Penentuan sama ada Muhyiddin Yassin masih mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen perlu menjadi perkara pertama dalam aturan mesyuarat sidang khas Parlimen pada Isnin hadapan

Pada Isnin lepas, saya berkata bahawa hari pertama sidang khas Parlimen selama lima hari, bermula dengan bencana dan berakhir dengan malapetaka. Namun, pada hari keempat, situasi di Parlimen berubah dan diselubungi sandiwara dengan menyaksikan Parlimen ditutup sementara dan sidang Parlimen ditangguhkan untuk beberapa kali.

Kenyataan Menteri yang disampaikan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berhubung Pelan Pemulihan Negara boleh disifatkan sebagai suatu bencana.

Tiada usaha yang jujur untuk mengakui bahawa kerajaan hari ini, menerusi kepercayaan membuta tuli terhadap strategi sekatan pergerakan, telah melakukan kesilapan dalam mengendalikan wabak Covid-19; darurat selama enam bulan yang menyaksikan jumlah kumulatif kes Covid-19 meningkat hampir lapan kali ganda daripada 135,992 kes pada 10 Januari kepada 1,027,954 kes pada 26 Julai dan angka korban akibat wabak itu meningkat hampir 15 kali ganda daripada 551 orang kepada 8,201 orang; dan Pelan Pemulihan Negara adalah suatu kegagalan, kerana negara tidak mampu untuk beralih dari Fasa 1 ke Fasa 2 menjelang hujung Jun seperti yang dirancang.

Menjelang sidang khas Parlimen, Malaysia mencipta satu lagi rekod baharu kes Covid-19 -- 17,045 kes -- dan pada hari pertama sidang berkenaan, Malaysia mencipta satu lagi rekod baharu untuk kematian akibat wabak itu iaitu seramai 207 orang.

Pun begitu, bencana maha dahsyat sebenarnya adalah berkenaan rahsia besar yang disimpan kerajaan daripada pengetahuan pelbagai pihak -- selama lima hari, Kabinet mendakwa bahawa mereka telah membatalkan enam Ordinan Darurat, sekaligus menjadikan Malaysia salah satu negara yang mungkin mempunyai Proklamasi Darurat tanpa sebarang Ordinan Darurat.

Namun, tiada siapa yang mengetahui sama ada enam Ordinan Darurat tersebut telah dibatalkan menerusi proses yang sah pada 21 Julai 2021 -- suatu persoalan perundangan yang sepatutnya menjadi tugas Peguam Negara, Idris Harun untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Kabinet dan rakyat Malaysia.

Isu ini mengalihkan perhatian Parlimen daripada krisis Covid-19 yang membelenggu negara ketika ini. Empat hari sidang khas Parlimen dibazirkan begitu sahaja untuk membincangkan isu Ordinan Darurat ini.

Sepanjang empat hari pertama sidang khas Parlimen, negara berdepan dengan masalah berganda, krisis perlembagaan terbesar selain situasi penularan Covid-19 yang semakin memburuk -- mencatat rekod baru untuk kes harian baru Covid-19; memecahkan rekod satu juta kes menjelang sidang khas Parlimen dan mencatat rekod baru untuk mencapai 100,000 kes yang ke-11 dalam masa enam hari sedangkan kita mengambil masa selama 12 bulan untuk mencapai 100,000 kes Covid-19 pertama di Malaysia. Dari segi jumlah kematian, kita mengambil masa 14 bulan untuk mencapai 1,000 kematian pertama, namun idak lama lagi kita akan mencapai 1,000 kematian kesembilan semasa berlangsungnya sidang khas Parlimen selama lima hari.

Kenyataan daripada Istana Negara dan kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) menunjukkan bahawa kenyataan Istana Negara itu benar dan kenyataan daripada PMO salah.

Ia juga menunjukkan bahawa Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Takiyuddin Hassan, telah mengelirukan Parlimen dengan mendakwa bahawa enam Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai 2021 dan bahawa Speaker Parlimen, Azhar Azizan Harun telah melakukan kesilapan dalam menolak usul Ahli Parlimen DAP Bruas, Ngeh Koo Ham, untuk membatalkan Perisytiharan dan Ordinan Darurat.

Muhyiddin dan Takiyuddin harus dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mengelirukan Parlimen. Azhar juga harus meletakkan jawatan sebagai Speaker kerana jelas beliau tidak layak untuk menjadi Ketua Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat.

Saya bersetuju dengan Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim bahawa penutupan sementara Parlimen adalah tipu muslihat bagi kerajaan untuk menghalang persidangan Dewan Rakyat semalam kerana usul tidak percaya terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri telah diajukan berikutan teguran Istana Negara terhadap Kerajaan Perikatan Nasional kerana melakukan perkara yang tidak selari dengan perlembagaan.

Semua perkembangan ini berpunca daripada hakikat bahawa kerajaan Muhyiddin tidak memiliki sokongan majoriti Ahli Parlimen sehingga sanggup mempergunakan parlimen untuk melaksanakan agenda "tipu muslihat" mereka.

Takiyuddin dan Muhyiddin harus meletakkan jawatan secara terhormat.

Sekiranya Perdana Menteri tidak bersedia untuk mengundurkan diri, maka penentuan sama ada Muhyiddin Yassin masih mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen harus menjadi aturan mesyuarat pertama dalam sidang khas Parlimen pada Isnin hadapan.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri