#kerajaangagal207 – Menghidupkan semula Impian Malaysia
Ini adalah kenyataan media #kerajaangagal saya yang terakhir. Saya pernah berkata sebelum ini bahawa saya akan mengakhiri siri ini apabila Parlimen bersidang semula, yang akan berlaku dalam masa dua jam dari sekarang.
Ketika saya memulakan siri ini pada 18 April 2021 dengan kenyataan pertama yang meminta Menteri Kesihatan, Adham Baba “berhenti memainkan hujah semantik dan sebaliknya fokus terhadap angka kadar kenaikan harian Covid-19 untuk memastikan angka ini turun ke julat dua angka, jika tidak, beliau patut letak jawatan”, terasa seperti kenyataan itu dikeluarkan di dalam era yang berbeza.
Dalam jangka masa singkat selama tiga bulan lapan hari, perkara yang sebelum ini kelihatan seperti boleh dicapai, kini menjadi dilihat sebagai satu perkara yang mustahil untuk berlaku.
Sebagai contoh, kita sebelum ini bercakap tentang menurunkan angka kes baharu harian Covid-19 ke julat dua angka, tetapi ini nampaknya menjadi impian yang mustahil untuk dicapai!
Malah, kita tidak dapat beralih dari Fasa Satu ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan pada 15 Jun kerana kita tidak dapat memenuhi salah satu daripada tiga nilai ambang -- kadar purata kes baharu harian kurang dari 4,000 kes.
Kita sekarang merekodkan kes harian baharu melebihi paras 17,000 kes dan tidak ada yang berani mengatakan bahawa kita tidak akan mencapai paras lebih daripada 20,000 kes tidak lama lagi.
Semalam kita memecahkan paras sejuta jumlah kes terkumpul Covid-19 dan hari ini kita mencapai satu lagi “pencapaian”, mencatatkan 8,000 kematian akibat Covid-19.
Kita kini menjadi negara ketujuh teratas di dunia untuk kes baharu harian Covid-19, tewas dengan India (yang mencatatkan penurunan sebanyak 91% dari puncaknya iaitu 414,433 kes pada 6 Mei 2021 kepada 38,153 kes semalam), Indonesia, United Kingdom, Iran, Rusia dan Brazil.
Rekod terbaru menunjukkan bahawa kita telah mengalahkan Amerika Syarikat -- yang selama setahun dianggap sebagai negara dengan prestasi terburuk di dunia dengan lebih daripada 35 juta kes Covid-19 terkumpul -- dalam kategori kes baru setiap hari dan kematian baru.
Begitu teruk rekod Malaysia!
Sejak tiga bulan lalu, tanda pagar #kerajaangagal telah terbukti menjadi catatan peristiwa kakistokrasi yang semakin buruk di Malaysia, di mana negara ini melonjak menjadi salah satu negara dengan prestasi terburuk dalam pandemik Covid-19.
Semasa kenyataan media #kerajaangagal pertama ditulis pada 18 April, kita merekodkan kes baharu harian sebanyak 2,195 kes dan jumlah kumulatif sebanyak 375,054 kes. Semalam, kes baru harian kita mencatatkan puncak baru sebanyak 17,045 kes dengan jumlah kumulatif sebanyak 1,013,438 kes. Pada 18 April, angka kematian harian akibat Covid-19 adalah seramai lapan orang dengan jumlah kematian terkumpul seramai 1,378 orang. Semalam, kematian baharu harian Covid-19 adalah seramai 92 orang dan jumlah terkumpul seramai 7,994 orang.
Seperti yang dinyatakan oleh seorang penulis semalam:
"Perdana menteri memiliki bakat mentadbir dengan amalan yang menempah bahaya yang luar biasa, mencatur gerakannya menjelang hari yang menentukan nasibnya sebagai perdana menteri. Menguatkuasakan ordinan darurat untuk menutup Parlimen, mengumumkan Pelan Pemulihan Negara sebelum Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu bermesyuarat, mengumumkan pakej rangsangan Pemulih sebelum pertemuan Yang di-Pertuan Agong dengan Speaker Parlimen, menaikkan pangkat menteri sebelum Majlis Tertinggi Umno bermesyuarat, dan mengalami cirit-birit sebelum mesyuarat kabinet.
“Kita seharusnya mengharapkan pengumuman besar pada malam 26 Julai, tetapi kita berharap kali ini ia benar-benar akan menjadi 'Pelan Kelangsungan Rakyat'
“Jadi, berapa banyak data dan fakta sains yang mendasari perangkaan PPN? Pengetahuan sains yang mana yang mengatakan bahawa kes Covid-19 akan menurun dari sekitar 6,000 kes kepada 4,000 kepada 2,000 dan akhirnya kepada 500 kes dan dalam setiap tempoh dua bulan?
“Pengetahuan sains yang mana yang mengatakan bahawa kadar vaksinasi 10 peratus, 40 peratus dan 60 peratus akan menyebabkan penurunan jangkitan setiap dua bulan? Ini jelas adalah penghinaan terhadap ilmu epidemiologi.
"Saya percaya nilai ambang telah dipilih dengan berhati-hati untuk mengendurkan tekanan terhadap kerajaan dan memberikan harapan yang salah kepada rakyat. Menurut PPN, nampaknya kebetulan Parlimen hanya boleh dibuka pada bulan Oktober, mungkin untuk membentangkan Belanjawan 2022, dan kemudian membubarkan Parlimen. Itulah sebabnya kes Covid-19 dijangka menurun kepada 500 kes pada bulan November dan Disember, sehingga pilihan raya umum dapat diadakan.”
Apa yang jelas adalah kita mesti menghidupkan semula Impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia kerana kakistokrasi dan pencapaiannya yang sederhana tidak semestinya dan selamanya menjadi takdir bagi Malaysia -- yang menjadi tempat pertemuan empat tamadun manusia yang hebat - Melayu/Islam, Cina, India dan Barat.
Malaysia mampu melakukan yang lebih baik!