#kerajaangagal85 -- Adakah Speaker Parlimen Azhar Harun masih perlu diyakinkan yang darurat telah gagal untuk mengawal wabak Covid-19 yang telah berterusan selama 17 bulan?

Rakyat Malaysia bingung dengan peningkatan berterusan kes jangkitan dan kematian akibat wabak itu meskipun sudah tiga hari sekatan pergerakan penuh dikuatkuasakan:

Tarikh Kes Kematian
1.6.2021 7,105 71
2.6.2021 7,703 126
3.6.2021 8,209 103
Jumlah 23,017 300

Malaysia mengambil masa selama 10 bulan untuk mencapai jumlah kes terkumpul sebanyak 22,957 kes dan 11 bulan untuk mencapai jumlah kematian keseluruhan sebanyak 300 orang, tetapi jumlah kes jangkitan dan kematian yang dicatatkan dalam tiga hari terakhir ini sahaja sudah menyamai kes yang dicatatkan dalam 10 bulan dan 11 bulan tersebut!

Untuk tiga hari berturut-turut, kita telah menewaskan Indonesia dan Filipina dalam peningkatan kes baharu harian Covid-19:

Tarikh Malaysia Indonesia Filipina
1.6.21 7,105 4,824 5,169
2.6.21 7,703 5,246 5,223
3.6.21 8,209 5,353 7,217

Ini merupakan hari ke-23 berturut Malaysia mengatasi Indonesia dalam peningkatan kes baharu harian Covid-19 dan merupakan hari keempat berturut-turut Malaysia mengatasi Filipina dalam peningkatan kes baharu harian Covid-19.

Sehingga kini, Indonesia dan Filipina mempunyai jumlah kes terkumpul Covid-19 yang lebih tinggi berbanding Malaysia - Indonesia berada di kedudukan ke-18 dengan 1,831,773 kes sementara Filipina di kedudukan ke-24 dengan 1,240,716 kes. Pun begitu, Malaysia dilihat semakin menghampiri kedudukan kedua-dua negara tersebut.

Malaysia berada di kedudukan ke-39, dengan jumlah kes terkumpul positif Covid-19 sebanyak 587,165 kes sementara 2,993 kematian direkodkan akibat wabak itu.

Indonesia dan Filipina, yang mempunyai jumlah penduduk yang lebih ramai berbanding Malaysia, juga mempunyai jumlah kematian akibat Covid-19 yang lebih tinggi.

Meskipun Indonesia mempunyai jumlah kes kematian terkumpul sebanyak 50,908 dan merekodkan jumlah kes kematian harian yang lebih tinggi berbanding Malaysia, negara jiran tersebut masih mampu mengekalkan kes kematian harian di bawah paras 200 sepanjang dua minggu lalu.

Sementara Filipina, dengan 21,158 kematian akibat Covid-19, merekodkan kes kematian yang lebih rendah berbanding Malaysia dalam tempoh empat hari sepanjang dua minggu lalu.

Jika ramalan Institute for Health Metric and Evaluation (IHME) University Washington tepat, maka kematian akibat Covid-19 di negara ini akan mencecah 26,000 orang pada September. Badan itu juga meramalkan kadar kematian harian mungkin meningkat setinggi 200 sehari menjelang Ogos. Ini bermakna Malaysia akan menewaskan Indonesia dan Filipina dalam kedua-dua kategori iaitu peningkatan kes baharu harian Covid-19 dan kes kematian harian akibat wabak itu dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Amat malang sekiranya Malaysia mempunyai kes jangkitan dan kematian yang lebih tinggi berbanding Indonesia atau Filipina.

Malaysia berada di kedudukan ke-39 dengan kes terkumpul positif Covid-19 tertinggi, menewaskan 31 negara dengan kedudukan yang lebih tinggi dalam aspek peningkatan kes baharu harian Covid-19 tertinggi semalam.

Menurut Our World In Data, Malaysia mendahului banyak negara dalam kes per sejuta penduduk semalam. Kita mendapat markah 237.45, lebih tinggi berbanding India (111.07), Perancis (120.21), Kanada (71.50), Amerika Syarikat (49.06), Filipina (60.93), Itali (50.50), Thailand (56.42), Jerman (52.79), UK (51.41), Jepun (24.62), Taiwan (19.78), Indonesia (21.18), Korea Selatan (10.72), Singapura (4.49), Vietnam (2.62), Myanmar (1.33), Australia (0.41), New Zealand (0.33), Hong Kong (0.23) and China (0.01).

Berdasar data semalam, 386,337 kes baharu telah dicatatkan di peringkat global, yang mana menurun 57.2% daripada kes harian tertinggi yang pernah dicatatkan pada 29 April 2021 dengan 903,345 kes, 131,371 kes di India, menurun 68.3% dari puncak 414,433 kes pada 6 Mei 2021; 17,791 kes di Amerika Syarikat, yang mana menurun 94.2% dari puncak 304,998 kes pada 8 Januari 2021; 5,274 kes di UK yang mana menurun 92.3% dari puncak 67,843 pada 8 Januari 2021; 1,968 kes di Itali, menurun 95.2% dari puncak 41,195 kes pada 13 November 13 2020; dan 8,161 kes di Perancis, yang menurun 90.2% dari puncak 83,324 kes pada 7 November 2020.

Mengapa Malaysia mengalami trend peningkatan kes positif Covid-19 dan sebaliknya pula berlaku di peringkat global?

Pelaksanaan sekatan pergerakan penuh hanya melemahkan lagi kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap cara kerajaan mengendali penularan wabak itu di negara ini.

Berlaku seolah-olah rampasan kuasa dalam Kerajaan Perikatan Nasional selepas Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa semua surat kebenaran bekerja yang dikeluarkan oleh Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) adalah terbatal, dan surat kebenaran baharu hanya akan dikeluarkan oleh kementerian yang berkaitan.

Terdapat serangan balas 24 jam selepas itu, apabila kuasa mengeluarkan surat kebenaran bekerja diberikan semula kepada MITI.

Situasi ini memberi gambaran situasi tegang dalam kerajaan pintu belakang ini. Dakwaan ini diperkuatkan lagi dengan hantaran yang dibuat Ismail di Facebook yang berbunyi “Saya dah tutup pintu depan tapi……” dan pengguna media sosial berteka-teki sama ada hantaran tersebut merujuk kepada pertelingkahan antara Ismail dan Menteri MITI, Azmin Ali berhubung kelulusan yang dikeluarkan oleh kementerian terbabit dalam tempoh sekatan pergerakan penuh.

Adakah Malaysia sedang mengalami kakistokrasi?

Rakyat Malaysia terkapai-kapai tanpa panduan. Tiada seorang pun dari kalangan pemimpin kerajaan yang bersungguh-sungguh mahu mengembalikan kepercayaan dan keyakinan masyarakat yang berang dengan cara kerajaan menguruskan krisis kesihatan ini atau berusaha untuk menerapkan strategi dan pendekatan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan pandemik Covid-19.

Dalam keadaan seperti itu, adakah masa depan untuk Malaysia.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri