Adakah Malaysia berhadapan dengan krisis perlembagaan yang besar dan masalah berganda dalam kurang dari 60 jam?

Adakah kita sedang menuju ke arah sebuah krisis perlembagaan di Malaysia dalam tempoh kurang daripada 60 jam dari sekarang -- yang mana akan menjadi masalah berganda buat rakyat Malaysia selain daripada kesilapan dalam mengendalikan isu pandemik Covid-19 yang mana telah meletakkan kedudukan Malaysia sebaris dengan negara-negara yang menunjukkan prestasi terburuk dalam pengendalian wabak berkenaan sama ada dalam kategori kes harian baru mahupun kematian harian akibat Covid-19.

Jika menjelang tengah malam Sabtu ini -- atau 60 jam dari sekarang -- tiada Perkenan Diraja diberikan untuk pembatalan enam Ordinan Darurat yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Takiyuddin Hassan pada Isnin lalu di Parlimen, tidak mustahil Malaysia akan terjerumus ke dalam krisis perlembagaan.

Kenyataan oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, bahawa UMNO tidak mengetahui Ordinan Darurat telah “dibatalkan” adalah salah satu petanda bahawa krisis perlembagaan bakal berlaku.

Terdapat enam lagi petanda yang menunjukkan bahawa krisis perlembagaan bakal berlaku dalam masa terdekat, antaranya:

  1. Kenyataan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa bahawa pembatalan enam Ordinan Darurat berkenaan masih dalam proses.
  2. Tiadanya pewartaan Perkenan Diraja dan pembatalan enam Ordinan Darurat sejak seminggu yang lalu;
  3. Kegagalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Perdana Menteri sendiri untuk menyatakan bahawa Perkenan Diraja telah diberikan untuk pembatalan enam Ordinan Darurat tersebut, meskipun perkara itu dibangkitkan setiap hari di Parlimen sejak tiga hari lalu;
  4. Surat oleh Speaker kepada Ahli Parlimen Bruas, Ng Koo Ham, yang menolak usul untuk membatalkan Ordinan Darurat dengan alasan teknikal, dan bukannya dengan alasan bahawa Ordinan Darurat telah dibatalkan; dan
  5. Kegagalan untuk memaklumkan kepada Ahli Parlimen mengenai pembatalan tersebut semasa enam Ordinan Darurat berkenaan dibentangkan di Dewan yang mulia.

Ini adalah sebuah tragedi buat negara kerana isu ini telah mengalihkan perhatian Parlimen, dalam sidang khasnya, daripada pengendalian wabak Covid-19, kerana isu sama ada pembatalan enam Ordinan Darurat telah dibuat melalui proses yang wajar telah menjadi topik hangat yang dibangkitkan di Parlimen sejak tiga hari lalu.

Ini menunjukkan kerajaan kini dalam keadaan lumpuh, tidak dapat merancang dan mengambil tindakan untuk memastikan bahawa negara kita tidak akan merekodkan lebih dari 1.5 juta kes Covid-19 dan 1,500 kematian akibat wabak itu menjelang Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos, mahupun mencapai dua juta kes Covid-19 dan hampir 20,000 kematian akibat wabak berkenaan menjelang Hari Malaysia ke-58 pada 16 September 2021.

Apakah pendirian Peguam Negara, Idrus Harun berkenaan sama ada enam Ordinan Darurat telah dibatalkan -- kepada kerajaan, kepada Yang di-Pertuan Agong dan kepada seluruh rakyat Malaysia?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri