#kerajaangagal90 -- Berapa banyakkah kematian yang sepatutnya boleh dielakkan yang akan dicatatkan dalam negara kita sepanjang wabak Covid-19?
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri James Jemut Masing, mengatakan yang adik beliau, Jantai Masing, 68, yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital Kapit pada 31 Mei -- sehari sebelum penduduk Dayak di negeri tersebut menyambut perayaan Gawai -- mungkin akan mempunyai peluang yang lebih cerah sekiranya beliau telah menerima vaksin.
Inilah persoalan yang menghantui rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama -- Berapa banyakkah kematian yang sepatutnya boleh dielakkan yang akan dicatatkan dalam negara kita sepanjang wabak Covid-19?
Malaysia telah sampai ke satu tahap di mana terdapat lebih ramai orang yang mati akibat Covid-19 berbanding dengan di United Kingdom.
Dalam bulan Mei 2021, 1,495 orang telah terkorban akibat Covid-19 di Malaysia, sementara di United Kingdom, hanya 265 orang yang terkorban akibat wabak ini.
Dalam lima hari pertama bulan Jun, 495 orang telah terkorban di Malaysia akibat wabak Covid-19, manakala hanya 54 orang terkorban di United Kingdom.
Januari adalah bulan terburuk untuk United Kingdom, di mana 32,707 orang telah terkorban akibat wabak ini. Namun, program vaksinasi besar-besaran telah mengubah keadaan di negara tersebut dengan mengurangkan jumlah kes dan juga kadar kematian, sehingga UK kini mencatatkan lebih sedikit peningkatan kes baharu harian dan kadar kematian harian berbanding dengan Malaysia.
United Kingdom telah beralih arah dalam berhadapan dengan wabak Covid-19, tetapi di Malaysia kita masih menunggu untuk yang terburuk, dengan jangkaan yang peningkatan harian mungkin akan mencecah sehingga 13,000 kes sehari menjelang pertengahan bulan ini dan dengan jumlah korban terkumpul sehingga 26,000 kes menjelang September.
Amatlah penting untuk pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan disegerakan secepat mungkin.
Kita perlu menyemak semula strategi kita untuk memastikan program vaksinasi ini tidak menjadi titik kelemahan kita dalam perang melawan wabak Covid-19.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin perlu merangka semula strateginya dan memastikan kempennya mendekati rakyat dengan membawa vaksin kepada rakyat dan bukannya sebaliknya.
Perkara ini teramatlah penting, terutamanya untuk kawasan luar bandar dan pedalaman, dan pada masa yang sama, di kawasan bandar, pusat vaksinasi perlulah diperbanyakkan dan dijadikan mesra rakyat dan mudah untuk dicapai.
Perlu ada satu kempen yang melibatkan semua Ahli-ahli Parlimen, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, pemimpin komuniti, ketua kampung, pemimpin-pemimpin keagamaan, tokoh korporat, komuniti perniagaan, persatuan profesional, dan pemengaruh media sosial untuk memainkan peranan penting dalam menggalakkan rakyat Malaysia untuk mendaftar dan menerima vaksinasi.