumlah kes yang masih tinggi, sedang menunjukkan trend penurunan jumlah kes baharu, dengan mencatatkan 87,345 kes pada 7 Jun, penurunan 79% berbanding dengan kemuncak 414,433 kes pada 6 Mei dan mengurangkan kadar kematian dengan lebih daripada separuh kepada 2,115 pada 7 Jun berbanding dengan 5,525 kematian pada 18 Mei.

Malaysia kini menonjol ke hadapan dalam kalangan 10 negara ini, dengan amaran kemungkinan berhadapan dengan 13,000 kes sehari dan 26,000 kematian terkumpul menjelang September.

Dengan keadaan seperti ini, keadaan politik di Malaysia perlulah memberikan respons yang berani dan kreatif untuk mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat dalam mengendalikan wabak Covid-19, sekiranya kita tidak mahu menjadi negara dengan prestasi terburuk dalam mengendalikan wabak ini.

Tamatkan darurat dan panggil semula sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri untuk menggerakkan usaha mobilisasi kebangsaan dengan pendekatan dan strategi yang melibatkan “keseluruhan masyarakat” dalam memerangi Covid-19 -- perkara ini patut dijadikan permulaan baharu dalam memerangi wabak ini.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri