#kerajaangagal194 -- Azhar perlu menghentikan keadaan kucar-kacir akibat ketakutan kerajaan untuk menguji sokongan majoritinya di Parlimen dengan menegakkan Perlembagaan Malaysia yang diasaskan kepada prinsip raja berperlembagaan dengan demokrasi berparlimen dan pemisahan kuasa, dan beliau perlu bersedia untuk merisikokan jawatan beliau demi prinsip

Yang di Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun, perlu menghentikan keadaan kucar-kacir akibat ketakutan kerajaan untuk menguji sokongan majoritinya di Parlimen dengan menegakkan Perlembagaan Malaysia yang diasaskan kepada prinsip raja berperlembagaan dengan demokrasi berparlimen dan pemisahan kuasa, dan beliau perlu bersedia untuk merisikokan jawatan beliau demi prinsip.

Sekiranya Speaker Dewan Rakyat perlu memilih di antara menegakkan prinsip-prinsip asas Perlembagaan Persekutuan dan arahan Perdana Menteri, Azhar perlu tahu apa yang perlu dilakukan oleh seorang Yang di Pertua yang berprinsip.

Majlis Presiden Pakatan Harapan telah menggesa Speaker untuk membuat beberapa perubahan kepada sesi sidang Parlimen yang akan datang untuk memenuhi titah Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja supaya Parlimen dipanggil bersidang untuk membahaskan Proklamasi Darurat, Ordinan Darurat, dan Pelan Pemulihan Negara untuk mengekang pandemik Covid-19.

Azhar, sebagai seorang Speaker yang berprinsip, tidak mempunyai pilihan lain selain daripada meletakkan jawatan sekiranya beliau tidak dapat memenuhi perkara ini.

Namun, perkara ini tidak sepatutnya menjadi masalah, memandangkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan, telah menjanjikan yang akan ada perbahasan apabila Parlimen bersidang pada hari Isnin, memandangkan Perdana Menteri telah pun menulis kepada Speaker Dewan Rakyat untuk memberikan ruang kepada Ahli Parlimen berbahas dan mengemukakan soalan.

Saya telah cadangkan supaya ada perbahasan penuh untuk setiap kenyataan menteri dalam setiap hari persidangan khas Parlimen ini dan perkara ini boleh dilaksanakan dengan mudah oleh Speaker melalui kuasanya di bawah Peraturan Mesyuarat 99 dan 100.

Oleh itu, saya seru Azhar untuk hentikan sebarang kekeliruan dan ketidaktentuan dan menjelaskan kepada semua bahawa akan ada perbahasan mengenai Proklamasi Darurat, Ordinan-ordinan Darurat, dan Pelan Pemulihan Negara apabila Parlimen bersidang semula pada hari Isnin.

Mengenai cadangan Timbalan Yang di Pertua Dewan Rakyat, Rashid Hasnon, supaya jumlah Ahli Parlimen dalam Dewan dihadkan kepada 80 orang, saya tidak nampak sebarang masalah untuk Ahli-ahli Parlimen menghadiri sidang ini secara fizikal, memandangkan semua Ahli-ahli Parlimen telah menerima vaksin.

Tambahan lagi, memandangkan Muhyiddin telah menyertai jemaah seramai 300 orang untuk melakukan sembahyang Hari Raya Aidiladha di Masjid Negara, Kuala Lumpur, saya tidak nampak sebarang masalah dengan persidangan seramai 220 orang.

Kita perlu pastikan yang persidangan khas Parlimen bermula Isnin depan ini memenuhi dua matlamat: pertamanya memenuhi titah Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja untuk membahaskan Proklamasi Darurat, Ordinan-ordinan Darurat, dan Pelan Pemulihan Negara, dan keduanya, untuk membawa perubahan dalam usaha kita melawan wabak Covid-19, di mana Malaysia kini dilihat sebagai antara negara dengan prestasi terburuk dalam mengekang penularan wabak ini.

Kerana itulah saya cadangkan mesyuarat Kabinet semalam untuk menetapkan matlamat yang jelas untuk persidangan khas pada Isnin depan ini, supaya Perdana Menteri dapat memimpin usaha negara apabila Parlimen bersidang untuk membawa pendekatan yang benar-benar melibatkan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat di setiap peringkat masyarakat dalam negara.

Saya juga telah cadangkan yang “Rangka Kerja Pemulihan Covid-19” yang dibentangkan oleh persatuan sivil Health Emergency Action Plan dijadikan asas perbahasan minggu hadapan.

Amat mengecewakan apabila terdapat kesunyian sahaja selepas mesyuarat Kabinet semalam. Bolehkah kita dapatkan sebarang berita baik daripada Perdana Menteri?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri