Adakah kita akan biarkan 20,000 orang terkorban akibat Covid-19 sebelum vaksinasi program vaksinasi kebangsaan dapat dilengkapkan pada bulan Oktober?
Baru-baru ini, angka kes harian Covid-19 dijangkakan akan meningkat lebih tinggi selepas mencapai kemuncak baharu sebanyak 17,045 kes beberapa hari yang lepas, tetapi orang awam telah dinasihati supaya tidak cemas dengan peningkatan ini kerana ia disebabkan oleh peningkatan kadar ujian saringan melalui ujian saringan RTK-Antigen dan kit ujian saringan kendiri.
Rakyat secara amnya boleh faham yang peningkatan ini disebabkan oleh peningkatan aktiviti ujian saringan yang lebih kerap supaya kita dapat kenal pasti mereka yang positif Covid-19 untuk mengasingkan dan kuarantin mereka ini, dan angka kes dijangkakan akan mula turun dalam beberapa minggu yang akan datang.
Namun apa yang lebih membimbangkan adalah kadar peningkatan kematian akibat Covid-19, di mana negara kita mengekalkan rekod baharu 207 kematian yang pertama kali dicatatkan pada hari Isnin.
Semasa darurat selama enam bulan diisytiharkan pada 11 Januari 2021, terdapat sejumlah 551 kematian terkumpul akibat Covid-19 dalam tempoh 12 bulan sebelumnya. Pada kadar kematian akibat Covid-19 sekarang, angka ini akan diatasi dalam masa tiga hari.
Apabila darurat tamat pada 1 Ogos, lebih daripada 8,500 dijangkakan akan terkorban dalam tempoh darurat ini, membawa jumlah korban terkumpul akibat Covid-19 dalam negara kita melepasi paras 9,000 nyawa.
Pada kadar sedia ada, negara kita akan mencatatkan 1.5 juta kes menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos dan mencatatkan 2 juta kes menjelang Hari Malaysia pada 16 September 2021, dengan hampir 20,000 kematian akibat wabak ini.
Rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui apakah tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk mengelakkan bencana sebegini.
Adakah kita akan membiarkan sehingga 20,000 nyawa melayang akibat wabak ini sebelum kita berjaya melengkapkan program imunisasi kebangsaan pada bulan Oktober?