#kerajaangagal81 - Banyak perkara yang tertinggal dan tidak diperkatakan dalam siaran langsung Muhyiddin semalam

Akhirnya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin muncul secara langsung di kaca televisyen menjelang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang mula dikuatkuasakan hari ini.

Namun, banyak perkara yang tertinggal dan tidak diperkatakan dalam siaran langsung tersebut.

Muhyiddin mengabaikan begitu banyak masalah yang muncul dalam tempoh 17 bulan pandemik Covid-19 melanda negara kita.

Pertama, mengapa darurat yang diisytiharkan pada 12 Januari 2021 telah gagal untuk membendung penularan pandemik Covid-19 di negara ini?

Selepas lima bulan pengisytiharan darurat, situasi pandemik Covid-19 di Malaysia bukan sahaja semakin meruncing, malah negara kita telah menjadi contoh negara yang gagal membendung penularan pandemik Covid-19.

Kita berada di kedudukan ke-39 antara negara di dunia dengan jumlah keseluruhan kes Covid-19 tertinggi, dengan 572,358 kes Covid-19 dan 2,796 kematian.

Dalam kes Covid-19 per sejuta penduduk seperti yang dicatat dalam Our World in Data (30.5.2021), negara kita menerima markah 235.58, lebih tinggi berbanding India (134.07), Perancis (133.88), Kanada (75.26), Amerika Syarikat (60.82), Filipina (57.12), Itali (56.28), Thailand (54.98). Jerman (51.24), UK (45.34), Jepun (28.77), Taiwan (23.02), Indonesia (21.32), Korea Selatan (10.79), Singapura (4.96), Vietnam (2.69), Hong Kong (0.10) dan China (0.01).

Untuk 20 hari berturut-turut, kita telah menewaskan Indonesia dalam peningkatan kes baharu Covid-19.

Lebih mengejutkan, untuk julung-julung kalinya, kita telah menewaskan Amerika Syarikat dalam peningkatan kes baharu Covid-19, dengan Amerika Syarikat mencatatkan hanya kira-kira 75% daripada 6,824 kes baharu Covid-19 yang direkodkan di Malaysia semalam.

Malaysia dan India adalah dua negara yang menunjukkan prestasi terburuk dalam bulan Mei 2021 menurut Bloomberg Covid Resilience Ranking - Malaysia turun 15 anak tangga ke tangga ke-35 dan India turut 20 anak tangga ke tangga ke-50 daripada 53 negara dengan nilai ekonomi melebihi paras AS$200 bilion.

Beberapa hari lalu, Malaysia dipetik dalam media antarabangsa sebagai salah sebuah negara daripada 19 negara antaranya Argentina, Colombia, Iran, Nepal, Filipina, Pakistan, Costa Rica dan Afrika Selatan yang dijangka akan mencapai titik krisis pandemik yang serupa seperti di India.

Muhyiddin tidak memberikan sebarang jawapan. Beliau tidak menyentuh langsung perkara yang memalukan ini dan sebab mengapa kegagalan ini terjadi dalam siaran langsungnya semalam.

Malaysia telah gagal dalam peperangan melawan Covid-19 dalam lima aspek berikut:

  • Mengembalikan semula keyakinan dan kepercayaan rakyat dalam rancangan melawan Covid-19;
  • Mobilisasi nasional semua rakyat Malaysia untuk memastikan terdapat pendekatan dan strategi melibatkan “keseluruhan masyarakat”;
  • Pakej rangsangan ekonomi baharu untuk membantu golongan miskin dan memerlukan;
  • Langkah Carian-Ujian-Jejak-Asingkan-Sokongan (FTTIS) yang berkesan dan efisien untuk memastikan kita berada di hadapan lengkuk penularan wabak ini; dan
  • Pemecutan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), terutamanya memandangkan terdapat pelbagai variasi baharu yang berbahaya.

Dengan pengumuman pakej ekonomi berjumlah RM40 bilion bagi membantu kumpulan rentan dan miskin, kerajaan Muhyiddin masih lagi dilihat terkial-kial untuk menangani tiga perkara terakhir dalam lima kegagalannya dalam perang melawan pandemik Covid-19.

Namun Muhyiddin membiarkan dua kegagalan pertama dalam perang melawan pandemik Covid-19 tidak ditangani dalam siaran langsungnya malam tadi - iaitu mengembalikan semula keyakinan dan kepercayaan rakyat dalam rancangan melawan Covid-19 dan keperluan untuk menggerakkan mobilisasi nasional semua rakyat Malaysia untuk memastikan terdapat pendekatan dan strategi melibatkan “keseluruhan masyarakat”.

Tindakan terkial-kial kerajaan dalam melaksanakan sekatan pergerakan penuh selepas 17 bulan penularan pandemik Covid-19 di negara kita dan keputusan saat akhir yang meletakkan syarat bahawa perniagaan yang mahu beroperasi dalam tempoh 14 hari sekatan pergerakan penuh perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa (MITI), bukanlah suatu tindakan yang boleh mengembalikan kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap kerajaan.

Bilakah Muhyiddin akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen supaya dua kegagalan pertama dalam perang melawan pandemik Covid-19 itu dapat ditangani dengan sewajarnya.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri