#kerajaangagal183 -- Muhyiddin dan Takiyuddin akan dipertanggungjawabkan dengan janji mereka bahawa akan ada perbahasan apabila Parlimen bersidang semula

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang dan Parlimen), Takiyuddin Hassan, akan dipertanggungjawabkan dengan janji mereka bahawa akan ada perbahasan apabila Parlimen bersidang semula untuk lima hari bermula Isnin depan, 26 Julai 2021.

Semalam di Kota Bharu, Takiyuddin menjanjikan yang Ahli-ahli Parlimen akan diberikan ruang untuk berbahas dalam persidangan “khas” Dewan Rakyat selama lima hari yang akan bermula Isnin depan. Beliau mengatakan yang Perdana Menteri telah menulis kepada Yang di Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara supaya Ahli-ahli dibenarkan untuk berbahas dan mengemukakan persoalan.

Kita tidak mahu cakap lain buat lain. Jadi mari kita tunggu Muhyiddin dan Takiyuddin memenuhi janji mereka pada Isnin depan.

Setakat ini, persidangan khas selama lima hari ini amatlah luar biasa, kerana saya tidak mengetahui mengenai mana-mana Parlimen di seluruh dunia yang memanggil sidang khas Parlimen selama lima hari yang hanya mengandungi sesi Kenyataan Menteri. Saya bersedia untuk dibuktikan salah oleh Muhyiddin atau Takiyuddin.

Biasanya, Kenyataan Menteri ini tidak memberikan ruang untuk Ahli-ahli mendapatkan penjelasan atau berbahas.

Memandangkan Ahli-ahli Parlimen kali ini dibenarkan untuk mendapatkan penjelasan dan berbahas mengenai Kenyataan Menteri, dan memandangkan setiap Menteri mungkin akan ditetapkan untuk memberikan kenyataan mengenai isu yang berbeza setiap hari, saya cadangkan supaya persidangan ini diadakan dengan format di mana setiap persidangan akan membahaskan Kenyataan Menteri ini selepas Kenyataan disampaikan untuk membolehkan Ahli-ahli Parlimen mendapatkan penjelasan dan juga menyatakan pendapat mereka mengenai perkara yang dibangkitkan.

Kenyataan Menteri ini kemudiannya boleh digulung di akhir persidangan, dengan memberikan jawapan kepada penjelasan yang diminta dan pandangan yang dibangkitkan.

Memandangkan tidak ada waktu pertanyaan jawab lisan, setiap hari persidangan akan mempunyai 6 jam waktu perbahasan. Yang di Pertua Dewan Rakyat perlu memaklumkan Ketua Pembangkang Parlimen, berapa ramai Ahli-ahli Parlimen Pembangkang yang akan diberikan ruang untuk menyertai perbahasan untuk setiap hari persidangan khas ini supaya persiapan boleh dibuat terlebih dahulu.

Malah, memandangkan wabak Covid-19 ini telah tular di negara kita selama 18 bulan yang lepas, dan darurat berkuatkuasa selama lebih daripada enam bulan sejak 11 Januari 2021, setiap Kenyataan Menteri ini sepatutnya diedarkan kepada Ahli-ahli Parlimen terlebih dahulu, walaupun di bawah embargo daripada penerbitan, untuk membolehkan adanya perbahasan yang lancar dan efisien.

Selain daripada Kenyataan Menteri, perlu juga ada perbahasan mengenai Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang diluluskan. Setiap perbahasan ini perlulah disusuli dengan undian.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri