#kerajaangagal84 – Malaysia dan UK masing-masing mencipta rekod baharu - Malaysia merekodkan 126 angka korban akibat Covid-19 sementara tiada kematian direkodkan akibat wabak itu di UK
Malaysia dan United Kingdom mencipta rekod baharu -- Malaysia merekodkan 126 kes kematian akibat Covid-19, sekaligus menjadikan ia angka kematian tertinggi akibat wabak itu setakat ini sementara tiada sebarang kematian direkodkan di UK pada hari Selasa, 1 Jun, hari pertama pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di negara kita.
Selama dua bulan setengah, United Kingdom mengekalkan angka kes kematian akibat wabak itu pada paras dua digit -- menurun dari kes kematian harian tertinggi pada 20 Januari 2021 dengan 1,823 kes. UK merekodkan angka sifar kes kematian akibat wabak itu buat pertama kali dalam tempoh 10 bulan pada Selasa lalu.
Namun di Malaysia, angka kes kematian akibat wabak itu kekal pada paras dua digit selama enam minggu berturut-turut dan meningkat kepada tiga digit semalam.
Sejak pengisytiharan darurat pada 11 Januari 2021, statistik bulanan angka kes kematian akibat Covid-19 adalah seperti berikut:
Januari (dari 11 Januari): 209
Februari: 370
Mac: 142
April: 234
Mei: 1,290
Jun (1 dan 2 Jun) 197
Jumlah 2,442
Setakat 2 Jun 2021, jumlah kes kematian akibat Covid-19 adalah sebanyak 2,993 kes, ini bermakna jumlah kematian akibat wabak itu sepanjang tempoh hampir lima bulan pengisytiharan darurat dikuatkuasakan adalah kira-kira 4.5 kali ganda daripada jumlah kematian yang direkodkan sepanjang 12 bulan sebelumnya.
Bukankah ini gambaran yang jelas tentang kegagalan perisytiharan darurat yang kononnya dikuatkuasakan kerajaan untuk melawan pandemik Covid-19?
Malah, sepanjang hampir lima bulan pelaksanaan bulan darurat, jumlah kes Covid-19 yang direkodkan di negara ini meningkat lebih empat kali ganda berbanding jumlah kes yang direkodkan dalam tempoh 12 bulan sebelumnya -- jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 adalah sebanyak 138,224 kes pada 11 Januari; meningkat kepada 587,165 kes pada 2 Jun 2021.
Sudah terang lagi bersuluh, perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen, telah melumpuhkan usaha untuk melawan wabak Covid-19 ekoran kegagalan berganda kerajaan -- pertama; kegagalan untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan masyarakat ekoran pelaksanaan SOP yang caca-marba dan bersifat dwi-standard dan kedua; kegagalan untuk menggerakkan mobilisasi nasional semua rakyat Malaysia untuk memastikan terdapat pendekatan dan strategi melibatkan “keseluruhan masyarakat” dalam peperangan melawan pandemik Covid-19.
Darurat jenis apakah ini?
Mungkin inilah satu-satunya darurat seumpamanya di dunia yang dilihat gagal untuk merubah situasi meruncing dalam negara, malah mendatangkan lebih banyak bencana - sama ada dalam kes kematian atau kes baharu jangkitan wabak itu.
Malah, pakar telah memberi amaran bahawa situasi lebih buruk dijangka akan berlaku meskipun sekatan pergerakan penuh telah dilaksanakan.
Anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr. Adeeba Kamarulzaman memberi amaran semalam bahawa satu kajian yang diterbitkan baru-baru ini memberi amaran bahawa jumlah kematian berkaitan Covid-19 di negara ini berkemungkinan mencapai 26,000 kes menjelang September. Anggaran angka itu sekurang-kurangnya sembilan kali ganda daripada jumlah kumulatif kes kematian terkini iaitu 2,993 setakat semalam.
Beliau berkata kajian oleh Institute for Health Metric and Evaluation (IHME) University of Washington itu juga menganggarkan kadar kematian harian akan mencecah 200 kes menjelang akhir Ogos.
Dr Adeeba yang juga Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia menegaskan bahawa memerangi Covid-19 adalah tindakan yang perlu dilibatkan semua rakyat Malaysia dan menggesa semua rakyat Malaysia untuk berfikir, membuat rancangan strategik dan atur semula.
Beliau berkata pucuk pimpinan juga perlu mengambil tanggungjawab untuk mengembalikan kepercayaan rakyat dalam erti kata kesihatan awam, kerana kepercayaan adalah mata wang kepada kesihatan awam.
Persoalannya kini, adakah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi dan bersedia untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan masyarakat dengan segera memanggil sidang Parlimen bagi memastikan wujudnya prinsip “semak dan imbang” ke atas segala keputusan yang dibuat oleh pihak eksekutif?