#kerajaangagal83 - Bagaimanakah pelaksanaan PICK boleh dipercepatkan daripada 22 bulan kepada tujuh atau empat bulan untuk mencapai imuniti kelompok?

Salah satu cabaran terbesar dalam perang melawan wabak Covid-19 adalah bagaimana untuk mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan memendekkan tempoh 22 bulan program berkenaan kepada tujuh atau empat bulan bagi mencapai imuniti kelompok.

Beberapa hari lalu, kedua-dua Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin, mengelak untuk menjawab persoalan yang dibangkitkan saya berhubung bilakah Malaysia akan mencapai imuniti kelompok.

Saya merujuk laporan antarabangsa minggu lalu meramalkan jangka masa yang diperlukan untuk Malaysia mencapai imuniti kelompok dengan 75% daripada populasi telah diberikan suntikan adalah selama 22 bulan berdasarkan kadar vaksinasi terkini.

Ini bermakna kita akan mencapai imuniti kelompok pada Mac 2023, yang mana tersasar jauh daripada sasaran asal Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan iaitu pada Februari 2022, atau sasaran yang ditetapkan oleh Perdana Menteri yang mengarahkan supaya program berkenaan diselesaikan menjelang hujung tahun ini.

Ini adalah contoh di mana kerajaan Muhyiddin telah gagal untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap kerajaan dalam mengendalikan pandemik Covid-19 sehingga kini, kerana kerajaan sendiri tiada jawapan untuk soalan yang begitu penting - bilakah negara kita akan mencapai imuniti kelompok?

Pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di Malaysia telah memasuki hari kedua, tetapi apa yang telah dilakukan oleh kerajaan Muhyiddin untuk mengatasi defisit kepercayaan dan keyakinan di kalangan masyarakat terhadap cara kerajaan menangani penularan wabak ini, selepas Malaysia bukan sahaja menewaskan Indonesia untuk 21 hari berturut dalam peningkatan kes baharu harian Covid-19 (statistik semalam: Malaysia 7,105 kes, Indonesia 4,824 kes) tetapi Malaysia juga menewaskan Amerika Syarikat dalam peningkatan kes baharu harian Covid-19 pada Isnin 31 Mei 2021.

Pada 31 Mei, peningkatan kes baharu harian Covid-19 di Malaysia dan Amerika Syarikat masing-masing adalah sebanyak 6,824 kes dan 5,235 kes.

Puncak peningkatan kes baharu harian Covid-19 di Amerika Syarikat adalah 304,951 kes pada 8 Januari 2021, peningkatan kes baharu harian Covid-19 di Amerika Syarikat pada 31 Mei 2021 menurun dengan mendadak sebanyak 98.3% daripada puncaknya.

Berbeza pula di Malaysia, puncak peningkatan kes baharu harian Covid-19 adalah 5,728 kes pada 30 Januari 2021. Namun untuk enam hari terakhir berturut-turut, peningkatan kes baharu harian Covid-19 telah meningkat melebihi puncak pada 30 Januari, dan Ketua Pengarah Kesihatan baru-baru ini mengingatkan tentang peningkatan kes baharu harian Covid-19 yang mungkin boleh mencecah 13,000 kes dalam bulan ini.

Peningkatan kes baharu Covid-19 di peringkat global telah menurun sebanyak 40% daripada puncak 903,343 kes yang direkodkan pada 20 April kepada 360,232 kes pada 31 Mei, namun Malaysia menongkah arus dengan menunjukkan trend peningkatan dan merekodkan puncak baharu.

Lambat laun, Malaysia akan menewaskan Amerika Syarikat dalam peningkatan kes baharu harian Covid-19 akan menjadi perkara biasa buat kita semua.

Saya meramalkan Amerika Syarikat, Singapura, Jerman dan Perancis akan mencapai imuniti kelompok dalam tempoh empat bulan lagi, China pula dalam tempoh tiga bulan lagi sementara United Kingdom dalam tempoh dua bulan, tiada sebab mengapa Malaysia tidak boleh mempercepatkan program imunisasi kebangsaan bagi mencapai imuniti kelompok menjelang Hari Malaysia pada 16 September 2021.

Namun, Muhyiddin dan Khairy tidak mampu untuk mendedahkan bilakah Malaysia akan mencapai imuniti kelompok - sama ada 2021, 2022 atau 2023.

Ini adalah perkara yang amat penting dan saya syak Muhyiddin dan Khairy sendiri tidak tahu tentang tarikh sasaran Malaysia akan mencapai imuniti kelompok.

Jika Malaysia mencapai imuniti kelompok pada separuh kedua tahun 2022 atau 2023, maka mereka yang menerima vaksin pada tahun ini tidak akan termasuk dalam golongan yang dilengkapi imuniti Covid-19, kecuali mereka diberikan booster atau suntikan vaksin lagi.

Ini adalah perkara yang serius yang harus diberikan perhatian secepat mungkin oleh Muhyiddin dan Khairy kerana mereka harus sedar program imunisasi bergerak terlalu perlahan dan menjadi kelemahan terhadap usaha kita untuk memerangi pandemik Covid-19. Meskipun vaksin Covid-19 bukanlah penawar ajaib untuk mengakhiri pandemik, ia sememangnya mampu menjadi pengubah keadaan dalam medan peperangan melawan pandemik Covid-19.

Kerajaan kini mendakwa mereka mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi untuk semua rakyat Malaysia. Jika begitu, tidak ada sebab untuk kerajaan memonopoli pembelian vaksin dan terus menafikan permintaan sektor swasta untuk membeli sendiri vaksin Covid-19.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri