#kerajaangagal92 -- Adham Baba sekali lagi melakukan satu perkara yang memalukan apabila beliau membandingkan kadar kematian akibat Covid-19 di Malaysia dengan di UK, sedangkan kadar di Malaysia ini 11 kali ganda lebih tinggi berbanding kadar di UK
Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba sekali lagi melakukan perkara yang memalukan apabila beliau membandingkan kadar kematian akibat Covid-19 di Malaysia dengan di United Kingdom, sedangkan kadar di Malaysia ini 11 kali ganda lebih tinggi berbanding kadar di UK.
Di Johor Baru semalam, Adham mengatakan yang kejayaan UK untuk mencatatkan sifar kematian akibat Covid-19 baru-baru ini telah memberikan kerajaan Malaysia keyakinan terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Saya tidak pasti apa yang Adham sedang cuba sampaikan.
Pertamanya, dalam seminggu yang lepas, UK telah menurunkan kadar kematian akibat Covid-19 di negara itu ke julat dua angka rendah atau satu angka, dengan satu hari yang mencatatkan sifar kematian, sedangkan dalam masa yang sama, negara kita mencatatkan rekod baharu angka kematian tertinggi pada 2 Jun dengan 126 kematian. Angka-angka ini adalah seperti berikut:
Kadar Korban Harian Covid-19
Tarikh | Malaysia | United Kingdom |
31.5 | 67 | 1 |
1.6 | 71 | 0 |
2.6 | 126 | 12 |
3.6 | 103 | 18 |
4.6 | 86 | 11 |
4.6 | 86 | 11 |
5.6 | 109 | 13 |
6.6 | 87 | 4 |
Jumlah | 649 | 59 |
Dari segi pemberian vaksin pula, Malaysia berada jauh di belakang United Kingdom.
Lebih daripada 2.12 bilion dos telah diedarkan di sekitar 176 buah negara, pada kadar kira-kira 38.9 juta dos sehari.
United Kingdom telah mengedarkan sekitar 68 juta dos vaksin, manakala Malaysia pula hanya mengedarkan 3.5 juta dos. Hasilnya, di United Kingdom, 41.4% populasi mereka telah menerima vaksinasi penuh, dan 60.4% populasi mereka telah menerima sekurang-kurangnya satu dos, sedangkan di Malaysia hanya 3.5% peratus populasi kita telah menerima vaksinasi lengkap dan 7.3% populasi telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Sekiranya kita mahu membandingkan keadaan di UK dengan negara kita, dua perkara perlu berlaku dahulu -- kadar kematian akibat Covid-19 perlu turun segera dan program imunisasi Covid-19 perlulah dipercepatkan dengan segera.
Menurut satu artikel yang diterbitkan pada hujung bulan lepas, UK dijangkakan akan mencapai imuniti kelompok dalam masa dua bulan lagi sedangkan Malaysia pula dijangkakan akan mengambil masa 22 bulan untuk mencapai imuniti kelompok, di mana 75% populasi telah menerima vaksinasi.
Bolehkah Adham menyatakan bilakah kita akan mencapai imuniti kelompok, dan memberikan jangka masanya untuk setiap negeri untuk mencapai imuniti kelompok ini.
Lama sudah saya cadangkan supaya program vaksinasi ini dipercepatkan supaya dapat dilengkapkan menjelang Hari Malaysia pada 16 September 2021.
Adakah Adham akan menyokong cadangan pelengkapan menjelang Hari Malaysia ini?
Saya telah tanya sebelum ini, adakah Malaysia sedang bergerak ke arah di mana terdapat lebih banyak kematian akibat Covid-19 di negara kita berbanding di Amerika Syarikat?
Persoalan ini bukanlah satu perkara mustahil untuk berlaku, memandangkan kadar kematian di Amerika Syarikat telah menurun daripada kemuncak 4,462 kematian pada 12 Januari 2021 kepada 158 kematian semalam -- penurunan besar sebanyak 96.5%!
Adham perlu memastikan perkara ini -- di mana kadar kematian akibat Covid-19 di Malaysia lebih tinggi daripada di Amerika Syarikat -- tidak berlaku, atau pun ia akan selama-lamanya menjadi titik hitam terhadap maruahnya.
Namun, setakat ini, kegagalan terbesar Adham adalah dalam memastikan kerajaan dapat mengekalkan kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada kerajaan untuk mengendalikan wabak Covid-19 ini dan untuk menggerakkan keseluruhan negara dalam memerangi wabak ini.
Apakah perkara yang masih dibimbangi rakyat selepas 18 bulan berhadapan dengan wabak ini? Semestinya ia adalah prosedur operasi standard (SOP) yang sering bertukar dan kucar-kacir, dan juga layanan berbeza yang diamalkan kerajaan.
Perkara ini memanglah satu kegagalan yang sangat teruk!