#kerajaangagal200 -- Esok akan menjadi hari yang memalukan buat Malaysia apabila kita melepasi paras sejuta kes Covid-19 dan mengatasi kedudukan Pakistan untuk menjadi salah satu daripada 30 negara teratas dengan jumlah kes Covid-19 terkumpul tertinggi di dunia

Esok akan menjadi hari yang memalukan buat Malaysia apabila kita melepasi paras sejuta kes Covid-19 dan mengatasi kedudukan Pakistan untuk menjadi salah satu daripada 30 negara teratas dengan jumlah kes Covid-19 terkumpul tertinggi di dunia.

Namun, kita tidak boleh berputus asa atau berputus harap.

Kita perlu terus hidup dengan harapan dan kepercayaan yang Malaysia patut dapat yang lebih baik, dan mengambil semangat keberanian daripada sokongan yang ditunjukkan rakyat Malaysia kepada Syed Saddiq dengan kejayaannya Ahli Parlimen Muar tersebut untuk meraih bantuan untuk kos guaman dan bayaran ikat jamin, yang berjumlah RM700,000 yang dikumpul dalam masa 24 jam.

Perkara termudah untuk kita lakukan sekarang adalah untuk hanya menyerah kalah kepada kekecewaan dan rasa berputus asa, terutamanya apabila wabak Covid-19 ini telah memporak perandakan kehidupan kita semua dalam 18 bulan yang lepas, menghancurkan punca pendapatan dan kehidupan rakyat, menjadikan Malaysia sebuah negara yang bergantung kepada bank makanan.

Namun, seperti mana semangat acara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo semalam, kita juga perlu terus mempunyai semangat dan keazaman untuk mengubah keadaan kita menjadi satu harapan untuk dunia yang lebih baik -- mengubah krisis ini menjadi satu peluang.

Salah satu pengajaran pandemik Covid-19 ini adalah di mana kita semua perlu bersatu padu sebagai rakyat Malaysia untuk berhadapan dengan ancaman ini, kerana koronavirus itu tidak membezakan di antara kaum, agama, kawasan, mahupun politik. Kita perlu bertindak sebagai satu bangsa, tanpa mengira kaum, agama, kawasan atau politik, untuk mengawal wabak Covid-19 ini dan membina semua masa hadapan yang lebih baik, lebih adil, dan lebih saksama untuk semua rakyat Malaysia.

Perkara ini dapat dilihat daripada kelab 31 negara “jutawan Covid-19” yang kita akan sertai esok, yang menunjukkan pandemik ini meninggalkan kesan kepada semua negara, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, mahupun politik.

Diketuai oleh tiga negara dengan lebih daripada 10 juta kes Covid-19, Amerika Syarikat (35 juta kes), India (31 juta kes), dan Brazil (19 juta kes), yang bersama-sama, mewakili 44% kes global sebanyak 193 juta kes Covid-19. Negara-negara lain dalam kelab jutawan Covid ini adalah Rusia, Perancis, UK, Turki, Argentina, Colombia, Itali, Sepanyol, Jerman, Iran, Indonesia, Poland, Mexico, Afrika Selatan, Ukraina, Peru, Belanda, Czechia, Chile, Filipina, Iraq, Kanada, Bangladesh, Belgia, Sweden , Romania dan Pakistan. Satu senarai yang benar-benar tidak memilih antara kaum, agama, kawasan, mahupu politik.

Kebanyakan negara-negara ini kita telah dapat melihat penghujung kepada kesengsaraan mereka. AS misalnya, telah beralih daripada kemuncak dengan 305,073 kes sehari pada 8 Januari dan 4,449 kematian sehari pada 12 Januari, kini melihat penurunan 80% angka kes baharu dan 90% kadar kematian walaupun dengan penularan varian Delta. India pula telah melakarkan kemajuan yang lebih baik selepas berhadapan dengan krisis kekurangan oksigen baru-baru ini, mengurangkan kadar kes baharu dan kematian dengan kadar lebih dari 90%. Malah, United Kingdom, yang pada hari Isnin lepas mengisytiharkan “Hari Kebebasan” dengan membuang hampir ke semua sekatan Covid-19 yang dianggap sebagai satu tindakan yang tidak berhati-hati oleh kebanyakan pakar, telah mencatatkan penurunan daripada kemuncak 54,674 kes sehari pada 17 Julai kepada 36,389 kes semalam.

Namun, situasi di Malaysia kelihatan berbeza, kita adalah salah satu negara yang masih belum menemui kemuncak peningkatan kes harian dan kematian akibat Covid-19.

Adakah program imunisasi kebangsaan -- yang mencapai kadar setengah juta dos diberikan -- penyelesaian kepada masalah kita?

Perkara ini bergantung kepada sama ada kita boleh mempercepatkan lagi program ini dan sama ada sasaran untuk memberikan vaksin kepada semua orang dewasa menjelang bulan Oktober dapat dicapai.

Persidangan Parlimen pada hari Isnin depan datang pada satu waktu yang kritikal -- sama ada ia akan menandakan permulaan strategi dan dasar baharu untuk mengawal penularan wabak Covid-19 atau sama ada kita akan terus mengulangi kesilapan lampau.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri