Muhyiddin harus membuat kenyataan Menteri di Parlimen hari ini mengenai kesan mesyuarat Kabinet pada 21 Julai yang membatalkan enam Ordinan Darurat
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, culas dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua Eksekutif apabila beliau gagal hadir di Parlimen semasa penggulungan Kenyataaan Menterinya semalam, khususnya untuk menjelaskan mengenai mesyuarat Kabinet pada 21 Julai 2021 yang kononnya membatalkan enam Ordinan Darurat tetapi disembunyikan daripada pengetahuan Parlimen dan seluruh negara selama lima hari.
Ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Takiyuddin Hassan membuat pendedahan yang mengejutkan semalam mengenai mesyuarat Kabinet pada 21 Julai yang membatalkan enam Ordinan pada akhir pernyataan Menteri oleh Muhyiddin di Parlimen, Perdana Menteri dilihat tersenyum dan mengangguk kepala tanda setuju sambil duduk di tempatnya.
Setelah selesai pernyataan Menteri, saya telah meminta Perdana Menteri memberikan penjelasan yang memuaskan mengapa beliau mengelirukan Dewan dan negara selama lima hari mengenai pembatalan Ordinan Darurat oleh Kabinet pada 21 Julai, sedangkan Speaker Parlimen sendirinya tidak menyedarinya, jika tidak perkara ini pastinya akan menjadi alasan yang tepat oleh Speaker ke atas keputusannya untuk menolak usul Ahli Parlimen DAP Beruas, Ngeh Koo Ham, untuk membatalkan Ordinan Darurat kerana Ordinan Darurat sebenarnya telah terbatal.
Saya juga berkata bahawa jika Perdana Menteri tidak dapat memberikan penjelasan yang memuaskan, maka beliau harus dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mengelirukan Dewan.
Tetapi Muhyiddin tidak berada di Parlimen untuk memberikan maklum balas terhadap penjelasan yang diminta oleh Ahli Parlimen pada sesi penggulungan dan tugas tersebut diserahkan kepada Menteri Kewangan, Senator Tengku Zafrul Abdul Aziz, yang tidak dapat menjelaskan bagi pihak Perdana Menteri berkenaan pembatalan enam Ordinan Darurat kerana Ahli Parlimen mahu penjelasan daripada Perdana Menteri sendiri.
Perdana Menteri perlu hadir ke Parlimen hari ini untuk membuat Kenyataan Menteri mengenai kesan keputusan mesyuarat Kabinet pada 21 Julai yang membatalkan enam Ordinan Darurat, dan menjelaskan sama ada dan bilakah Perkenan Diraja telah diberikan dan warta diterbitkan.
Selain itu, mengapa Ahli Parlimen tidak diberitahu mengenai pembatalan tersebut ketika enam Ordinan Darurat dibentangkan di Dewan Rakyat, perkara ini merupakan satu pelanggaran hak dan kebebasan Ahli Parlimen yang serius dan sepatutnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan, perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
Atau adakah kita mempunyai Perdana Menteri yang takut kepada Parlimen -- perkara yang julung kalinya berlaku dalam sejarah Malaysia.
Saya berkata bahawa sidang pertama Parlimen, yang telah ditangguhkan selama enam bulan secara tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan, bermula semalam sebagai bencana dan berakhir sebagai malapetaka.
Kenyataan Menteri Muhyiddin mengenai Pelan Pemulihan Negara adalah bencana kerana tidak ada usaha yang jujur untuk mengakui bahawa kerajaan telah gagal menangani wabak Covid-19 yang menyaksikan jumlah kumulatif kes Covid-19 meningkat hampir lapan kali dalam enam bulan dari 135,992 kes pada 11 Januari 2021 ketika darurat diisytiharkan untuk memerangi Covid-19 kepada 1,027,954 kes semalam dan kematian Covid-19 meningkat hampir lima belas kali ganda dari 551 kematian kepada 8,201 kematian semalam.
Kenyataan Menteri Muhyiddin telah “dibakul sampahkan” oleh Menteri Kesihatan, Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah.
Noor Hisham meramalkan bahawa Malaysia akan mencapai puncak jangkitan Covid-19 pada pertengahan September dengan 21,000 kes Covid-19 sehari dan jumlah kematian yang dijangkakan sebanyak 17,000 setiap hari pada pertengahan Ogos - berdasarkan unjuran kadar jangkitan (RT) 1.2.
Sementara itu, Adham Baba telah menandatangani pewartaan untuk melanjutkan Ordinan Kesihatan yang berkaitan dengan kawalan pergerakan hingga 31 Disember 2021, petunjuk yang jelas bahawa Kementerian Kesihatan tidak yakin bahawa negara dapat melakukan peralihan dari Fasa Satu ke Fasa Dua dalam waktu dekat, walaupun ini sepatutnya dilaksanakan di bawah Pelan Pemulihan Negara pada akhir bulan Jun -- apatah lagi ke Fasa 4!
Peguam harus memastikan sama ada lanjutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan ketiga (PKP) hingga akhir tahun ini, termasuk peruntukan mengenai hukuman dalam kes pelanggaran SOP, adalah sah jika Kabinet membatalkan enam Ordinan Darurat pada 21 Julai.
Perdana Menteri terpaksa menggunakan segala helah untuk untuk menunjukkan kerajaan yang ditabirnya telah berjaya dalam perang terhadap wabak Covid-19 dalam tempoh 17 bulan lalu.
Muhyiddin berkata Malaysia adalah salah satu negara terpantas dalam memberikan suntikan vaksin kepada rakyatnya bagi menyediakan imunisasi terhadap Covid-19 dengan kapasiti suntikan vaksin yang telah mencapai lebih dari 500,000 dos sehari pada masa ini.
Perdana Menteri bersalah kerana memalsukan fakta.
Benar, data terbaru menunjukkan bahawa kadar dos vaksin harian yang diberikan di Amerika Syarikat adalah 590,639 dos sehari - tidak jauh dari kapasiti suntikan vaksin harian yang didakwa melebihi 500,000 dos di Malaysia.
Pun begitu, kenyataan Muhyiddin itu dibuat tanpa mengambil kira kadar vaksinasi harian tertinggi iaitu lebih dari 3 juta dos vaksin diberikan pada awal April di Amerika Syarikat dan penurunan mendadak dalam kadar vaksinasi harian kerana orang yang paling ingin mendapatkan vaksin telah menerima suntikan vaksin yang diperlukan mereka.
Sejak pemberian vaksin Covid-19 bermula di Amerika Syarikat pada 14 Disember, lebih dari 342 juta dos telah diberikan, 163 juta orang atau 49.1% daripada jumlah keseluruhan penduduk A.S telah dilengkapi dua dos vaksin.
Program vaksinasi Amerika Syarikat semakin perlahan walaupun Presiden Biden telah mendesak rakyatnya untuk mendapatkan suntikan vaksin dan angka jangkitan meningkat di seluruh negara. Di beberapa negeri, kurang dari separuh penduduk telah menerima dos pertama.
Tetapi setelah menjadi salah satu negara pendahulu di dunia dalam pengambilan vaksin sehingga pertengahan April, kadar vaksinasi AS menjadi perlahan dan AS kini ketinggalan di belakang UK, Itali, Perancis, Jerman, Israel dan Kanada dari segi dos yang diberikan sebagai bahagian daripada jumlah penduduk - dan Malaysia masih jauh di belakang negara-negara ini.
AS masih belum mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Presiden Biden pada 4 Julai untuk 70% daripada mereka yang berusia lebih dari 18 tahun diberi sekurang-kurangnya satu dos vaksin - pada masa ini sekitar 68% orang dewasa telah menerima dos pertama mereka.
Jangkitan baru meningkat lebih dari dua kali ganda di AS pada bulan lalu - dan menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, sebilangan besar kes dan kematian baru adalah melibatkan pesakit yang tidak divaksin.
Di negeri-negeri selatan di Amerika, dan di negeri-negeri barat negara itu, kebanyakan orang dewasa yang lebih berusia telah divaksin tetapi sebilangan besar yang lebih muda tidak mengambil suntikan tersebut.
Maklumat mengenai kadar vaksinasi yang semakin perlahan dan maklumat terbaru bahawa virus Covid-19 varian Delta lebih mudah menular dan telah meningkatkan nilai ambang imuniti kelompok kepada 98% populasi yang akan divaksinasi, adalah sesuatu yang perlu dihadam oleh pihak berkuasa.
Pun begitu, kita tidak boleh terus menggunakan data, premis dan anggapan yang salah - yang merupakan kesilapan besar Pelan Pemulihan Negara.
Persoalannya; apakah sasaran baru Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (NIP) untuk 100 peratus orang dewasa mendapat dos vaksin sepenuhnya pada bulan Oktober, berbanding dengan rancangan asal 80 peratus orang dewasa yang sepenuhnya diberi vaksin pada suku pertama tahun 2022, dapat dicapai.
Dalam pernyataan Menteri semalam, Perdana Menteri gagal menjelaskan bagaimana Pelan Pemulihan Negara dapat menjadi Pelan "keseluruhan negara" sedangkan ia sendiri gagal menjadi Pelan "keseluruhan Parlimen"!
Malaysia sangat memerlukan Majlis Pemulihan Negara yang melibatkan "keseluruhan negara" untuk merancang dan melaksanakan dasar dan strategi baru untuk mengendalikan pandemik Covid-19, berdasarkan objektif "Hidup di samping Covid" dan bukannya "Sifar Covid".