#kerajaangagal94 -- Seruan kepada Perdana Menteri untuk mengumumkan pengampunan bagi pendatang tanpa dokumen demi memberi keutamaan kepada perang melawan wabak Covid-19 dan mempercepat program imunisasi kebangsaan
Sudah lebih dari sepuluh hari sejak pengumuman oleh Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin bertentangan dengan pengumuman Menteri Penyelaras vaksin, Khairy Jamaluddin, berhubung operasi terhadap pendatang tanpa dokumen yang melanggar SOP Covid-19, namun Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih berdiam diri dalam isu penting ini yang mana boleh menjadi penentu kejayaan atau kegagalan program imunisasi kebangsaan atau adakah Malaysia dapat mencapai imuniti kelompok terhadap Covid-19 dan menamatkan masalah penularan wabak itu di negara ini.
Pada 16 Februari, Khairy berkata bahawa warga asing yang tidak mempunyai dokumen tidak akan ditangkap semasa diberikan vaksin Covid-19, sambil menambahkan bahawa jaminan ini sangat penting dalam memastikan imuniti kelompok tercapai.
Beliau juga berkata bahawa kerajaan akan bekerjasama dengan pelbagai kumpulan termasuk majikan, NGO dan kedutaan asing untuk mendorong pekerja asing dan pelarian untuk mendaftarkan diri menjadi penerima vaksin.
Kekeliruan dan ketidakpastian seumpama ini telah menjadi ciri utama kerajaan Muhyiddin di mana tangan kanan tidak tahu apa yang dilakukan oleh tangan kiri.
Muhyiddin harus tampil untuk mengakhiri kekeliruan dan ketidakpastian kronik dalam perang melawan pandemik Covid-19, bukan hanya mengenai isu pekerja migran tanpa dokumen tetapi juga idea tidak masuk akal oleh Menteri Dalam Negeri bahawa Parlimen hanya akan bersidang selepas negara mencapai imuniti kelompok terhadap Covid-19.
Menteri Dalam Negeri harus menjawab persoalan ini - adakah beliau sebenarnya tidak mahu Parlimen bersidang kerana Malaysia tidak akan mencapai imuniti kelompok jika Kementerian Dalam Negeri tidak mewujudkan suasana yang boleh mendorong para pendatang tanpa dokumen untuk tidak bersembunyi dan tampil secara sukarela untuk divaksin.
Saya menyeru Muhyiddin untuk mengumumkan pengampunan bagi migran tanpa dokumen, yang disokong sepenuhnya oleh semua parti politik dan Parlimen, untuk memberi keutamaan kepada perang melawan wabak Covid-19.
Ini juga akan memberi peluang kepada pihak berwajib untuk berunding dengan semua kumpulan yang berminat dan mengemukakan kepada Parlimen untuk persetujuan suatu dasar yang wajar, progresif dan penuh belas kasihan terhadap pekerja migran, yang tidak boleh dianggap sebagai penjenayah tetapi sebagai aset penting untuk pembangunan negara.
Saya dapati sikap Hamzah yang menolak seruan agar wakil dari Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) diberi akses ke depot tahanan imigresen sangat pelik dan suatu pendirian yang membawa kepada kegagalan.
Bagaimana Malaysia dapat memenuhi komitmen antarabangsa ketika di satu pihak, Muhyiddin mengutuk keganasan tentera Myanmar terhadap orang awam yang tidak bersenjata sedangkan di sisi lain, Hamzah menentang akses wakil PBB ke depot imigresen kita?