#kerajaangagal82 -- Mengapakah Muhyiddin tidak mengamalkan apa yang dicanangnya di seluruh dunia?
Mengapakah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mengamalkan apa yang dicanangnya di seluruh dunia?
Dalam ucapan beliau semasa sesi penutupan Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-74 yang diadakan secara maya daripada Geneva, Switzerland semalam, Muhyiddin mengatakan satu-satunya harapan untuk wabak Covid-19 ditamatkan di seluruh dunia adalah dengan memastikan seramai mungkin orang diberikan vaksin secepat mungkin.
Perkara ini sangat tepat, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Dua hari yang lepas, saya merujuk kepada laporan media antarabangsa pada minggu lepas yang mengatakan berdasarkan kadar vaksinasi setakat ini, Malaysia dijangkakan mencapai imuniti kelompok dengan 75 peratus penduduk menerima vaksin hanya selepas 22 bulan.
Perkara ini bermakna kita hanya akan mencapai imuniti kelompok menjelang bulan Mac 2023, yang sudah tentunya lari daripada sasaran asal Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menyasarkan bulan Februari 2022, atau arahan Perdana Menteri supaya program ini dilengkapkan tahun ini.
Saya telah katakan, sekiranya Amerika Syarikat, Singapura, Jerman, dan Perancis dapat mencapai imuniti kelompok dalam empat bulan yang akan datang, China dalam tiga bulan yang akan datang, dan United Kingdom dalam tempoh dua bulan lagi, tidak ada sebab untuk negara kita tidak mempercepatkan program vaksinasi ini untuk mencapai imuniti kelompok menjelang Hari Malaysia pada 16 September 2021 yang akan memberikan makna yang istimewa kepada sambutan Hari Malaysia tahun ini.
Memandangkan kita sedang berlumba dengan masa dalam perang melawan wabak membawa maut ini, saya telah meminta Menteri Koordinasi Vaksin, Khairy Jamaluddin untuk mendedahkan garis masa terkini untuk negara kita mencapai imuniti kelompok, sama ada dalam tahun 2021, 2022, atau 2023.
Tetapi, persoalan saya ini disambut dengan kesunyian, dan saya mengesyaki yang Khairy tidak dapat memberikan garis masa ini kerana tidak ada garis masa sebegitu.
Ini adalah kelompongan yang amat serius yang perlu diperbaiki segera dan Perdana Menteri sendiri perlu melihat ke dalam perkara ini dan kerajaan perlu merangka garis masa terkini untuk negara kita mencapai imuniti kelompok -- sama ada menjelang 2021, 2022, atau 2023.
Dan garis masa ini perlulah dibentangkan kepada rakyat umum.
Adakah Muhyiddin menyokong cadangan saya supaya kita menyelesaikan program vaksinasi ini menjelang Hari Malaysia pada 16 September?
Sekiranya Malaysia hanya akan mencapai imuniti kelompok menjelang pertengahan kedua 2022 atau 2023, mereka yang menerima vaksinasi tahun ini mungkin tidak lagi dilindungi menjelang waktu tersebut melainkan mereka mendapat dos tambahan atau vaksinasi lain.
Muhyiddin perlu berkongsi dengan kita semua mengenai aspek ini dalam PICK.
Muhyiddin perlu sedar yang pelaksanaan vaksinasi yang lambat akan menjadi titik lemah kita dalam perang melawan wabak Covid-19 ini dan walaupun vaksin ini bukanlah ubat mujarab untuk wabak ini, ia telah terbukti sebagai satu pengubah keadaan dalam peperangan ini.
Memandangkan kerajaan mendakwa yang mereka mempunyai bekalan yang mencukupi untuk semua rakyat Malaysia, tidak ada sebab untuk kerajaan terus memonopoli pembelian vaksin dan menafikan permintaan sektor swasta untuk membeli vaksin dengan sendiri.
Marilah saya ingatkan Muhyiddin kepada apa yang beliau katakan di Perhimpunan Kesihatan Sedunia dua malam yang lepas -- yang seluruh dunia tidak boleh memenangi peperangan melawan virus ini melainkan semua orang mempunyai akses yang pantas dan saksama kepada vaksin ini.
Kita telah mengambil masa selama empat bulan untuk mencapai sasaran pemberian 75,000 dos sehari.
Khairy kini mendakwa yang beliau menjangkakan sasaran 150,000 dos sehari akan dicapai pada bulan Jun, yang kemudiannya membuatkan Ahli Parlimen DAP Bakri, Yeo Bee Yin, untuk menanyakan sama ada sasaran ini akan dicapai pada awal, pertengahan, atau penghujung bulan Jun, dan sama ada angka ini adalah angka maksima atau kadar purata vaksinasi.
Terdapat keperluan mendesak untuk pendekatan yang fleksibel dalam pelaksanaan PICK dan Khairy patut bertindak atas aduan daripada Presiden Kesatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr M Subramaniam yang mengatakan tidak ada sebarang libat urus di antara beliau dan para doktor swasta mengenai program vaksinasi Fasa 3, walaupun MMA telah menulis kepada Menteri pada 2 Mac 2021 tanpa menerima sebarang maklum balas.
Saya tidak menyalahkan Presiden MMA di atas kenyataan marah beliau mengenai mengapa hanya 2,500 pengamal perubatan swasta yang didaftarkan dengan PICK.
Subramaniam mengatakan: “Menteri sepatutnya turun daripada kuda tinggi beliau untuk berjumpa dengan kami berbulan yang lepas semasa kami menulis kepada beliau.
“Mungkin perkara itu akan menggalakkan lebih ramai pengamal perubatan untuk menyertai program ini. Jauh bezanya sekiranya beliau menunjukkan minat.”
Kepada Khairy untuk dijawab!