#kerajaangagal192 -- Lantik Idrus Harun sebagai seorang Senator dan jadikan beliau ahli Kabinet menurut peruntukan artikel 145(5) Perlembagaan Persekutuan supaya beliau boleh memberikan maklum balas mengenai perkara berbangkit dalam sidang khas Parlimen yang bermula Isnin depan

Saya bersetuju dengan Timbalan Yang di Pertua Dewan Rakyat, Azalina Othman Said yang mengatakan Peguam Negara, Idrus Harun, patut hadir dalam sidang Parlimen Khas yang akan datang supaya beliau dapat menjawab persoalan mengenai ordinan-ordinan darurat.

Perkara ini boleh dilakukan dengan mudah dengan melantik beliau menjadi seorang Senator dan menjadikan beliau seorang Ahli Kabinet seperti dalam peruntukan perkara 145(5) Perlembagaan Persekutuan supaya beliau boleh menghadiri sidang Parlimen dan memberikan maklum balas mengenai perkara berbangkit dalam sidang tersebut.

Memandangkan masih ada lima hari sebelum persidangan ini bermula, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, tidak sepatutnya berhadapan dengan sebarang masalah untuk melakukan perkara ini.

Apa-apa pun, susunan di mana Peguam Negara bercakap melalui Menteri Undang-undang adalah satu susunan yang tidak mencukupi dan tidak memuaskan.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri