#kerajaangagal85 -- Adakah Speaker Parlimen Azhar Harun masih perlu diyakinkan yang darurat telah gagal untuk mengawal wabak Covid-19 yang telah berterusan selama 17 bulan?
Adakah Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun, masih perlu diyakinkan yang darurat yang diumumkan pada 11 Januari 2021 ini adalah satu kegagalan besar dalam usaha mengawal wabak Covid-19 yang telah berterusan selama 17 bulan?
Adakah beliau masih perlu diyakinkan yang salah satu sebab darurat ini gagal adalah kerana sidang Parlimen digantung, yang telah membuang satu aspek penting perlembagaan untuk membolehkan Parlimen menyemak dan mengimbangi segala tindak-tanduk pihak Eksekutif, untuk memastikan terdapatkan tadbir urus yang kompeten, berkesan, dan baik?
Sekiranya Azhar masih merasakan yang darurat yang diisytiharkan pada 11 Januari 2021 ini adalah langkah terbaik dalam memerangi wabak Covid-19, beliau patut menyatakan perkara ini dengan jelas -- kerana suara beliau mungkin bersendirian dalam perkara ini, kerana saya merasakan tidak ada sesiapa pun dalam Kabinet gergasi kita, termasuklah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri, yang berani mengatakan demikian.
Semasa darurat diisytiharkan pada 11 Januari 2021, terdapat 138,224 kes terkumpul selepas 12 bulan berhadapan dengan wabak ini. Lima bulan kemudiannya, angka kes terkumpul ini telah meningkat lebih daripada empat kali ganda kepada 587,165 kes.
Sebelum darurat, kita mencatatkan 511 kematian akibat Covid-19, 12 bulan selepas bermulanya penularan wabak ini. Dalam tempoh hampir lima bulan selepas darurat, angka ini meningkat hampur enam kali ganda kepada 2,993 kematian.
Dengan data sebegini, saya cabar mana-mana orang -- sama ada Speaker Parlimen, atau sesiapa pun dalam Kabinet Muhyiddin -- untuk mengatakan secara terbuka, yang darurat yang diisytiharkan pada 11 Januari 2021 ini adalah satu kejayaan dalam memerangi wabak Covid-19 dalam negara kita!
Sekiranya Speaker Parlimen setuju bahawa darurat yang diisytiharkan pada 11 Januari 2021 adalah satu kegagalan besar dalam memerangi Covid-19, dan salah satu sebab utamanya adalah penggantungan Parlimen yang telah merompak hak berperlembagaan Parlimen untuk menyemak imbang tindak-tanduk kerajaan untuk memastikan terdapat pentadbiran yang kompeten, berkesan, dan baik, saya menjangkakan Speaker Parlimen untuk mempertimbangkan dengan positif, pandangan Ahli Parlimen DAP Beruas yang juga merupakan mantan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Ngeh Koo Ham, bahawa Parlimen ini telah digantung sidangnya secara tidak sah dari segi Perlembagaan (yang telah diterbitkan dalam Malaysiakini).
Saya telah menunggu jawapan balas daripada Speaker untuk sehari, tetapi tiada apa yang diberikan daripadanya.
Saya bercakap dengan Ngeh malam semalam, dan diberitahu bawah Speaker telah bertukar pendapat secara peribadi dengan Ngeh.
Perkara ini amat tidak memuaskan. Perkara sama ada Parlimen telah digantung secara tidak sah di sisi Perlembagaan ini bukanlah perkara peribadi tetapi satu isu berkepentingan awam dan negara.
Dalam keadaan ini, Azhar Harun perlu menjelaskan kedudukan beliau mengenai penggantungan sidang Parlimen semasa darurat ini, dan terutamanya tindakan beliau dalam menjadi jurucakap pihak Eksekutif kepada Ahli-ahli Parlimen sedangkan beliau sepatutnya mewakili kepentingan Ahli-ahli Parlimen untuk mempertahankan kuasa dan hak-hak Parlimen daripada dicabuli pihak Eksekutif.
William Shakespeare pernah berkata: “Ada orang dilahirkan hebat, ada orang berjaya menjadi hebat, dan ada pula orang yang terpaksa menanggung hebat”.
Adakah Malaysia akan mendapat seorang Speaker Parlimen yang hebat?